SHAH ALAM - Orang ramai perlu dididik dan diberi pendedahan secara lebih terperinci termasuk di media sosial berhubung kepentingan menderma organ di Malaysia. Pemasar digital sebuah syarikat swasta, Norhidayah Abdullah, 25, berkata,... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Orang ramai perlu dididik dan diberi pendedahan secara lebih terperinci termasuk di media sosial berhubung kepentingan menderma organ di Malaysia.

Pemasar digital sebuah syarikat swasta, Norhidayah Abdullah, 25, berkata, masyarakat kebanyakannya agak takut menerima amalan itu berikutan mereka mempunyai persepsi skeptikal terhadap derma organ seperti jenazah tidak akan sempurna kerana tiada organ.

"Kita perlu menyentuh naluri kemanusiaan orang ramai dengan memberi pemahaman bahawa tindakan menderma organ boleh membantu menyelamatkan nyawa individu lain di samping mengembalikan senyuman kepada keluarga mereka.

"Mungkin kedengaran agak kelakar, tetapi jika kita memperbanyak siri perubatan di televisyen atau media sosial berkaitan pemindahan organ, ia mampu meningkatkan pemahaman orang ramai dengan lebih jelas.

"Walaupun babak pemindahan organ hanyalah lakonan semula, tapi bagi saya penyampaian dan konsep seperti itulah yang membuatkan saya terdetik untuk berikrar sebagai penderma dua tahun lalu,” katanya kepada Sinar Harian.

Penolong pegawai teknologi maklumat, Mohd Syahmil Saari, 34, pula mengakui majoriti rakyat negara ini kurang kesedaran berhubung ikrar pendermaan organ.

Beliau yang menghidap penyakit epilepsi sejak berumur 17 tahun berikrar menjadi penderma organ tahun ini dengan niat membantu dan memberi harapan kepada individu memerlukan agar dapat meneruskan kehidupan dengan lebih baik.

Menurutnya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) perlu bergabung dengan ketua-ketua agama untuk memberi penerangan khusus berikutan ramai yang tidak berani berbuat demikian atas faktor agama.

"Selain itu, pengiktirafan juga boleh diberikan kepada drama televisyen yang menyalurkan pengetahuan berkaitan pendermaan organ bagi menggalakkan pengarah terus menghasilkan karya yang memberi impak positif terhadap perkara ini,” ujarnya.

Pelajar kewartawanan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Nur An Nisaa Iryanie Mohd Azhar berkata, keputusannya berikrar sebagai penderma organ ketika berumur 18 tahun didorong bapanya yang turut menjadi penderma.

"Namun, terdapat segelintir pihak yang menggunakan alasan agama untuk tidak membenarkan kita menderma organ.

"Bagi saya, ibu bapa perlu membuang sifat kolot tersebut dan tidak tergopoh-gapah menggunakan agama sebagai alasan.

"Kempen dari sudut Islam juga harus dipertingkat agar lebih ramai masyarakat sedar bahawa derma organ ini tidak menjadi satu kesalahan dalam agama Islam,” jelas gadis berusia 21 tahun ini.

Klik di sini untuk terus membaca