MASIH adakah budak-budak sekarang yang tahu apa dia khutub khanah? Kalau ada pun mungkin sangat kecil bilangannya. Yang ramai adalah yang terpaksa bertanya kepada Pak Cik Google.
Hendak bertanya pada ibu bapa sendiri, belum tahu boleh mendapat jawapannya. Kebanyakan ibu bapa, terutama yang berusia 40 tahun ke bawah mungkin tidak pernah mendengar perkataan itu. Lainlah perkataan ‘ramen’, ‘oden’, ‘kimchi’, ‘bibimbap’, ‘bulgogi’ atau ‘dakgalbi’. Macamlah mereka itu anak cucu Dangun Wanggeom.
Saya sendiri sebenarnya tidaklah begitu biasa dengan perkataan khutub khanah. Ketika zaman kanak-kanak saya, frasa itu sudah semakin jarang digunakan. Ia sedang diganti perlahan-lahan dengan perkataan ‘perpustakaan’. Tetapi untuk tulisan ini, izinkan saya menggunakan kembali perkataan ‘khutub khanah’.
Tentu tidak salah kalau sekali-sekala kita hidupkan kembali perkataan dan ayat-ayat lama demi memastikan ia tidak terus dilupakan. Kita telah ‘kehilangan’ syahdan, arakian, buana, bahari dan banyak lagi. Jadi mana yang boleh diselamatkan, elok kita selamatkan sebelum ia tenggelam dalam medsos, skunk, b2b2b, se7, y5 dan entah apa lagi yang sedang perlahan-lahan membunuh bahasa kita.
Khutub khanah, yang berasal daripada perkataan Arab/Turki itu bukanlah benda baharu dalam hidup ini. Khutub khanah pertama yang disusun secara sistematik telah dikesan wujud di Timur Tengah sejak abad ke-7 SM di Nineveh, Iraq sekarang ini. Dikatakan terdapat kira-kira 30,000 kepingan batu dan tanah liat bertulisan cuneiform disusun di khutub khanah itu.
Sejak itulah khutub khanah berkembang mengikut kesesuaian zaman sehingga akhirnya muncullah konsep khutub khanah moden yang diasaskan oleh Albert Boni and Horace Liveright pada tahun 1917.
Dulu-dulu amat jarang rumah yang ada khutub khanah. Kalau ada pun hanya di rumah golongan tertentu terutamanya bijak pandai dan orang kluster kayangan yang minat membaca atau minat menayangkan buku-buku yang tidak dibaca. Itu pun biasanya di bandar. Kalau di kampung payahlah sikit hendak jumpa. Kalau ada buku setakat satu dua rak, belum layak dinamakan khutub khanah.
Perlu juga disebut kadar minat membaca dalam kalangan orang kita sejak dahulu lagi memang agak rendah. Di kebanyakan rumah, yang ada cuma buku teks anak-anak yang masih bersekolah. Itu pun kadangkala terperosok di bawah almari. Yang dalam almari pula set pinggan mangkuk yang emak beli secara main kutu.
Disebabkan itu, kebanyakan budak-budak pada masa dahulu hanya mengenal kutub khanah setelah berada di bangku sekolah.
Tetapi sayugia disebut, pada masa itu bukan semua sekolah ada khutub khanah. Ada sekolah-sekolah di luar bandar hanya mempunyai sudut bacaan yakni satu ruang kecil, di mana ditempatkan sebuah dua tiga dan sejumlah buku. Itulah khutub khanah mereka.
Bagi saya, khutub khanah adalah antara tempat yang paling indah di dunia. Saya sentiasa tidak sabar menanti saat guru kelas membawa kami ke situ. Seingat saya, semasa di sekolah rendah dalam sebulan hanya sekali atau dua kami diberi peluang ke khutub khanah. Selebihnya pandai-pandailah mencari waktu. Selalunya waktu rehat atau waktu guru sesuatu subjek tidak hadir atau tidak dapat mengajar kerana urusan lain.
Tidak semua murid yang suka ke khutub khanah. Sebabnya, di situ tidak boleh berbuat bising. Hendak batuk pun kena jeling kiri kanan sebab takut mengganggu orang lain. Maka itu keadaan dalam khutub khanah selalunya senyap sunyi. Kalau tak sama macam dalam kubur pun, mungkin sama macam dalam pejabat ketika bos sedang naik angin.
Yang suka ke khutub khanah pun bukan semuanya berminat pada buku. Ada yang ambil sebuah buku, buka dan kemudian tidur. Tidak kurang juga yang sekadar hendak ambil kesempatan duduk bersebelahan dan berdua-duaan dengan buah hati. Konon-konon sama-sama membaca, walaupun halaman buku mungkin tidak berganjak.
Saya kerap mengalami masalah ‘jiwa kacau’ apabila berada di khutub khanah. Tengok buku itu teringin hendak baca, tengok buku ini pun teringin juga. Kadangkala setengah jam pertama habis dengan membelek dan memilih buku sahaja. Sering juga terjadi waktu melangkah masuk niat hendak mencari dan membaca buku lain, setelah berada di khutub khanah, lain pula yang dibaca.
Meminjam buku dari khutub khanah juga sesuatu yang menyeronokkan. Yang lecehnya, hanya sebuah buku boleh dipinjam pada satu-satu masa. Tempohnya seminggu. Tetapi yang selalu terjadi pada saya ialah hari pertama lagi buku itu sudah habis dibaca. Bagi mengelak daripada terpaksa kerap berulang-alik ke khutub khanah untuk meminjam buku baharu, saya selalunya meminjam tiga empat buku sekali gus. Hanya satu buku diserahkan kepada kerani untuk direkod, selebihnya saya sorok dalam baju dan dalam seluar.
Setelah semuanya habis dibaca, saya pulangkan balik secara senyap-senyap. Waktu itu saya cukup yakin perbuatan itu bukan satu kesalahan sebab saya bukannya mencuri, tetapi sekadar ‘meminjam’.
Minat terhadap khutub khanah berkembang seiring dengan usia. Dari khutub khanah sekolah, minat saya beralih ke khutub khanah daerah, khutub khanah universiti, khutub khanah negeri dan akhirnya ke khutub khanah negara. Penyakit ‘jiwa kacau’ saya juga akan bertambah menjadi-jadi apabila berada di tempat-tempat itu. Buku-buku yang lebih banyak, dengan pilihan yang lebih meluas menyebabkan pening untuk memilih pun akan menjadi berlipat ganda.
Saya masih ingat kali pertama masuk ke khutub khanah negara di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur. Saya masuk jam 10.30 pagi dan keluar pada jam 12 tengah hari tanpa membaca sebuah buku pun.
Kesemua masa saya habis dengan membelek buku-buku yang di situ, dari satu rak ke rak yang lain sambil berangan-angan alangkah seronoknya kalau semua buku itu saya yang punya. Saya tidak tahu jumlah koleksi bahan penerbitan yang terdapat di situ ketika itu, tetapi semakan terakhir saya baru-baru ini menunjukkan ia memiliki 4.78 juta bahan.
Bayangkan betapa banyaknya. Kalau purata satu item mengambil masa sejam untuk dibaca, bermakna kita memerlukan 4.78 juta jam atau 199,166.7 hari atau 545.7 tahun untuk menghabiskannya. Diikutkan logik kalau kita makan telur ayam kampung sehari 100 biji dengan madu lebah tiga gelen pun tak mungkin kita dapat hidup sebegitu lama.
Itu di khutub khanah terbesar di negara kita. Tetapi ia tidak tersenarai antara yang terbesar di dunia. Yang paling besar, Khutub Khanah British atau British Library mengandungi antara 170 juta hingga 200 juta bahan. Malaslah saya hendak kira masa untuk membacanya sehingga habis, takut seusai mengira saya pula yang habis umur.
Tetapi ada tetapinya. Bagaimanakah peranan dan fungsi semua khutub khanah itu dan yang lain-lain juga pada masa akan datang.
Dengan dunia penerbitan bahan bacaan konvensional semakin sendu, maklumat-maklumat pula didigitalkan serta boleh diakses dengan lebih mudah tanpa perlu bergerak keluar dari rumah, masih adakah ruang untuk khutub khanah bertahan?
Atau akan hilangkah ia perlahan-lahan sebagaimana perkataan khutub khanah itu sendiri? Tepuk kepala, tanyalah tahun ini berapa helai buku yang kita baca? #dush!
* Datuk Budiman Mohd Zohdi ialah ahli politik dan penulis buku yang gemar bernostalgia