SHAH ALAM - Harga tayar baharu yang mahal menyebabkan rakyat Malaysia lebih memilih untuk membeli tayar terpakai.
Tinjauan Sinar Harian di sekitar Shah Alam mendapati, setiap kedai menawarkan harga bagi tayar baharu mencecah lebih RM180 berbanding tayar terpakai yang hanya sekitar RM40 hingga RM70 sebiji.
Seorang peniaga di kedai tayar yang ingin dikenali sebagai Thomas berkata, harga tayar baharu lebih mahal menyebabkan golongan yang kekurangan bajet memilih untuk menggunakan tayar terpakai.
"Contohnya, jika sebiji tayar baharu saiz 14 inci berharga RM140, tayar terpakai bersaiz sama cuma berharga RM50 hingga RM55 sahaja.
"Kebiasaannya, golongan ini terdiri daripada yang tiada bajet atau yang terdesak cari tayar ganti (belum gaji) disebabkan tayar rosak atau bocor,” katanya kepada Sinar Harian.
Sementara itu, peniaga kedai tayar yang enggan dikenali berkata, pembelian tersebut bergantung kepada pengguna itu sendiri memandangkan tiada kesalahan menjual tayar terpakai.
Ujarnya, perkara yang perlu dilihat ialah keadaan tayar yang tidak merekah dan kedalaman bunga sekurang-kurangnya 50 peratus atau lebih tebal.
"Tayar juga diperiksa supaya tiada kecacatan fizikal seperti bengkak, terkoyak, tersiat dan lain-lain.
"Tayar terpakai juga berisiko keselamatan dan semestinya prestasi ditawarkan tidak setanding tayar baharu.
"Malah, jangka hayat juga tidak lama. Banyak kes menunjukkan tayar terpakai yang dibeli cuma mampu bertahan lebih kurang setahun setengah sahaja,” katanya.
Tambah beliau, tayar baharu juga hanya memakan masa dua tahun atau sehingga tanda paras amaran kehausan tayar sudah tidak lagi mampu untuk memberi cengkaman pada setiap perjalanan.
Seorang lagi peniaga kedai tayar yang ingin dikenali sebagai Tony pula berpendapat, pembelian tayar terpakai sebenarnya hanya berbaloi untuk tempoh satu tahun enam bulan atau sehingga 15,000 kilometer bergantung kepada pemanduan.
Katanya, semua tayar terpakai yang dijual merupakan barang asli daripada sebelumnya dan tiada isu tayar ‘toreh’ yang merupakan satu kesalahan untuk dijual.
"Kami tidak jual tayar ‘toreh’ kerana ia satu kesalahan. Tayar kami original terpakai dan biasanya boleh tahan sehingga 15,000 kilometer.
"Tayar terpakai pun kebanyakan jenama yang tahan dan berkualiti seperti Continental dan Dunlop,” jelas beliau.
Dalam pada itu, seorang peniaga di kedai tayar yang ingin dikenali Andrew berkata, harga tayar yang dijualnya mengikut kualiti bunga pada tayar tersebut.
Menurutnya, syarat yang ditetapkan di kedai mereka minimum 40 peratus sahaja untuk dijual kepada pengguna.
"Peratusan yang minimum bagi tayar yang kami jual biasanya 40 hingga 50 peratus bunga pada tayar ini.
"Kebiasaannya tayar terpakai ini tahan dalam dua hingga tiga bulan ikut kepada pemanduan,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca