SHAH ALAM - Ibu bapa dinasihatkan untuk segera membawa anak-anak menjalani pemeriksaan mata sekiranya mereka mula menunjukkan tanda-tanda awal rabun. Pakar Perunding Kanak-Kanak dan Bayi Pramatang KPJ Damansara Specialist Hospital, Datuk Dr... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Ibu bapa dinasihatkan untuk segera membawa anak-anak menjalani pemeriksaan mata sekiranya mereka mula menunjukkan tanda-tanda awal rabun.

Pakar Perunding Kanak-Kanak dan Bayi Pramatang KPJ Damansara Specialist Hospital, Datuk Dr Mohammad Iqbal Mohammad Sarwar berkata, antara gejala itu seperti sentiasa menggosok mata sehingga berair dan menonton televisyen pada jarak yang dekat.

Tambahnya, penyakit rabun juga boleh membawa kepada sakit kepala.

"Kadang-kadang anak kita ini suka gosok mata apabila mata mereka penat dan ada tekanan (strain) sehingga mata berair.

"Mereka juga menghadapi masalah lihat apa yang guru tulis di papan putih di sekolah. Main gajet terlalu dekat juga menyumbang kepada tanda awal rabun.

"Ini antara punca yang menyebabkan rabun dan tanda-tanda awal yang ibu bapa perlu tahu dan segera pergi melakukan pemeriksaan mata,” ujarnya.

Dr Mohammad Iqbal berkata, untuk memastikan anak-anak mempunyai mata sihat, ibu bapa perlu memantau pemakanan mereka dengan memberikan multivitamin mencukupi.

Sementara itu, Pensyarah Perubatan dan Pakar Oftalmologi Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Maimunah Abdul Muna’aim berkata, ibu bapa hendaklah cakna dengan perubahan pada anak-anak masing-masing terutama ketika pandemik Covid-19 yang menyebabkan sistem pendidikan telah berubah.

Jelasnya, sistem pendidikan ketika ini lebih menggunakan gajet untuk membantu dalam pembelajaran.

"Kajian menunjukkan penggunaan gajet ini telah meningkat peratusan kanak-kanak sekolah mendapat rabun terutama sekali rabun jauh,” katanya.

Dr Maimunah berkata, ibu bapa perlu mengamalkan ‘visual hygiene’ bagi mengehadkan masa penggunaan gajet kepada anak-anak.

"Elakkan anak membaca atau menonton video sambil berbaring, kerana boleh menyebabkan otot mata bekerja lebih keras dan mata boleh kabur secara sementara," tambahnya.


INFO


Tanda-tanda awal kabur penglihatan kepada kanak-kanak

1. Kedudukan kepala yang abnormal (kepala senget / teleng) ketika memfokus. Contohnya ketika menonton televisyen dan membaca.

2. Juling.

3. Membaca atau menulis pada jarak yang sangat dekat antara muka dan bahan bacaan.

4. Kesilapan atau lambat menyalin apa yang ditulis oleh guru di papan hitam atau putih.

5. Kerap meniru kawan di sebelah berbanding menyalin dari papan hitam atau putih atau lebih gemar mendekati papan hitam atau putih jika diarahkan menyalin.

6. Gemar menonton televisyen pada jarak yang dekat. Jika dijauhkan dari televisyen, anak gemar mengecilkan mata untuk memfokus.

7. Selalu menggosok mata walaupun bukan ketika mengantuk dan kerap mengerdipkan mata.

8. Sensitif terhadap cahaya.

9. Mata kerap berair secara berlebihan.

10. Gemar menutup sebelah mata ketika memfokus, contohnya ketika membaca atau menonton televisyen.

11. Mengelak atau tidak gemar dengan aktiviti dekat seperti mewarna dan membaca atau aktiviti jauh seperti bermain bola.

12. Kerap mengadu sakit kepala atau mata sakit/penat.

13. Sukar menganggar jarak.

14. Mengadu melihat objek menjadi dua (double vision).

#Sumber : http://www.myhealth.gov.my

Klik di sini untuk terus membaca