SHAH ALAM - Malaysia E-sports Federation (MESF) memohon agar kerajaan dapat memulangkan kembali peranan mereka sebagai badan e-sukan tertinggi Malaysia bagi terus membangunkan industri e-sukan.
Presiden MESF, Datuk Ananth S Nathan berkata, keputusan kerajaan yang menubuhkan satu entiti baharu untuk mengurus e-sukan negara akan menyebabkan kekeliruan banyak pihak.
"Kerajaan sepatutnya memulangkan kembali identiti MESF sebagai badan yang mentadbir semua perihal e-sukan dalam negara. Kerajaan sepatutnya tidak campur tangan dan jangan mengelirukan pemain dan pihak penganjur dengan entiti baharu untuk e-sukan.
"Dalam akta pembangunan sukan, parti yang terlibat harus faham MESF adalah badan rasmi yang berdaftar. Kerajaan memerlukan sokongan untuk mengawal industri e-sukan ini,” katanya kepada Sinar Harian.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dalam pembentangan Bajet 2022 baru-baru ini mengumumkan peruntukan RM10 juta kepada MSN untuk meningkatkan program latihan atlet para dan melaksanakan Liga Sukan Orang Kelainan Upaya (OKU) bagi memperkasakan lagi Sukan OKU.
Turut diumumkan peruntukan RM159 juta bagi membina, menaik taraf dan menyelenggara kemudahan sukan di seluruh negara dengan antaranya memulakan pembinaan sebuah stadium dengan pelbagai fasiliti di Bukit Merbau, Pasir Putih, Kelantan.
Selain itu, kerajaan juga menyediakan peruntukan RM20 juta bagi merancakkan pertumbuhan e-sukan yang dilihat mempunyai prospek terbaik bagi pembangunan sukan negara.
Tambah Ananth, e-sukan mempunyai masa depan yang cerah di Malaysia namun dianggap masih malap oleh sesetengah pihak kerana ada campur tangan dari segelintir sektor untuk kepentingan peribadi.
"Mereka ini hanya mendengar idea daripada segelintir pihak yang mana tujuan utama mereka adalah berdasarkan keuntungan dan bukan pada pembangunan industri,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca