TAHUN 2021 sudah merangkak ke penghujung. Apa persediaan yang bakal dilakukan pada 2022 nanti? Itulah persoalan yang mula menjelma di kotak fikiran.
Resolusi 2021 bukan lagi untuk mengejar dunia dan seisinya. Pangkat, harta dan takhta sudah dirasa. Ketiga-tiganya punyai erti buat diri tetapi sudah tak ada maknanya bila mata hati kerap mengajak untuk meninjau ke dunia sebelah sana.
Dua tahun kita mengharungi pandemik Covid-19. Dengan segala apa yang berlaku, reaksi tindakan kita kesemuanya menjurus kepada beberapa faktor yang di antaranya ialah mengenai penjimatan. Dalam tempoh pandemik itu, kita terpaksa menjimat masa, tenaga dan material.
Kita menjimat banyak masa, sementelah tidak banyak bergerak jauh dari kawasan rumah mahupun daerah. Work from home juga menjimatkan masa perjalanan pergi dan balik dari tempat kerja. Tidak perlu banyak masa untuk berkereta mencari tempat makan. Sebaliknya, bila hendak menjamu selera, melangkah sahaja ke dapur untuk mengisi perut.
Penjimatan wang untuk kos perjalanan yang perlukan bajet besar juga dapat kita lakukan. Dan bila kita tidak perlu bergerak jauh, ia turut menjimat tenaga meskipun ia akhirnya menjadikan kita boyot. Maka penjimatan masa, tenaga dan material juga patut diteruskan, malah menjadi objektif saya untuk tahun hadapan. Buat permulaan, saya menjimat masa dengan mencatu waktu membelek telefon. Salah satu masa yang terbuang ialah dengan meneliti WhatsApp.
Saya dipelawa untuk menyertai berpuluh-puluh kumpulan WhatsApp. Pada kebanyakan grup, saya hanya menjadi ahli pasif dengan membaca sekali lalu mesej yang kebanyakannya untuk orang lain. Begitu pun, sudah menjadi satu kerja pula untuk memadam beratus-ratus mesej dan imej dari telefon saya.
Bagi menjimatkan masa, saya meninggalkan beberapa kumpulan. Kerana itu, ada ahli grup yang hubungi saya bertanyakan, mengapa saya keluar dari kumpulan? Saya jawab yang saya hanya tinggalkan grup maya tetapi bukannya geng di alam nyata.
Dengan tenaga yang kian berkurang, saya perlu tidur secukupnya. Saya tidak boleh lagi berjaga 24 jam seperti di zaman muda. Kini, tidur yang tidak cukup boleh jadikan saya zombi. Kailulah (tidur sekejap waktu siang) sudah kerap saya lakukan. Malah, pandai-pandai adakan kailulah pula sebelum Asar. Saya perlu benar-benar seimbangkan antara waktu tidur dan berjaga.
Material juga adalah aspek yang perlu saya jimatkan. Saya makan apa yang terhidang di meja dan apa yang biasa. Tidak lagi mahu bereksperimen dengan menjamah hidangan dari ceruk dunia. Tekak mahu tetapi perut mungkin tidak suka. Untuk kereta dan rumah yang telah habis bayar, saya tidak perlukan kenderaan 4X4 mahupun istana.
Dalam mengamalkan penjimatan masa, tenaga dan material ketika pandemik selama setahun lebih ini, apa tujuan penjimatan itu sendiri? Matlamatnya ialah berbelanja setelah berjimat! Masa, tenaga dan material akan menyusut dari segi kuantiti. Namun, dari segi kualiti, ia boleh meningkat bila kita gunakan dengan cara yang lebih bermakna.
Menziarah seorang kawan lama dan bersembang lebih setengah hari itu lebih baik daripada kononnya bersembang dengan 500 orang kenalan dalam kumpulan WhatsApp. Saya menjimat masa untuk membelanjakan waktu itu hanya untuk seorang kawan yang terlantar.
Saya menjimat tenaga; tidak perlu stres untuk berlumba dengan lampu merah trafik, berbincang formula politik yang orang politik pun tak peduli atau bercakap semata-mata kerana hendak bercakap.
Dan, saya menjimat material untuk diri agar saya tak teragak-agak untuk memberi pada yang memerlukan. Sudah berpuluh tahun DIA memberi saya meskipun saya tidak meminta-minta. Kini saya yakin DIA akan terus memberi apatah lagi bila kita dah reti memohon. Matawang dunia akan merosot, matawang akhirat akan berganda.
* Norden Mohamed ialah mantan Ketua Pengarang Sinar Harian
Klik di sini untuk terus membaca