SHAH ALAM - Biarpun, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) , Datuk Zuraida Kamarudin, masih 'berteka teki' sama ada beliau akan mengetuai Parti Bangsa Malaysia (PBM) atau tidak, namun realiti sebenar adalah berbeza. Ini kerana... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Biarpun, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) , Datuk Zuraida Kamarudin, masih 'berteka teki' sama ada beliau akan mengetuai Parti Bangsa Malaysia (PBM) atau tidak, namun realiti sebenar adalah berbeza.

Ini kerana sumber memberitahu Sinar Premium bahawa sebenarnya Ahli Parlimen Ampang itu dikatakan bukan hanya sudah menerima tawaran untuk mengetuai PBM, malah dipercayai sering mengadakan mesyuarat secara rahsia di hujung minggu bersama barisan kepimpinan parti itu di Putrajaya.

Malah, sumber berkata beliau difahamkan kali terakhir Zuraida mengadakan mesyuarat bersama barisan kepimpinan PBM Putrajaya adalah beberapa sebelum hari pengundian sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, yang berlangsung pada 20 November lalu.

Malah sumber itu berkata Zuraida kini secara tidak rasmi dilantik sebagai Pemangku Presiden PBM; manakala Ahli Parlimen Julau, Larry Sng pula dinamakan sebagai Timbalan Presiden.

Untuk rekod, Larry adalah bekas Pengerusi PKR Sarawak dan bekas Presiden SWP yang diasaskan oleh bapanya, ahli politik veteran Sarawak, Datuk Sng Chee Hua bersama sekumpulan bekas ahli Parti Rakyat Sarawak (PRS) pada 2012.

Manakala, jawatan Naib Presiden Kanan diisi Ahli Parlimen Tebrau, Steven Choong, manakala Engga Unchat dan Lavenia Mawas dilantik sebagai Ahli Majlis Tertinggi.

Sementara itu, bekas Setiausaha Politik Zuraida merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Rubber Council (MRC), Hizwan Ahmad pula dilantik sebagai Setiausaha PBM, manakala Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sementa, Selangor, Dr Daroyah Alwi (Ketua Wanita PBM).

Terdahulu, pada 27 Oktober lalu, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) meluluskan penukaran nama Parti Pekerja Sarawak (SWP) kepada PBM dan perlembagaan baharunya.

PBM kemudiannya mengadakan Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) pada 14 November dan barisan kepimpinan baharu juga dilantik.

Sementara itu, Dr Daroyah ketika dihubungi masih berahsia sama ada beliau akan mengikuti jejak langkah kawan baiknya merangkap bekas Naib Presiden PKR, yang dikatakan ditawarkan menjadi Presiden PBM tidak lama lagi.

Dr Daroyah menegaskan beliau belum membuat sebarang keputusan sama ada akan mengikut jejak langkah Zuraida yang juga Menteri Perusahaan Perladangan dan Komuditi.

Dr Daroyah Alwi

"Setakat ini, saya tiada kesahihan lagi (belum pasti sertai PBM atau tidak). Wallahu A'lam... Saya rasa Zuraida sendiri pun belum buat keputusan sama ada akan menyertai parti berkenaan atau tidak. Jadi saya belum membuat keputusan lagi, tunggu dululah," katanya kepada Sinar Premium pada Selasa.

Dr Daroyah berkata demikian ketika mengulas khabar angin bertiup kencang kononnya beliau akan mengikut jejak langkah Zuraida untuk bersama-sama menyertai PBM.

Sebelum ini, Zuraida menegaskan beliau bersedia mempertimbangkan pelawaan untuk mengetuai PBM jika beliau menerima sebarang jemputan rasmi daripada parti berkenaan.

"Saya tak ada terima tawaran apa-apa lagi. (Kalau ada) saya belum tahu lagi, saya akan pertimbangkan, Insya-ALLAH. Kalau tawaran daripada sesiapa pun saya akan pertimbangkan, tak boleh tolak," katanya pada Ahad.

Klik di sini untuk terus membaca