SHAH ALAM - Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz menempelak segelintir pemimpin UMNO menuntut Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan lebih awal dengan menyifatkan kelompok ini sebagai ghairah dan 'geli' hendak... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz menempelak segelintir pemimpin UMNO menuntut Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan lebih awal dengan menyifatkan kelompok ini sebagai ghairah dan 'geli' hendak menjadi calon pilihan raya.

Jelas Ketua UMNO Bahagian Padang Rengas itu, kelompok pemimpin UMNO berkenaan juga perlu cermin diri dahulu dan menilai sama ada mereka mempunyai kekuatan dan pengaruh untuk menang sebagai calon PRU15 kerana majoriti golongan ini pernah kalah pada PRU14.

Ujarnya lagi, terdapat beberapa faktor utama yang menyebabkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak boleh melaksanakan PRU15 lebih awal dengan perjanjian gencatan politik dengan pihak pembangkang sehingga bulan Julai 2022 antara salah satu faktornya.

"Perjanjian kepercayaan dan perbekalan (CSA) dengan pembangkang pun telah disebut Perdana Menteri di dalam sidang Parlimen, justeru UMNO tidak boleh menceroboh atau mengkhianati perjanjian ini melainkan pembangkang melanggarnya terlebih dahulu.

"Selain itu, negara masih belum benar-benar keluar daripada krisis pandemik Covid-19, bahkan kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka juga tidak boleh dijadikan ukuran bahawa UMNO sudah kuat," katanya kepada Sinar Premium pada Isnin.

Mengulas lanjut, Mohamed Nazri juga meminta pemimpin UMNO mengambil iktibar daripada peristiwa kekalahan tiga bekas Exco Kerajaan Negeri Melaka yang ditolak rakyat pada PRN Melaka setelah mereka bertindak menjatuhkan kerajaan negeri campuran UMNO-Perikatan Nasional (PN) sebelum itu.

Bahkan, beliau menegaskan parti-parti pembangkang yang menerima dua daripada tiga bekas wakil rakyat UMNO berkenaan, turut menerima implikasi besar dan kalah teruk pada PRN Melaka.

"Justeru, apabila kerajaan baharu terbentuk dan dipimpin Perdana Menteri UMNO, harapan sebenar rakyat adalah kerajaan ini dapat membawa negara keluar daripada kemelut pandemik serta meningkatkan ekonomi mereka, bukan minta PRU15 dilaksana segera.

"Jangka hayat pentadbiran kerajaan Ismail Sabri pun baru 100 hari, mengapa pula ada desakan untuk segerakan PRU15? Seolah-olah gerakan kali ini yang cuba hendak menjatuhkan kerajaan UMNO adalah UMNO sendiri," katanya lagi.

Berikutan itu, bekas Setiausaha Agung BN itu menganggap sebarang usul mempercepatkan pelaksanaan PRU15 dikemukakan beberapa perwakilan Pemuda Bahagian UMNO di seluruh negara adalah tindakan tidak matang yang tidak mengambil kira keseluruhan aspek kebajikan rakyat.

Lebih menyedihkan, beliau turut kesal desakan sebegitu turut dijuarai segelintir ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO.

"Saya hendak mengingatkan kelompok ini janganlah letak kepentingan diri melebihi kepentingan rakyat dan parti.

"Mereka juga kena ingat kuasa membubarkan Parlimen terletak di tangan Perdana Menteri dengan Ismail Sabri bukan sahaja perlu ambil kira suara ahli-ahli Parlimen BN, bahkan perlu dengar pandangan keseluruhan 220 ahli Parlimen sebelum memutuskannya," katanya.

Bekas Menteri Pelancongan itu juga turut menolak alasan kehadiran menteri-menteri yang bukan daripada UMNO dalam kerajaan Keluarga Malaysia yang menyebabkan kedudukan Ismail Sabri selaku Perdana Menteri tidak selamat.

Menurutnya, sikap segelintir pemimpin UMNO yang sentiasa mencari jalan agar PRU15 dipercepatkan yang menjadi punca kerajaan Ismail Sabri seolah-olah tidak stabil.

"Ismail Sabri dan Jemaah Menteri sudah beri khidmat terbaik dalam tempoh 100 hari.

"Sudah-sudahlah mana-mana pemimpin UMNO yang geli sangat hendak jadi calon pilihan raya, jangan jadi punca kerajaan tidak stabil kerana rakyat akan tolak UMNO dan BN kelak," katanya.

Klik di sini untuk terus membaca