BARU-BARU ini, pihak media asing melaporkan bahawa satu perjumpaan oleh 19 datuk bandar di Filipina telah menyuarakan sokongan mereka agar Sabah ‘dikembalikan’ semula kepada Filipina walaupun mungkin dengan cara kekerasan.
Berita itui kemudiannya disangkal sebagai tidak benar. Menurut Pengarah Kementerian Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Datuk Hazani Ghazali, perjumpaan tersebut sebenarnya adalah satu perbincangan mencari jalan terbaik bagi menangani ancaman pengganas di dalam Filipina atau kawasan mereka sendiri.
Setelah berlalunya insiden pencerobohan Lahad Datu pada 2013, mungkin ramai tidak mengetahui atau memahami kenapa tuntutan Filipina terhadap Sabah tidak pernah reda dan diibaratkan sebagai ‘api di dalam sekam’.
Tuntutan waris Kesultanan Sulu terhadap Sabah boleh diibaratkan sebagai satu permainan wayang kulit oleh Filipina. Kepimpinan politik di Manila adalah tok dalang sebenarnya yang sekian lama secara halus mempergunakan bangsa-bangsa berbeza di Selatan Filipina seperti bangsa Tausug sebagai alat untuk mendapatkan Sabah.
Cara sebegitu, Manila akan dapat menyelamatkan diri di pentas arena politik antarabangsa daripada dikecam apabila berlaku insiden seperti pencerobohan di Lahad Datu memandangkan yang melakukan kegiatan tersebut adalah militia atau kumpulan ‘pengganas’.
Umum juga mungkin hairan kenapa rakyat di Selatan Filipina begitu terdesak sehinggakan sanggup bergadai nyawa menceroboh Lahad Datu untuk cuba mendapatkan hak milik tanah, kononnya milik mereka hingga mengakibatkan ramai ditangkap dan terkorban.
Bagi memahami kenapa bumi Sabah dilihat begitu kritikal kepada Manila, kita perlu faham mengenai apa yang kini dihadapi oleh setiap kerajaan yang dilantik untuk menerajui negara pulau tersebut.
TANAH TRADISIONAL
Walaupun sebuah republik, Filipina sebenarnya mempunyai corak kehidupan sosial lebih mirip kepada sebuah negara feudal. Sebahagian besar kekayaan dan hak milik tanah dimiliki oleh tuan-tuan tanah tradisional sejak turun temurun.
Pada 1998, 90 peratus daripada keseluruhan tanah di Filipina dibolot oleh hanya 10 peratus pemilik tanah. Maknanya, 90 peratus daripada penduduk Filipina tidak memiliki sebarang tanah milik sendiri!
Pada 2017, dalam kajian dilaksanakan oleh Bank Pembangunan Asia (ADB) mendapati hanya sepertiga penduduk negara tersebut mempunyai hak milik terhadap hartanah mereka duduki dan hanya 10 peratus penduduknya memiliki tanah sendiri untuk pertanian.
Walaupun duduk di tanah yang subur untuk pertanian, 38 peratus kanak-kanak luar bandar Filipina mengalami masalah tumbesaran terbantut. Setiap seorang daripada lima penduduk Filipina dikategorikan sebagai hidup di bawah tahap kemiskinan tegar. Ia adalah jumlah besar jika dinisbahkan kepada keseluruhan jumlah penduduk Filipina iaitu seramai 111 juta orang.
Dengan jumlah penduduk yang semakin meningkat, keluasan tanah pulau dan hak miliknya yang terhad kepada golongan kaya dan keluarga ahli politik, rakyat marhaen dan petani Filipina berasakan diri semakin tersepit.
Setiap ahli politik di Filipina yang berjaya menguasai negara tersebut telah dan akan terus menggunakan isu pembahagian dan program agihan tanah kepada rakyat biasa dan petani sebagai manifesto untuk mencapai kemenangan pilihan raya.
Sehingga hari ini pembaharuan dan undang-undang yang cuba dilaksana untuk mengagihkan tanah kepada rakyat biasa dan petani terus menemui jalan buntu kerana tuan dan pemilik tanah lazimnya mempunyai hubungan rapat dengan pihak berkuasa dan orang politik.
Petani yang cuba menuntut hak ke atas tanah seperti dicanangkan oleh program-program kerajaan telah menerima ancaman dan ugutan. Malah, pada 2014, seramai 664 petani diberitakan telah dibunuh militia dan orang upahan kerana cuba mempertahankan hak mereka.
Sabah yang mempunyai keluasan dan kesuburan tanah menghijau tentunya mampu memberikan harapan kepada Manila dalam mencari penyelesaian singkat bagi masalah yang mereka hadapi berkaitan agihan tanah kepada rakyatnya.
Seperkara yang menarik selepas kekalahan pasukan militia Kesultanan Sulu yang hampir keseluruhannya berbangsa Tausug di Lahad Datu pada 2013, tentera Filipina sendiri kini berminat melatih dan telah menubuhkan pasukan yang sebahagian besarnya terdiri daripada pemuda berbangsa Tausug dari Sulu.
Pasukan pertama seramai 237 telah menamatkan latihan pada 2020 dan tahun ini, 245 orang lagi telah menamatkan latihan.
Apakah ia satu lagi permainan baharu tok dalang Manila? Hanya masa dan keadaan yang akan menentukannya.
Klik di sini untuk terus membaca