SAYA guna sudu dan garpu untuk makan pada kebanyakan masa, tetapi ada kekecualiannya. Guna tangan makan nasi padang kegemaran saya di Jalan Transfer, Pulau Pinang, guna penyepit makan mi sup dan steamboat dan guna pisau dan garpu makan... Klik di sini untuk terus membaca

SAYA guna sudu dan garpu untuk makan pada kebanyakan masa, tetapi ada kekecualiannya. Guna tangan makan nasi padang kegemaran saya di Jalan Transfer, Pulau Pinang, guna penyepit makan mi sup dan steamboat dan guna pisau dan garpu makan stik. Saya pasti nampak bodoh dan kekok kalau makan stik dengan tangan dan pasti melecur jari kalau makan mi sup dan steamboat dengan tangan.

Adakah sang pembesar yang prihatin sungguh untuk menjaga tepi kain kita ini sendiri makan stik dan dan steamboat dengan tangan mereka? Ataupun mereka makan nasi berlauk 365 hari setahun?

Nampaknya remeh, tetapi polemik ini sebenarnya berlatarbelakangkan satu persoalan besar dalam hidup bermasyarakat. Perlukah manusia menjadi sama dan serupa untuk hidup bersama dan dilayan sama rata? Diungkapkan secara lain, adakah perbezaan itu mengancam kehidupan bersama sehingga perlu dihapuskan?

Kalau tidak, maka kita boleh berlainan, tetapi tetap bersama dan melayani sesama sendiri secara sama rata. Kalau ya, maka kita perlu memaksakan asimilasi ke atas mereka yang dikira lain daripada kita.

Asimilasi boleh berlaku dalam pelbagai bentuk. Melarang pembelajaran bahasa minoriti, memaksa pertukaran agama malah memaksa perkahwinan campur untuk menghapuskan kedua-dua perbezaan bahasa dan agama.

Kerana ini bukan polemik baharu, maka kita boleh meneliti pendekatan daripada sejarah peradaban dan negara yang lain sebagai rujukan.

Sungguhpun begitu, asimilasi bahasa yang bertujuan untuk bukan sekadar memudahkan komunikasi, tetapi juga untuk menyeragamkan fikiran itu sebenarnya idea baru yang muncul selepas Revolusi Perancis 1789.

Raja Perancis pra-Revolusi membenarkan kepelbagaian bahasa di kalangan rakyatnya. Selepas Revolusi, asimilasi bahasa dirasakan perlu untuk menyatukan bangsa Perancis tanpa raja dan hanya dilaksanakan hampir 100 tahun kemudian melalui pendidikan kebangsaan percuma.

ASIMILASI

Idea Perancis ini diikut-ikut oleh banyak negara termasuk Thailand selepas Revolusi 1932 yang memaksa orang Melayu di wilayah selatannya untuk melupakan bahasa dan jati diri mereka.

Perancis sendiri telah meninggalkan dasar asimilasi bahasa selepas Perang Dunia. Negara jirannya, Switzerland mengiktiraf empat bahasa rasmi termasuk bahasa Perancis, Jerman dan Itali untuk masyarakat majmuknya. Daripada menyebabkan rakyatnya berpecah berkiblatkan politik tiga negara jiran, dasar keterangkuman bahasa itu membina kesetiaan rakyat kepada Switzerland.

Penghayatan perbezaan bahasa lama wujud di alam nusantara. Bahasa Melayu berkembang daripada Palembang dan Jambi sampai sejauh Ambon dan Manila di timur bukan kerana paksaan Empayar Srivijaya atau Melaka, tetapi kerana bahasa itu bernilai ekonomi dan ilmu.

Penuturnya juga tidak dipaksa untuk melupakan bahasa asal demi menguasai lingua franca ini.

Bagi saya, pendekatan Islam tentang perbezaan manusia munasabah dan indah sekali. Kita dijadikan berlainan, sebagai lelaki dan perempuan, dalam bangsa-bangsa dan kaum-kaum supaya kita saling mengenali. Sememangnya, kalau Maha Esa inginkan, sudah tentu kita boleh dicipta sebahasa dan seagama malah seminda semacam robot keluaran kilang. Tetapi, kita diberkati dengan perbezaan dan kepelbagaian.

Kecinaan saya tidak menjadi penghalang kepada keMalaysiaan saya, sepertimana keMalaysiaan saya tidak menjadi penghalang kepada kemanusiaan saya. Kalau ada yang tidak fahminya, simpati ikhlas daripada saya.

*Profesor Wong Chin Huat ialah seorang ahli sains politik yang khusus dalam sistem pilihan raya, politik parti dan demokrasi berparlimen

Klik di sini untuk terus membaca