SHAH ALAM - Bilangan rakyat Malaysia yang berikrar untuk menderma organ menunjukkan peningkatan konsisten setiap tahun bermula 2010, menjadikan jumlah keseluruhannya sekarang seramai 493,481 orang. Pengurus Klinikal Perolehan Transplan... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Bilangan rakyat Malaysia yang berikrar untuk menderma organ menunjukkan peningkatan konsisten setiap tahun bermula 2010, menjadikan jumlah keseluruhannya sekarang seramai 493,481 orang.

Pengurus Klinikal Perolehan Transplan Kebangsaan, Pusat Sumber Transplan Nasional (PSTN), Dr Hasdy Haron berkata, meskipun pandemik Covid-19 menjejaskan trend peningkatan tersebut, namun jumlah penderma baharu masih berada pada paras agak tinggi dengan 5,697 penderma baharu direkodkan setakat Oktober lalu.

"Sekitar 2005 hingga 2010, pengikrar baharu setiap tahun yang direkodkan oleh PSTN adalah antara 7,000 ke 20,000 orang.

"Bagaimanapun, sejak 2010 hingga 2021, pertambahan pengikrar baharu telah meningkat antara 20,000 ke 50,000 orang setiap tahun.

"Bagi 2020-2021 pula ada berlaku pengurangan ketara disebabkan pandemik Covid-19 kerana kempen tidak boleh dijalankan seperti biasa,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Beliau berkata, daripada jumlah tersebut, terdapat seramai 751 penderma kadaverik atau penderma yang meninggal dunia telah menyumbang organ untuk pesakit yang memerlukan rawatan di Malaysia.

Untuk penderma organ hidup pula, Dr Hasdy memaklumkan daripada 2,543 pembedahan transplan yang direkodkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sejak 1975, 1,692 daripadanya adalah penderma hidup organ buah pinggang manakala 88 lagi adalah penderma hidup untuk hati.

Mengulas lanjut, Dr Hasdy berkata, pihaknya mendapati terdapat peningkatan ketara pengikrar penderma organ selepas tahun 2015 khususnya orang Melayu.

Dr Hasdy

"Untuk keseluruhan penderma yang mendaftar setakat ini, kaum Cina adalah paling tinggi iaitu 184,822 diikuti Melayu (170,392) dan India (105,190).

"Jadi, kalau sebelum 2015, orang Melayu adalah kumpulan yang paling kurang menderma tetapi sekarang mereka berada di tempat kedua terbanyak menderma organ,” ujarnya.

Dalam pada itu, Dr Hasdy berkata, selain daripada kempen yang dilakukan oleh KKM, kerjasama dan panduan daripada Jabatan Agama Islam serta penglibatan daripada mufti juga dilihat menjadi antara penyumbang kepada peningkatan trend tersebut dalam kalangan masyarakat Islam di Malaysia.

Begitupun beliau berkata, isu kekurangan penderma organ yang masih rendah berbanding dengan 32.4 juta populasi negara didapati masih menjadi cabaran utama yang dihadapi pihaknya.

Katanya, ketika ini, seramai 4,924 pesakit yang menunggu untuk menerima pendermaan organ dengan buah pinggang adalah tertinggi iaitu 4,924 orang diikuti hati (10) dan jantung (8).

"Macam buah pinggang, kita memang boleh tunggu lama sedikit kerana dibantu dengan dialisis tetapi bagi kes melibatkan hati dan jantung, kalau tidak ada penderma maka mereka tidak boleh bertahan lama. Kadang-kadang dalam tempoh sebulan atau dua bulan sahaja pesakit sudah meninggal dunia.

"Kita perlu ingat bahawa senarai menunggu untuk mendapatkan penderma akan bertambah setiap tahun,” ujarnya.

Pada masa sama, beliau berharap agar individu yang telah mendaftar supaya memaklumkan kepada ahli keluarga berkenaan hasrat mereka untuk menderma organ.

Katanya, terdapat banyak kes melibatkan ahli keluarga membatalkan pendaftaran pendermaan organ apabila hanya mengetahui perkara tersebut setelah kematian individu terbabit.

Klik di sini untuk terus membaca