SHAH ALAM - Penggunaan tayar terpakai termasuk untuk kenderaan komersial adalah tidak selamat kerana tidak mampu menampung beban yang berlebihan untuk jangka masa panjang. Ketua Pusat Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya, Fakulti... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Penggunaan tayar terpakai termasuk untuk kenderaan komersial adalah tidak selamat kerana tidak mampu menampung beban yang berlebihan untuk jangka masa panjang.

Ketua Pusat Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya, Fakulti Kejuruteraan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr Law Teik Hua berkata, tayar terpakai yang disahkan untuk kegunaan kenderaan komersial juga berdepan risiko keselamatan kepada pemandu dan pengguna jalan raya yang lain.

Menurutnya, kerana itu penggunaan tayar terpakai amat tidak digalakkan sama sekali kerana boleh mengundang kejadian yang tidak diingini.

"Untuk kenderaan komersial, kita tahu kosnya tinggi kerana tayar besar dan mahal, kerana satu kenderaan perlu lebih daripada empat, ada yang lebih daripada lapan tayar.

"Oleh kerana ia amat mahal, sebab itu ia hanya untuk kegunaan komersial, di mana ada pihak menjadikan tayar terpakai ini sah untuk mereka. Kerajaan mungkin tutup mata dalam hal ini.

"Tapi sebenarnya ini tidak digalakkan. Oleh itu, adalah salah jika dikatakan tayar terpakai boleh digunakan,” katanya.

Beliau menjelaskan, hayat tayar baharu juga amat bergantung kepada tempoh kegunaan dan cara pemanduan apatah lagi tayar terpakai yang sememangnya mempunyai jangka hayat lebih pendek.

"Penggunaan tayar terpakai tidak digalakkan kerana tidak tahan dari segi muatan yang berat atau jika kenderaan dibawa dengan laju.

"Apabila kenderaan dipandu laju dan dengan muatan berat, ia akan menghasilkan tekanan. Tekanan memang sukar ditampung tayar terpakai. Jadi untuk kenderaan komersial juga tidak selamat,” katanya.

Teik Hua

Justeru, tambah beliau, pihak pengendali kenderaan komersial perlu memastikan tayar terpakai tidak digunakan untuk tempoh yang lama.

Beliau berkata, penggunaan tayar terpakai haram juga boleh menyebabkan risiko tinggi untuk meletup terutamanya melibatkan perjalanan jauh.

"Amalan penggunaan tayar terpakai adalah biasa dan ia mempunyai dua kategori iaitu legal (sah) dan illegal (haram).

"Tayar terpakai ini ada juga digunakan untuk kenderaan biasa tetapi ia lebih banyak digunakan oleh pihak industri untuk trak atau lori mereka kerana kosnya lebih murah berbanding tayar asli. Ia boleh digunakan tapi jangka hayatnya lebih pendek, membuatkannya lebih jimat.

"Namun, tayar terpakai yang sah atau tayar celup yang dikeluarkan pengeluar berlesen dan mengikut standard kualiti yang ditetapkan ini juga agak tinggi hingga mencecah ribuan ringgit sebiji, menyebabkan ada yang memilih tayar terpakai haram.

"Penggunaan tayar terpakai haram inilah yang menjadi masalah kerana standard kualitinya tidak ada, menyebabkan tiada jaminan keselamatan,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca