TANGGAL 1 Januari 2022 bakal menyaksikan Malaysia memulakan keanggotaan di dalam Majlis Hak Asasi Manusia (MHAM) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sehingga 31 Disember 2024. MHAM yang bertempat di Geneva, Switzerland adalah satu badan... Klik di sini untuk terus membaca

TANGGAL 1 Januari 2022 bakal menyaksikan Malaysia memulakan keanggotaan di dalam Majlis Hak Asasi Manusia (MHAM) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sehingga 31 Disember 2024.

MHAM yang bertempat di Geneva, Switzerland adalah satu badan antara kerajaan di dalam sistem PBB yang bertanggungjawab mempromosi dan melindungi hak asasi manusia.

Pelantikan Malaysia ke badan yang berpengaruh itu merupakan satu perkembangan yang menggalakkan, di mana Malaysia akan menyertai 46 buah negara lain yang akan terlibat secara langsung dalam proses menangani dan mempertimbangkan isu-isu tematik berkaitan hak asasi manusia, isu-isu pelanggaran hak asasi manusia dan situasi khusus hak asasi manusia di sesebuah negara yang memerlukan perhatian.

Melalui proses pemilihan yang telah diadakan semasa Sesi Perhimpunan Agung PBB ke-76 di New York pada 14 Oktober 2021, sebanyak 193 negara-negara ahli PBB telah berkumpul untuk melantik 18 negara ahli baru ke MHAM bagi penggal 2022-2024.

Malaysia telah mendapat sebanyak 183 undi, jumlah undian yang keenam tertinggi. Keyakinan dan sokongan luar biasa yang diberikan oleh masyarakat

antarabangsa kepada Malaysia akan menjadi pendorong kepada negara untuk melakukan yang terbaik sepanjang tempoh tiga tahun keanggotaan MHAM untuk mempromosi dan melindungi hak asasi manusia.

Malaysia sebelum ini telah dilantik ke MHAM sebanyak dua kali iaitu bagi penggal 2006-2009 dan 2010-2013.

Pengalaman yang diperoleh Malaysia sebelum ini ternyata penting dalam usaha kerajaan meningkatkan kesedaran masyarakat umum mengenai piawai hak asasi manusia antarabangsa dan menyumbang dalam menangani krisis hak asasi manusia di peringkat antarabangsa.

Selepas lapan tahun tidak terlibat dalam MHAM, kini tiba masanya bagi Malaysia untuk memperbaharui komitmennya terhadap kemajuan dan promosi hak asasi manusia dengan menjadi ahli MHAM sekali lagi untuk penggal 2022-2024.

Keputusan Malaysia untuk menjadi ahli MHAM bukanlah didorong oleh pemikiran bahawa negara mempunyai rekod hak asasi manusia yang sempurna.

KUKUHKAN PRESTASI HAK ASASI

Keahlian Malaysia, sebaliknya, mencerminkan komitmen negara untuk terus mencapai kemajuan dan mengukuhkan agenda dan prestasi hak asasi manusia di dalam negara dan di peringkat antarabangsa.

Ini jelas dilihat melalui penambahbaikan yang telah dilakukan oleh Malaysia kebelakangan ini dalam memajukan hak asasi manusia di dalam negara.

Antaranya, Malaysia menjadi negara pertama di Asia Tenggara yang menubuhkan mahkamah khusus untuk mengendalikan kes bagi kanak–kanak demi melindungi kepentingan dan kebajikan mereka, menurunkan had umur mengundi daripada 21 kepada 18 tahun, memperkasakan wanita dan memastikan kesaksamaan gender dan memperkenalkan Pelan Tindakan 2016–2022 dalam usaha memastikan pembangunan negara yang menyeluruh dengan mengambil kira golongan kurang upaya.

Sebahagian daripada komitmen Malaysia selaku ahli MHAM juga adalah meningkatkan promosi dan perlindungan hak-hak golongan rentan, terutamanya

kanak-kanak, wanita, orang asli dan warga tua. Selain itu juga, pemerkasaan belia akan turut diberikan keutamaan agar mereka dapat memainkan peranan yang lebih besar dalam pembangunan negara.

Sebagai pemimpin masa depan, suara dan peranan belia amat dialu-alukan terutamanya mengenai isu-isu terkini seperti perubahan iklim, ekonomi digital, dan keselamatan siber.

Selaras dengan aspirasi negara untuk mencapai sasaran sifar pelepasan gas rumah kaca (greenhouse gases) seawal tahun 2050, Malaysia akan melipatgandakan usaha dan kerjasama berkaitan isu perubahan iklim, terutamanya dalam menangani kesan yang tidak seimbang terhadap golongan rentan serta meningkatkan pemahaman tentang impak perubahan iklim ke atas hak-hak asasi manusia.

Ketika dunia beransur pulih dan melalui proses pembinaan semula di dalam era pasca-pemulihan pandemik Covid-19, Malaysia percaya bahawa peranan MHAM menjadi lebih besar dalam memastikan bahawa agenda hak asasi manusia terus diketengahkan.

Ini termasuklah hak ke atas kesihatan fizikal dan mental, hak ke atas pendidikan, hak bagi mendapatkan keselamatan sosial dan taraf hidup yang

mencukupi termasuk makanan, pakaian dan tempat tinggal.

Malaysia berazam akan bekerjasama rapat dengan MHAM dan mekanisme-mekanismenya dalam mencari persefahaman untuk setiap negara dapat kembali bangun dan hidup bersama dalam budaya damai.

Di pentas antarabangsa, Malaysia akan terus memainkan peranan aktif dalam proses penyelesaian konflik secara aman.

Malaysia merupakan antara negara terawal yang menandatangani Perjanjian Anti-Percambahan Nuklear PBB, menjadi broker keamanan di Mindanao dan Selatan Thailand, mencipta kejayaan sebagai Pengerusi Kumpulan Kerja Majlis Keselamatan PBB dalam melindungi kanak-kanak yang terjejas akibat konflik bersenjata dan memperkenalkan resolusi Majlis Keselamatan PBB yang mengikat secara undang-undang berkaitan penempatan haram Israel di bumi Palestin.

SUARA MALAYSIA

Keahlian Malaysia dalam MHAM akan turut menguatkan lagi suara Malaysia di persada antarabangsa dalam mengetengahkan isu pencabulan hak asasi

manusia yang berlaku seperti penindasan sistemik rakyat Palestin dan Rohingya di Myanmar.

Malaysia juga akan bekerjasama dengan mekanisme PBB yang berkaitan dalam membangunkan semula Afghanistan.

Malaysia berikrar untuk memainkan peranan yang membina dan menyeluruh dengan semua pihak berkepentingan, termasuk SUHAKAM dan masyarakat sivil, dalam sebahagian daripada penerapan pendekatan masyarakat menyeluruh, dengan memajukan lagi promosi dan perlindungan hak asasi manusia di negara ini.

Sebagai ahli MHAM, Malaysia berhasrat untuk menjadi fasilitator ke arah kedamaian, pendaya dalam bekerjasama, dan pembina permuafakatan, berdasarkan semangat bekerjasama, menyeluruh, ketelusan dan saling hormat-menghormati.

Selaku masyarakat demokrasi yang berbilang etnik dan budaya, Malaysia boleh berkongsi pengalaman dengan masyarakat antarabangsa mengenai nilai menyeluruh, penerimaan dan persefahaman seperti yang terkandung di bawah konsep Keluarga Malaysia.

Keahlian Malaysia dalam MHAM sememangnya hadir bersama tanggungjawab yang besar, selain memberikan harapan yang tinggi kepada pelbagai pihak.

Oleh itu, kerajaan memerlukan sokongan padu daripada semua pihak berkepentingan dalam memastikan tempoh tiga tahun keanggotaan Malaysia di dalam MHAM akan memberi impak yang diharapkan.

Malaysia bersedia untuk memainkan peranan sebagai rakan kongsi yang membina dan terbuka untuk menerima idea dan cadangan daripada semua pihak ke arah kehidupan yang lebih baik, selaras dengan slogan keahlian MHAM Malaysia - "Perpaduan, Demi Kemanusiaan” (In Unity, For Humanity)".

* Datuk Saifuddin Abdullah ialah Menteri Luar Malaysia

Klik di sini untuk terus membaca