SHAH ALAM - Peniaga yang menjual tayar terpakai tetapi meletakkan harga seperti tayar baharu boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Perihal Dagangan 2011. Timbalan Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Peniaga yang menjual tayar terpakai tetapi meletakkan harga seperti tayar baharu boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Perihal Dagangan 2011.

Timbalan Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Rosol Wahid berkata, akta berkenaan melibatkan larangan perihal dagangan dan pembekalan barangan palsu di negara ini.

"Jika mereka didapati bersalah untuk kesalahan tersebut, kita akan ambil tindakan di bawah Akta Perihal Dagangan 2011.

"Akta Perihal Dagangan 2011 itu memperincikan mengenai penjualan barang-barang palsu dan tiruan,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, peniaga yang menjual tayar kenderaan baharu perlu memastikan ia menepati kriteria penting seperti mempunyai label keselamatan daripada Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM).

Ketika ditanya mengenai bilangan peniaga yang menjual tayar terpakai dengan harga seperti tayar baharu, beliau berkata, pihaknya masih belum mempunyai data tersebut."Kriteria untuk tayar baharu memang perlu mempunyai cop SIRIM. (Kriteria) Yang lain saya tak pasti.

"Setakat ini saya tidak ada data (peniaga jual tayar terpakai dengan harga seperti tayar baharu),” ujar beliau.

Di bawah Akta Perihal Dagangan 2011, jika disabit kesalahan dan orang itu ialah suatu pertubuhan perbadanan, boleh didenda tidak melebihi RM250,000.

Bagi kedua atau berikutnya, boleh didenda tidak melebihi RM500,000.

Bagi bukan suatu pertubuhan perbadanan, mereka boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun, atau kedua-duanya.

Bagi kesalahan yang kedua atau berikutnya, didenda tidak melebihi RM250,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun, atau kedua-duanya.

Klik di sini untuk terus membaca