SHAH ALAM - Perbuatan tidak bertanggungjawab segelintir individu yang menyeludup masuk ikan dari luar negara sebagai ikan hiasan tetapi kemudiannya melepaskan ikan tersebut ke dalam sungai, tasik dan kolam di seluruh negara kini mengancam... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Perbuatan tidak bertanggungjawab segelintir individu yang menyeludup masuk ikan dari luar negara sebagai ikan hiasan tetapi kemudiannya melepaskan ikan tersebut ke dalam sungai, tasik dan kolam di seluruh negara kini mengancam ikan-ikan tempatan.

Tindakan individu terbabit terutamanya dalam kalangan peminat ikan eksotik dikhuatiri membahayakan ekosistem akuatik di Malaysia kerana ikan asing yang juga dianggap sebagai spesies predator akan memakan ikan dan hidupan lain.

Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia (DOF), Ahmad Tarmidzi Ramly berkata, jabatannya menyenaraikan sebanyak 16 spesies (genus) ikan pendatang atau sinonim dengan panggilan ikan asing yang dilarang diimport dan tidak boleh dibawa masuk ke dalam negara.

Menurutnya, Peraturan-Peraturan Perikanan (Larangan Import Dan Sebagainya Bagi Ikan) 1990 telah menyenaraikan senarai genus ikan yang dilarang import, jual, pelihara atau simpan iaitu Serrasalmus/ Serrasalmo/ Pygocentrus/ Catoprian (red bellied piranha), Pygopritis (lobetoothed piranha), Colosomma/ Piaractus (pirana, pacu), Mylossoma, Mylopus/Myleus (silver dollar) dan Pristobrycon (piranha, pacu).

Ikan baung ekor merah (kanan) bersaiz gergasi dan merupakan ikan pendatang yang ditemui pemancing mengancam ikan asli tempatan. Kredit : FB Nizam Zam

Beliau turut menyenaraikan Myletes, Salmo (salmon, trout), Onchorynchus (salmon, trout), Cichla (peacock bass), Esox (nothern pike), Cichlasoma (flower horn), Acipenser (sturgeon), arapaima, Lepisosteus (alligator gar) serta Cherax destructor (yabby, lobster sepit merah)."Larangan bagi spesies ikan asing dalam peraturan itu adalah atas dasar sifat ikan terbabit yang dikategorikan sebagai karnivor ganas, traumatogenik dan berbahaya kepada populasi ikan asli tempatan."Selain itu, ikan larangan ini juga boleh menjadi faktor kepada penyebaran penyakit serta mengganggu keseimbangan biodiversiti ekosistem akuatik kerana ia akan menjadi pemangsa pada hierarki tertinggi.

"Bila ikan pendatang ini curi-curi dibawa masuk, ia boleh merebakkan penyakit kepada ikan tempatan dan sekiranya ikan tempatan itu dijual di negara luar ia pula akan bawa penyakit ke negara berkenaan,” katanya kepada Sinar Harian di Ibu Pejabat DOF, Putrajaya baru-baru ini.

Ahmad Tarmidzi mengakui DOF melihat terdapat peningkatan drastik permintaan untuk membawa masuk ikan hiasan peminat ikan eksotik kerana masing-masing mahu membela ikan yang pelik dan unik.

"Kita ada sistem kawalan di bawah biosekuriti untuk menyemak ikan tersebut sama ada ia boleh dibawa masuk atau tidak. Masalahnya mereka ini tidak isytihar ikan tersebut, maka dengan itu, perlunya kawalan ketat di pintu sempadan bagi memastikan ikan tersebut tidak dibawa masuk sewenang-wenangnya.

Spesies Cherax yang ditemui di sungai air tawar di Malaysia merisikokan ikan asli tempatan. (Gambar kecil: Ahmad Tarmidzi)

"DOF juga telah bekerjasama dengan pihak Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) untuk memantau kemasukan sedemikian,” ujarnya.Tegasnya, disebabkan spesies itu mendapat pasaran dalam kalangan peminat-peminat ikan hiasan eksotik, ada juga penternak akuakultur yang menternak kerana harga jualan yang menguntungkan.

"Berdasarkan Program Pemantauan dan Pemeriksaan Ikan Larangan di Premis ikan hiasan dan akuarium, antara penemuan yang diperoleh adalah genus Cichla (peacock bass), Chilasoma (flower horn), Lepisosteus (ikan kepala buaya), arapaima dan Colossoma (pacu).

"Tindakan akan diambil termasuklah rampas dan siasatan sekiranya kesalahan itu dikesan,” katanya.

Ikan keli ekor merah Amazon turut berasal dari luar.

BAUNG EKOR MERAH

Menjelaskan mengenai punca pelepasan ikan asing di perairan umum, beliau berkata, pada awalnya berkemungkinan daripada industri akuarium apabila ikan yang dibela semakin besar dan tidak boleh diletakkan di dalam akuarium.

"Dengan saiz yang semakin besar, ikan itu kemudian dibuang ke sungai, lombong atau tasik. Sudah ada dua ke tiga sungai di Johor dikatakan banyak spesies Cherax (lobster air tawar).

"Apa yang membimbangkan adalah terdapat spesies yang boleh membiak tanpa jantan dan itu yang kita takut hingga pemangsa tempatan tiada sumber makanan,” katanya.

Ikan 'monster' yang boleh membesar setinggi orang dewasa.

Menurut Ahmad Tarmidzi, kebelakangan ini ikan baung ekor merah yang awalnya dibawa masuk ke kolam-kolam pancing rekreasi sebagai tarikan banyak terlepas ke perairan umum akibat banjir atau dilepaskan secara sengaja oleh pihak tertentu.

"Kita risau jika aktiviti ini berlarutan. Sebagai langkah pencegahan, spesies ini sedang kita laksanakan untuk dibawa masuk dalam senarai ikan terlarang atas sebab menjejaskan ekosistem ikan tempatan,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca