SHAH ALAM - Siapa sangka dengan hanya bermain permainan digital bola sepak FIFA, seorang atlet sukan elektronik meraih pendapatan sehingga RM80,000 setahun dengan hanya memenangi kejohanan e-sukan yang disertainya. Malah sepanjang empat... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Siapa sangka dengan hanya bermain permainan digital bola sepak FIFA, seorang atlet sukan elektronik meraih pendapatan sehingga RM80,000 setahun dengan hanya memenangi kejohanan e-sukan yang disertainya.

Malah sepanjang empat tahun Muhamad Luqman Haziq Hajiman, 24, bergelar pemain profesional FIFA, dia telah meraih wang kejohanan sebanyak RM150,000.

"Saya pernah menjadi juara lebih 20 kali. Tahun lepas sahaja, saya berjaya memperoleh RM80,000 melalui kejohanan yang saya sertai.

"Jumlah wang paling banyak yang saya pernah menang adalah RM20,000 iaitu pada Kejohanan FIFA Global Series (Qualifier 3 East Asia) pada tahun lepas.

"Dalam setahun anggaran pulangan yang saya peroleh sekurang-kurangnya RM60,000 bergantung kepada berapa banyak kejohanan yang saya sertai,” katanya kepada Sinar Harian baru-baru ini.

Muhamad Luqman yang bergelar juara di ePiala Malaysia pada tahun 2020.

Dia yang dikenali Fenrir, merupakan ahli pasukan GBX Esports. Fenrir berasa amat bertuah kerana selain mendapat wang pulangan yang lumayan daripada kejohanan disertainya, dia juga merupakan pemain yang memperoleh gaji dibayar pada setiap bulan.

"Pemain FIFA ada dua pendapatan sama ada melalui wang pulangan yang dimenangi atau dalam bentuk gaji bulanan. Saya bertuah berada dalam posisi di mana saya dibayar gaji setiap bulan untuk bermain FIFA yang mana tidak ada pada pemain-pemain lain,” katanya. Muhamad Luqman yang juga pemain FIFA rasmi untuk Pasukan Bola Sepak Kebangsaan Malaysia (FAM) berkata, pencapaian yang paling dibanggakan sepanjang kerjayanya adalah menjadi pemain FIFA nombor satu di Malaysia selama empat tahun berturut-turut di samping pernah menjadi satu-satunya wakil Malaysia ke luar negara.

"Saya merupakan satu-satunya pemain FIFA mewakili Malaysia ke Barcelona dan Manchester pada tahun 2019. Itu adalah pertama kali pemain dari Asia Tenggara dapat mencapai ke tahap antarabangsa yang mana ketika itu saya di kedudukan ke-47 di dunia.

"Perkara itu dapat membuka mata ramai orang termasuk pihak penganjur FIFA bahawa pemain Malaysia berbakat. Semasa berada di Barcelona, kehidupan saya juga mula berubah yang mana saya mendapat banyak pendedahan dan pengalaman dalam e-sukan FIFA ini,” katanya.

Muhamad Luqman yang juga berkedudukan lima teratas di Asia bagi e-sukan FIFA berkata, posisi yang dimiliki ketika ini bukanlah sekadar satu pencapaian bahkan juga merupakan satu cabaran terbesar baginya.

"Tentunya saya berasa bangga menjadi pemain nombor satu di Malaysia dan antara pemain terbaik di Asia, namun untuk mengekalkan kedudukan sekarang ini merupakan satu cabaran yang sukar bagi saya kerana corak permainan FIFA ini berubah-ubah setiap tahun,” katanya.

Muhamad Luqman yang juga merupakan graduan sarjana muda kewangan dari Universiti Malaya (UM) berkata, sekiranya dia tidak lagi menjadi pemain profesional atau bersara, dia berharap agar dia masih dapat memberi sumbangan kepada industri FIFA.

"Perancangan saya sekarang ini adalah menyumbang kebolehan saya kepada pasukan dan negara. Ini merupakan kerjaya tetap saya untuk sekarang ini dan saya masih lagi melihat sejauh mana industri e-sukan FIFA dapat berkembang di negara ini.

"Sekalipun saya berhenti menjadi pemain profesional atau bersara, saya berminat untuk kekal di dalam industri ini sebagai pelatih, penganalisis atau individu yang terlibat dalam pembangunan industri FIFA di Malaysia,” katanya.

Di samping itu, Muhamad Luqman memahami segelintir masyarakat yang memandang rendah terhadap e-sukan. Beliau menganggap ia sebahagian daripada tanggungjawabnya untuk memberi orang ramai lebih pendedahan tentang bagaimana e-sukan di Malaysia ini mempunyai potensi untuk pergi jauh.

INFO

Profil pemain:

Nama penuh: Muhamad Luqman Haziq bin Hajiman

Dikenali sebagai : Fenrir

Umur: 24

Asal: Ampang, Selangor

Jawatan: Pemain FIFA profesional

Pendidikan: Sarjana Muda Kewangan dari Universiti Malaya (UM)

Klik di sini untuk terus membaca