SEJAK 'lockdown' pertama kali dilaksanakan pada Mac 2020 dan sempadan negara ditutup bagi mengelak kemasukan pengembara-pengembara antarabangsa termasuk pelancong asing, banyak perniagaan restoran, kedai-kedai barangan dan resort di... Klik di sini untuk terus membaca

SEJAK 'lockdown' pertama kali dilaksanakan pada Mac 2020 dan sempadan negara ditutup bagi mengelak kemasukan pengembara-pengembara antarabangsa termasuk pelancong asing, banyak perniagaan restoran, kedai-kedai barangan dan resort di Indonesia terjejas disebabkan Covid-19.

Pada tahun lalu, industri pelancongan di negara itu dilaporkan mengalami kerugian lebih AS$7 bilion (RM29.46 bilion).

Namun, baru-baru ini kerajaan Indonesia mengumumkan pembukaan semula sempadan negara tersebut secara rasmi pada Oktober lalu.

Bagaimanapun, penerbangan antarabangsa terus ke Pulau Bali masih belum disambung semula kerana para pelancong diwajibkan untuk menjalani kuarantin dan keperluan visa yang ketat sekali gus membataskan kemasukan warga asing.

Berikutan bimbang penularan varian baharu Omicron yang diumumkan penemuannya di Afrika Selatan pada bulan lalu, Indonesia telah melanjutkan kuarantin mandatorinya kepada 10 hari sekali gus memusnahkan harapan untuk sektor pelancongan bangkit semula di negara berkenaan.

Sebelum pandemik menular di seluruh dunia, Kepulauan Gili yang mempunyai tiga buah pulau iaitu Trawangan, Meno dan Air yang terletak berhampiran dengan Lombok menjadi daya tarikan utama pelancong asing.

Ia telah lama bergantung kepada para pelancong asing untuk menjana ekonomi tempatan.

Kesemua pulau itu terkenal dengan perairan birunya, pantai berpasir dan pelbagai hidupan marin.

TIADA PELANCONG

Justeru, ia kini digelar sebagai 'Pulau Hantu' oleh media tempatan kerana ketiadaan pelancong dari luar negara dan pengembara asing sehinggakan kedai pengurup wang pun terpaksa ditutup.

Menurut Lalu Kusnawan iaitu Pengerusi Persatuan Hotel Gili yang menguruskan resort di Pulau Trawangan,terdapat kira-kira 8,00 buah hotel dengan 7,000 buah bilik tetapi hanya antara 20 dan 30 buah hartanah yang masih dibuka untuk para pelancong dan pengembara.

Kedai-kedai, bar-bar, kafe-kafe, restoran-restoran semuanya kosong, ada yang dijual manakala yang lain telah ditinggalkan atau dibiarkan sama sekali hinggakan habuk-habuk termasuk sarang labah-labah berkumpul di atas meja serta kerusi panjang yang tidak digunakan.

Kakitangan-kakitangan yang pernah bekerja di pulau tersebut terpaksa menggunakan cara lain untuk mencari rezeki dengan ada yang beralih kepada memancing semata-mata untuk menyara keluarga mereka.

Cef Ilhani yang pernah bekerja dengan sebuah restoran Jepun kini terpaksa menjual makanan ringan untuk menyara kehidupan. - Foto AFP

Kusnawan juga berasa bimbang kerana dia dan rakan-rakan penduduk di pulau tersebut telah lama berdepan dengan sektor pelancongan yang suram dan sepii itu.

"Kami sudah berada dalam keadaan teruk sebelum Omicron," tambahnya seperti dilaporkan oleh AFP.

Keperitan hidup akibat kegiatan pelancongan yang tidak cergas turut dirasai seorang pengusaha bot.

SUKAR BERTAHAN

Abdian Saputra yang menjalankan operasi perkhidmatan bot dari Bali ke pulau-pulau itu pula berkata, dia terpaksa menjual aset miliknya dan memberhentikan separuh kakitangan untuk memastikan perniagaannya dibuka kerana penularan pandemik tersebut membawa makna bahawa bilangan bot yang membawa pelancong perlu dikurangkan.

"Saya jarang melihat penumpang baharu sejak pandemik. Jika kita berhenti (beroperasi), perniagaan seperti hotel juga akan mati. Kita saling membantu untuk terus bertahan," katanya kepada AFP.

Namun, dia memberitahu jika keadaan muram seperti itu berlanjutan, perniagaannya itu cuma dapat bertahan pada Januari atau awal Februari tahun depan.

Dalam pada itu, seorang cef masakan yang hanya dikenali sebagai Ilhani dan pernah menghidangkan masakan Jepun kepada pelancong-pelancong setiap malam turut menerima kesan akibat Covid- 19.

Dia kini dia hanya memperoleh AS$3 (RM12.63) sehari apabila menjual makanan ringan di jalan-jalan kosong berhampiran Gili Trawangan yang dahulunya sibuk dengan para pelancong asing.

"Hidup sangat sukar sekarang. Saya menjual makanan ringan kerana ia adalah sesuatu yang mampu dimiliki oleh penduduk tempatan," katanya kepada AFP.

"Dulu, apa sahaja yang kami jual ada saja pelancong yang akan membeli namun sekarang anda boleh melihat pulau ini, sepi," tambahnya.

Sungguhpun begitu, bagi pelancong asing yang tiba di Indonesia sebelum sempadan negara ditutup atau yang sudah tinggal di negara ini, keadaan itu membolehkan mereka menerokai pulau syurga tersebut tanpa diganggu oleh aktivisi pelancongan secara besar-besaran.

Nicolas Lindback yang berasal dari Norway, menjelaskan: "Saya tidak akan mengalami pengalaman berada di pulau seperti ini lagi tetapi saya lebih suka (aktiviti) pelancongan kembali (semula) kerana penduduk tempatan sudah menderita cukup lama." - Agensi

Klik di sini untuk terus membaca