SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak secara teorinya sudah dua kali dijatuhkan berkaitan kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd iaitu satu di Mahkamah Tinggi dan keduanya di Mahkamah Rayuan. Mahkamah... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak secara teorinya sudah dua kali dijatuhkan berkaitan kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd iaitu satu di Mahkamah Tinggi dan keduanya di Mahkamah Rayuan.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 28 Julai menjatuhi hukuman 10 tahun penjara ke atas Najib bagi setiap tiga pertuduhan pecah amanah (CBT) dan tiga kes pengubahan wang haram serta penjara 12 tahun serta denda RM210 juta atau penjara lima tahun bagi satu pertuduhan menyalahgunakan kedudukan, membabitkan dana SRC Internasional berjumlah RM42 juta.

Pada 8 Disember lalu pula, Mahkamah Rayuan mengekalkan hukuman berkenaan sambil menjelaskan hakim Mahkamah Tinggi tidak tersalah arah.

Bagaimanapun, 'mastermind' terhadap skandal menggegarkan dunia, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang turut dikaitkan dengan Najib iaitu ahli perniagaan, Low Taek Jho atau Jho Low sehingga kini masih diburu.

Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak (tiga, kiri) hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini, untuk perbicaraan kes yang dihadapinya berhubung dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB). - Foto Bernama

Persoalannya, sampai bila Jho Low perlu bermaharajalela ke hulur-ke hilir sedangkan pelbagai janji untuk menangkapnya telah diungkapkan terutamanya sewaktu Pakatan Harapan (PH) menerajui negara.

Bahkan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador sewaktu mula diangkat mengepalai Sang Saka Biru turut melaungkan janji untuk memberkas anak kelahiran Pulau Pinang itu.

Namun sehingga hari ini, Jho Low masih gagal diheret ke muka pengadilan.

Penganalisis jenayah, Shahul Hamid Abdul Rahim berkata, Jho Low adalah kunci kepada kebenaran sebalik kes SRC International dan 1MDB yang melibatkan kepentingan negara.

"Amat penting untuk membawa pulang Jho Low ke negara ini dengan kadar segera kerana selagi beliau tidak dapat dijejaki maka selagi itulah kebenaran tidak akan diketahui.

"Selagi itu jugalah masyarakat akan terus membuat persepsi sendiri terhadap semua pihak yang terlibat dalam kes 1MDB," ujar Shahul kepada Sinar Premium pada Isnin.

Nama Jho Low mula menggegarkan negara dan dunia selepas laporan pendedahan Sarawak Report melalui editornya, Clare Rewcastle-Brown dan akhbar British, The Sunday Times berkaitan penyelewengan dana 1MDB.

Clare Rewcastle-Brown

1MDB ditubuhkan sebagai Terengganu Investment Authority (TIA) pada tahun 2008 dan merupakan sebuah badan pelaburan negeri itu.

Pada tahun 2009, ia diambil alih oleh kerajaan pusat dan telah diubah nama menjadi 1MDB, sejajar dengan penjenamaan ‘1Malaysia’ yang diasas Najib, Perdana Menteri ketika itu.

Shahul menambah, setakat ini, masyarakat hanya mendengar 'hearsay evidence' berkaitan penglibatan Jho Low dalam kes IMDB tanpa bukti kukuh.

Malah Shahul turut menzahirkan rasa curiga mengapa sehingga ke hari ini keberadaan Jho Low gagal dikesan.

"Dengan teknologi dan peralatan yang ada sepatutnya Jho Low dapat dibawa pulang. Kita boleh membuat pengesanan daripada ahli keluarga terdekat atau siapa sahaja yang berhubung rapat dengan beliau," katanya yang tidak menolak kemungkinan Jho Low mendapat perlindungan di negara tertentu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani pada Isnin memaklumkan pihaknya telah memperoleh notis Merah terhadap ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low daripada Polis Antarabangsa (Interpol).

Acryl Sani berkata, notis merah Jho Low dikeluarkan pada 11 Jun 2018.

Tegas Shahul, Polis Di Raja Malaysia (PDRM) harus meyakinkan Interpol bahawa Jho Low merupakan individu paling dikehendaki bagi merungkai teka-teki siapa sebenar dalang penyelewengan 1MDB.

Sementara itu, Pensyarah Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Profesor Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmod berpandangan, mahu tidak mahu, Jho Low perlu dibawa pulang ke Malaysia untuk berdepan proses keadilan.

"Sekiranya Jho Low berjaya dibawa pulang ke Malaysia, tiada sebarang halangan daripada segi undang-undang untuk menghadapkannya ke muka pengadilan.

"Ini kerana laporan tentang 1MDB memperlihat peranan Jho Low dalam menggunakan 1MDB sebagai saluran untuk beliau menggunakan wang dana tersebut untuk tujuan tertentu," katanya.

Namun katanya lagi, undang-undang membenarkan Jho Low untuk menjawab segala pertuduhan.

"Beban bukti tetap di atas pendakwa raya untuk membuktikan tanpa keraguan munasabah bahawa Jho Low bersalah dan mahkamah akan membuat keputusan akhir.

"Bukan kerana banyak publisiti tentang Jho Low maka beliau terus dianggap bersalah sebaliknya proses undang-undang harus dilaksanakan terlebih dahulu," katanya lagi.

Dalam pada itu, Nik Ahmad Kamal turut mengakui kelicikan Jho Low bersembunyi menyukarkan usaha mengesannya dan sekiranya Jho Low dapat diberkas di luar negara, masih timbul persoalan sama ada dia boleh dibawa pulang ke Malaysia.

"Sekiranya tiada perjanjian untuk membawa pulang penjenayah dengan sesebuah negara maka sukar untuk membawanya (penjenayah) pulang ke negara asal," katanya.


Kronologi Jho Low


2014

- Nama Low Taek Jho atau Jho Low mula mencuri tumpuan susulan pendedahan Sarawak Report dan akhbar British, The Sunday Times berkaitan penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

2015

- Sarawak Report menerbitkan laporan mendakwa dana 1MDB dipindahkan ke akaun peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

2016

- Singapura turut mendapatkan Notis Merah daripada Polis Antarabangsa (Interpol) terhadap Jho Low berhubung pengaliran dana 1MDB dalam bidang kuasanya.

2018

- Najib didakwa kali pertama di Mahkamah Sesyen atas tiga pertuduhan pecah amanah dan satu tuduhan salah guna kuasa melibatkan dana SRC International Sdn Bhd bernilai RM42 juta. Kes kemudian dipindahkan ke mahkamah tinggi

- Najib didakwa di Mahkamah Tinggi atas tiga penggubahan wang haram melibatkan dana sama

- Amerika Syarikat menerusi Jabatan Kehakiman (DoJ) mengenakan pertuduhan terhadap Jho Low dan dua bekas jurubank dari Goldman Sachs termasuk Tim Leissner atas pelbagai tuduhan jenayah berkaitan skandal 1MDB. Waran tangkap turut dikeluarkan pada tahun sama

2019

- Bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador pernah menyuarakan janji untuk membawa pulang Jho Low

2020

- Jho Low dan beberapa individu lain yang dikehendaki berhubung skandal 1MDB dipercayai sedang bersembunyi di China.

- Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap Najib setelah didapati bersalah atas kesemua tujuh tuduhan

2021

- Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta terhadap Najib kerana pecah amanah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram melibatkabn dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta

- Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah memperoleh notis Merah terhadap Jho Low daripada Interpol

- Ketua Polis Negara Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, notis merah Jho Low dikeluarkan pada 11 Jun 2018

Klik di sini untuk terus membaca