SHAH ALAM - Menyertai perkhidmatan e-hailing adalah antara alternatif terbaik buat golongan muda yang masih belum mendapat peluang pekerjaan.
Begitu pandangan dilontarkan Tengku Syazmeer Najmi Tengku Norman Aziza, 29, yang menjadi pemandu e-hailing separuh masa di Seremban, Negeri Sembilan.
"Kerjaya dalam sektor ekonomi gig terutama e-hailing dan penghantar makanan (rider) adalah antara pekerjaan yang sangat sesuai untuk golongan muda.
"Ini kerana ia mempunyai masa kerja fleksible, selain dapat meluaskan pandangan dan pengalaman dengan belajar pelbagai ragam manusia," katanya yang juga seorang pelajar di UniKL Business School.
Menurutnya, pendapatan yang diperolehi boleh dikatakan agak berbaloi terutama selepas kerajaan melonggarkan banyak sekatan perjalanan berbanding awal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dahulu.
"Ketika awal pandemik memang susah sangat mahu dpat penumpang kerana orang tidak boleh keluar rumah, mahu mendapatkan RM50 sehari pun sukar.
"Tetapi sekarang, Alhamdulillah keadaan sudah agak baik dan saya boleh mendapat kira-kira RM50 - RM100 lebih sehari," katanya lagi.
Tengku Syazmeer Najmi mengakui walaupun berbaloi menyertai e-hailing tetapi sesiapa yang mahu menyertai perkhidmatan ini perlu bersedia terlebih dahulu untuk mengeluarkan belanja sebelum boleh mula membawa penumpang.
"Dulu nak bawa penumpang tidak perlu keluar duit tetapi sekarang perlu belanja agak besar disebabkan harus memenuhi beberapa keperluan yang digariskan oleh kerajaan antaranya mengambil lesen Public Service Vehicle (PSV) yang dianggarkan berharga antara RM200-RM300.
"Selain itu perlu membuat pemeriksaan kesihatan, memperbaharui lesen PSV setiap tahun, cukai jalan, insurans dan sebagainya," katanya.
Klik di sini untuk terus membaca