SHAH ALAM - Majoriti perwakilan sayap UMNO menuntut pelaksanaan segera Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) diadakan lebih awal disebabkan struktur pentadbiran kerajaan Pusat yang bukan diperintah parti itu secara total menyukarkan usaha membantu memenuhi kehendak rakyat.
Ketua Pemuda UMNO bahagian Bukit Gantang, Mohammad Sollehin Mohamad Tajie berkata, memandangkan dalam kerajaan dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ada rakan parti lain yang 'tidur sebantal, mimpi lain-lain', agak sukar untuk akar umbi parti memberi Naib Presiden UMNO itu lebih masa dalam mengukuhkan kestabilan politik negara.
Jelas beliau, terdapat banyak tuntutan rakyat seperti pengeluaran 'one-off' wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bernilai RM10,000 yang gagal dilaksanakan kerajaan sedia ada sekali pun Perdana Menteri adalah daripada UMNO.
"Tuntutan-tuntutan rakyat yang tidak dipenuhi kerajaan dipimpin Ismail Sabri adalah disebabkan menteri-menteri yang sepatutnya bertanggungjawab melaksanakannya adalah parti lain dan tidak memahami aspirasi yang cuba dibawa Perdana Menteri UMNO itu.
"Justeru, saya melihat keputusan pengekalan kerajaan sekarang hanya untuk beri kestabilan sementara.
"Bagi saya, Perdana Menteri harus menerima hakikat pelaksanaan PRU15 perlu disegerakan demi mewujudkan kestabilan politik untuk tempoh masa panjang sekali gus memastikan aspek pemulihan ekonomi negara dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan," katanya kepada Sinar Premium pada Ahad.
Beliau berkata demikian bagi mengulas desas-desus terdapat gerakan di peringkat akar umbi UMNO yang cuba mengusulkan cadangan pelaksanaan PRU15 lebih awal pada tahun hadapan dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021, 13 Januari hadapan.
PAU 2021 dijangka menjadi tumpuan rakyat susulan beberapa isu panas seperti hala tuju hubungan UMNO dan Pas melalui Muafakat Nasional (MN) akan dibincangkan selain tuntutan pelaksanaan PRU15 lebih awal susulan UMNO dan Barisan Nasional (BN) menang besar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Sollehin yang juga Pengarah Strategik Pergerakan Pemuda UMNO Perak turut menekankan kepentingan pelaksanaan PRU15 sebelum proses pemilihan parti pada tahun hadapan bagi mengelakkan berlakunya perpecahan dalaman.
Selain itu, beliau juga melihat isu status kerjasama UMNO-Pas melalui Muafakat Nasional (MN) juga perlu diperhalusi secara tuntas agar sebarang keputusan dibuat tidak merugikan peluang UMNO.
"Paling penting, semua negeri kecuali Sabah perlu mengikut keputusan PAU dan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO dalam memutuskan sama ada kerjasama MN masih diperlukan atau tidak bagi menghadapi PRU15.
"Tidak boleh setiap UMNO negeri menerima kuasa autonomi dalam menentukan status kerjasama MN sebagaimana di Sabah kerana langkah itu bakal menjadikan parti berpecah-belah," katanya.
Sementara itu, Ahli MKT UMNO, Datuk Mohd Razlan Muhammad Rafii mengakui sudah sampai masanya untuk UMNO menilai sama ada UMNO negeri perlu diberikan kuasa autonomi untuk meneruskan kerjasama dengan Pas melalui gagasan MN atau tidak.
Mengakui proses perbincangan bagi menentukan status kerjasama MN sedang berjalan, Naib Ketua UMNO Bahagian Seputeh itu turut mengajak akar umbi parti untuk tidak malu bersuara dalam mengutarakan pandangan mereka berkenaan isu itu.
"Melalui mesyuarat di peringkat sayap dan bahagian, kita akan melihat bagaimana pandangan dan suara akar umbi terhadap status kerjasama MN dengan UMNO akan tentukan satu keputusan muktamad di kemudian hari.
"Ini masanya untuk parti menilai sama ada UMNO negeri perlu diberikan autonomi untuk meneruskan kerjasama MN, namun paling penting adalah segala keputusan dibuat haruslah memikirkan kemenangan parti dalam menghadapi PRU15," katanya.
Klik di sini untuk terus membaca