TINDAKAN ahli-ahli Parlimen di Iran yang mencadangkan supaya kucing dan haiwan lain diharamkan daripada dipelihara dan tinggal bersama di bawah satu bumbung atau rumah mendapat bantahan daripada sebahagian rakyat di negara berkenaan.... Klik di sini untuk terus membaca

TINDAKAN ahli-ahli Parlimen di Iran yang mencadangkan supaya kucing dan haiwan lain diharamkan daripada dipelihara dan tinggal bersama di bawah satu bumbung atau rumah mendapat bantahan daripada sebahagian rakyat di negara berkenaan.

Undang-undang yang dicadangkan itu diperkenalkan kerana semakin ramai rakyat di negara berkenaan yang mempunyai haiwan peliharaan.

Menurut laporan media, seramai 75 Ahli Parlimen atau kira-kira satu perempat daripada keseluruhan ahli parlimen menandatangani satu dokumen bertajuk 'Sokongan untuk hak penduduk berhubung haiwan berbahaya' baru-baru ini.

Dalam dokumen itu, amalan manusia yang tinggal di bawah satu bumbung dengan haiwan peliharaan dianggap sebagai 'masalah sosial yang merosakkan'.

Fenomena itu, jelas ahli-Ahli parlimen, boleh mengubah cara hidup Iran dan Islam secara beransur-ansur sekali gus 'menggantikan hubungan manusia dan keluarga dengan perasaan serta hubungan emosi terhadap haiwan'.

Undang-undang yang dicadangkan itu akan melarang pengimportan, pembesaran, membantu dalam pembiakan, membiakkan, membeli atau menjual, mengangkut, memandu atau berjalan dan memelihara haiwan liar, eksotik, berbahaya serta binatang yang berbahaya di dalam rumah.

Rang undang-undang memelihara haiwan menanti kelulusan daripada Ahli-Ahli Parlimen Iran. - Foto AFP

Ia turut menyenaraikan haiwan yang diharamkan seperti buaya, penyu, ular, cicak, kucing, tikus, arnab, anjing, monyet dan haiwan-haiwan lain yang dianggap tidak bersih.

Mereka yang didapati bersalah melakukan perbuatan itu akan berdepan dengan denda bersamaan 10 hingga 30 kali ganda gaji minimum bulanan iaitu kira-kira AS$98 (RM414.74) manakala haiwan yang dipelihara itu pula dirampas.

Kenderaan yang digunakan untuk mengangkut haiwan itu juga akan dirampas selama tiga bulan.

Ketika Iran terlibat dalam rundingan sukar mengenai program nuklearnya dan mengalami kemelesetan ekonomi yang menyakitkan kerana sekatan Amerika Syarikat (AS), rang undang-undang itu pula telah mencetuskan kritikan dalam akhbar, disindir menerusi rangkaian sosial selain mendapat kemarahan daripada penduduk di Tehran.

"Projek-projek ini (rang undang-undang tersebut) tentunya akan menimbulkan kekacauan, korupsi dan ketidakpatuhan kolektif terhadap undang-undang ini kerana hidup dengan haiwan kini menjadi satu fenomena," menurut sebuah akhbar harian berhaluan reformis, Shargh.

Sebahagian pengguna internet pula bertindak balas dengan melakukan tentangan dan sindiran.

"Berapakah kali kucing cuba memakan anda sehingga anda menganggapnya liar, memudaratkan dan berbahaya?" soal seorang wartawan, Yeganeh Khodami menerusi Twitter.

Seorang pencinta haiwan yang mengendalikan sebuah kedai bekalan-bekalan untuk binatang di Tehran, Mostafa yang marah dengan cadangan Ahli-Ahli Parlimen itu dengan berkata seperti dilaporkan oleh AFP: "Tidak, kucing saya tidak berbahaya," "Buaya boleh disebut berbahaya, tetapi bagaimanakah dengan arnab, anjing dan kucing. Bolehkah ia membahayakan?" soalnya yang tidak percaya mengenai rang undang-undang yang diperkenalkan sebulan yang lalu.

Dalam menghadapi kemarahan daripada masyarakat, terdapat juga Ahli Parlimen yang mempertahankan rang undang-undang tersebut walaupun bilangannya kecil.

"Saya setuju dengan projek itu secara umum. Tetapi, saya tidak bersetuju dengan beberapa klausa (dalam rang undang-undang itu)," kata Ketua Suruhanjaya Kehakiman Parlimen, Moussa Ghazanfarabadi.

"Ini hanya rang undang-undang, tetapi adakah ia berjaya (diluluskan) adalah perkara lain," katanya kepada AFP .

Seorang Ahli Parlimen dari Teheran, Somayeh Rifiei, menyatakan beliau percaya bahawa undang-undang diperlukan bagi menentukan haiwan mana yang boleh dipelihara.

Bagaimanapun, rang undang-undang itu jika diluluskan kemungkinan akan menyebabkan banyak pekerjaan berkaitan dengan haiwan akan hilang.

"Ia mungkin akan memusnahkan ribuan pekerjaan," kata seorang penduduk yang dikenali sebagai Mohsen kepada AFP.

Isterinya yang dikenali sebagai Mina pula berkata, suatu ketika dahulu pihak pemerintah melarang penggunaan televisyen satelit namun masih ada penduduk yang menggunakannya tetapi dalam keadaan ketakutan dan kegelisahan.

Justeru, beliau berpendapat, akan terdapat penduduk yang terus memelihara haiwan mereka di rumah. - Agensi

Klik di sini untuk terus membaca