SHAH ALAM - Masalah penglihatan kanak-kanak di Malaysia berada di tahap semakin membimbangkan dan berpotensi menyebabkan peningkatan komplikasi rabun dalam kalangan kanak-kanak jika tidak dikawal dari awal. Ketua Penolong Pengarah Kanan... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Masalah penglihatan kanak-kanak di Malaysia berada di tahap semakin membimbangkan dan berpotensi menyebabkan peningkatan komplikasi rabun dalam kalangan kanak-kanak jika tidak dikawal dari awal.

Ketua Penolong Pengarah Kanan (Pakar Optometri), Bahagian Sains Kesihatan Bersekutu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Dr Duratul Ain Hussin berkata, masalah penglihatan kumpulan itu juga dijangka meningkat lebih tinggi berbanding anggaran yang dikeluarkan oleh laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebelum pandemik Covid-19.

Kajian oleh beberapa hospital di bawah KKM bersama sebuah universiti swasta mengenai masalah penglihatan kanak-kanak prasekolah pada 2017 mendapati sekurang-kurangnya satu daripada 10 kanak-kanak di Malaysia menghadapi masalah rabun jauh.

Dr Duratul Ain berkata, penyumbang utama peningkatan jumlah rabun adalah disebabkan faktor perubahan gaya hidup semasa pandemik Covid-19.

Menurutnya, peningkatan aktiviti kerja seperti penggunaan paparan digital semasa Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) yang diperlukan semasa proses pembelajaran selain pengurangan aktiviti di luar rumah.

"Secara teorinya memang prevalens (kes kerabunan) itu akan meningkat sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Kebimbangan itu bukan sahaja berlaku di Malaysia, tetapi juga di negara lain.

"Negara China telah menjangkakan kesan kawalan pergerakan akibat Covid-19 kepada penglihatan kanak-kanak dan telah pun membuat kajian berlakunya peningkatan kes rabun,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.

PENTINGNYA CAHAYA MATAHARI

Mengulas lanjut, Dr Duratul Ain berkata, seperti juga aktiviti membaca, peningkatan penggunaan paparan digital dan gajet khususnya ketika PKP juga berpotensi menyebabkan kerabunan dalam kalangan kanak-kanak yang kebiasaannya berlaku seawal usia enam tahun.

Tambahnya, situasi tersebut diburukkan lagi dengan ketiadaan aktiviti luar yang mendedahkan kanak-kanak kepada cahaya matahari dan penyerapan vitamin D yang boleh mencegah rabun daripada berlaku.

"Mata kita ini sebenarnya sangat perlukan cahaya matahari kerana ia akan menyebabkan badan mengeluarkan hormon yang boleh mengawal perkembangan panjang bola mata. Rabun boleh berlaku jika bola mata panjang daripada julat normal.

"Jadi bila kanak-kanak tidak keluar rumah untuk bermain dan tidak kena cahaya matahari, mereka tidak akan keluarkan hormon tersebut dan menyebabkan pembesaran mata itu lebih cepat dan bola mata jadi memanjang.

"Disebabkan itulah kanak-kanak akan mengalami masalah rabun jauh,” ujarnya.

Pada masa sama, Dr Duratul Ain berkata, meskipun masih tiada kajian terbaharu berkenaan tahap rabun dialami kanak-kanak di Malaysia, namun pengalamannya bertugas di Hospital Kuala Lumpur antara tahun 2016 hinga 2019 menunjukkan tiga daripada 10 kanak-kanak yang diperiksa menghadapi masalah rabun pada tahap yang tinggi.

"Maksudnya ialah ‘power’ rabun kanak-kanak itu lebih daripada -500D atau apa dipanggil tahap miopia tinggi,” jelas beliau.Dr Duratul Ain menjelaskan, mata yang sudah berada di tahap tersebut mempunyai risiko mengalami mata malas, lekang retina dan degenerasi saraf mata serta berpotensi menyebabkan penglihatan terhad dan kebutaan kekal.

"Komplikasi penyakit mata akibat miopia yang tinggi boleh menyebabkan kebutaan berlaku pada usia muda yang produktif,” ujarnya.

Menurut beliau, pada peringkat awal, rabun yang tidak dikesan akan menyebabkan kanak-kanak sukar melihat apa yang diajar oleh guru di dalam kelas dan seterusnya mengganggu proses pembelajaran mereka.

Kesan daripada itu, beliau berkata, kanak-kanak akan tercicir dalam akademik dan mula rasa rendah diri berbanding kawan-kawannya.

"Terdapat kajian yang telah membuktikan terdapat peningkatan akademik bagi kanak-kanak yang telah menerima rawatan rabun dengan cermin mata,” ujar beliau lagi.

Jelas beliau, dari segi genetik, kajian dilakukan turut mendapati kelaziman rabun jauh adalah lebih tinggi dalam kalangan orang Asia iaitu 70 ke 90 peratus berbanding hanya 30 hingga 40 peratus dalam kalangan orang Amerika dan Eropah.

Bantu anak-anak buat pengesanan awal

Dr Duratul Ain berkata, untuk menangani masalah rabun, adalah penting untuk ibu bapa membawa anak mendapatkan saringan penglihatan seawal usia empat tahun dengan optometris.

Beliau berkata, ibu bapa perlu sedar bahawa masalah rabun boleh berlaku kepada sesiapa sahaja tidak kira latar belakang kerana gaya hidup adalah faktor penyumbang lebih utama kepada isu tersebut selain daripada genetik.

"Rabun ini memang tidak menyebabkan rasa sakit. Bagi kanak-kanak, dia tidak tahu pun dia rabun sehingga mata mereka diperiksa. Itu perkara penting yang ibu bapa perlu tahu.

"Bagi kanak-kanak yang berumur empat tahun, dia akan ingat kalau dia tidak nampak sesuatu benda itu adalah normal, kerana anggapannya kawan dia pun sama macam itu,” jelasnya.

Menurut Dr Duratul Ain, bagi kanak-kanak yang lahir di hospital di bawah KKM, pihak klinik kesihatan turut menyediakan perkhidmatan pemeriksaan mata untuk kanak-kanak apabila mencapai umur empat tahun.

Bagaimanapun, beliau berkata, saringan tersebut juga bergantung kepada kesediaan jumlah staf terlatih di klinik tersebut bagi menjalankan ujian penglihatan berkenaan.

Katanya, KKM menerusi program Amblyopia and Visual Impairment Screening (AVIS) sejak 2017 turut menjalankan saringan penglihatan di tadika terpilih di seluruh negara.

Klik di sini untuk terus membaca