SHAH ALAM - Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menamatkan spekulasi pelbagai pihak selepas mengesahkan gagasan Muafakat Nasional (MN) diasaskan parti itu bersama UMNO pada September 2019, masih lagi bernyawa dan terus diperkukuhkan dari... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menamatkan spekulasi pelbagai pihak selepas mengesahkan gagasan Muafakat Nasional (MN) diasaskan parti itu bersama UMNO pada September 2019, masih lagi bernyawa dan terus diperkukuhkan dari semasa ke semasa.

Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang menegaskan MN tidak akan terkubur mahu pun menuju di penamatnya seperti didakwa segelintir pihak.

Duta Khas Perdana Menteri ke Asia Barat itu juga mengesahkan hubungan Pas dan UMNO masih berjalan seperti biasa biarpun terdapat perbezaan pandangan dalam kalangan pemimpin kedua-dua parti mengenai beberapa isu.

"Insya-ALLAH (MN) boleh diselamatkan, masih lagi hidup dan tidak dikuburkan. Alhamdulillah, hubungan antara Pas dengan UMNO berjalan seperti biasa dan baik. Kita anggap UMNO sebagai parti bukan sebagai individu.

"Hubungan baik kedua-dua parti itu dapat dilihat melalui kerjasama dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang ditunjangi UMNO, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas, yang masih kukuh. Malah, pemimpin kedua-dua parti juga sentiasa berhubung dan akan mengadakan pertemuan tidak lama lagi,” katanya dalam sidang akhbar sempena Majlis Sambutan Ulang Tahun Pas Ke-70 di Dewan Konvensyen, Taman Tamadun Islam (TTI) di Kuala Terengganu, pada Isnin.

Sebelum ini, ramai pemerhati politik kerjasama politik UMNO dan Pas menerusi gagasan MN kini mungkin sudah terkubur berikutan ‘perang dingin’ antara kedua-dua parti terutama selepas mereka bertembung sesama sendiri dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka baru-baru ini.

Detik bersejarah termeterainya Muafakat Nasional oleh Pas dan UMNO pada September 2019.

Abdul Hadi juga menafikan bahawa hubungannya dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dingin, seperti yang didakwa sesetengah pihak.

"Saya rasa masih hangat, di Parlimen saya sama-sama duduk dekat-dekat (dengan Ahmad Zahid). Boleh tengok kerusi Parlimen itu sebelah saya Muhyiddin (Tan Sri Muhyiddin Yassin), Dr Mahathir (Tun Dr Mahathir Mohamad), Najib (Datuk Seri Najib Tun Razak) dan Ahmad Zahid. Saya duduk di tengah-tengah jadi pendamai antara semua pihak,” katanya dalam nada berseloroh.

Abdul Hadi turut menyatakan kesediaannya untuk bertemu dengan pimpinan UMNO bagi meleraikan permasalahan yang membelenggu dua parti itu.

Terdahulu, Abdul Hadi berkata, Pas mempunyai kehebatan tersendiri untuk kekal relevan selepas 70 tahun ditubuhkan dengan bukan hanya menjadi ‘parti penumpang’, malah menjadi penyelamat, penyambung ‘talian hayat’ dan penyelamat kepada parti lain.

"Parti kita parti yang kuat, kita tak perlu tumpang parti lain. Bahkan, kita tempat penyelamat parti lain.

"Parti lain banyak bergantung dengan kita untuk selamatkan diri.

"Barang siapa nak selamatkan negara bersama dengan Islam, yang adil untuk semua, kita akan terima. Barang siapa yang meletakkan Islam di belakang, kita tak terima.

"Ini asas kita, tujuan kita untuk selamatkan ummah, umat Islam dan bukan Islam,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca