SHAH ALAM - Ekosistem sungai dan tasik dalam negara kian kritikal akibat pencerobohan ikan pendatang yang mengancam habitat asal.
Mantan Presiden Persatuan Memancing Malaysia (PeMM), Ridzuan Ghazali berkata, kebanyakan ikan pendatang adalah spesies pemangsa dan pelahap terutamanya bagi spesies peacock bass.
Menurutnya, peacock bass hari ini semakin sukar dikawal jumlahnya terutama di kawasan lombong dan tasik hingga menjejaskan ikan asal seperti sebarau dan loma.
"Ikan tempatan kita semakin berkurang dan itu dapat dilihat sendiri di kawasan tasik atau lombong. Ikan ini adalah pelahap dengan sistem pembiakannya cepat dan banyak.
"Hari ini kita tengok, kawasan lombong atau tasik ini memang dia (peacock bass) yang ‘kawal’ biarpun asalnya ikan ini dibawa masuk sebagai ikan hiasan,” katanya kepada Sinar Harian.
Tambahnya, selain itu, dapat juga dilihat ancaman ikan pendatang seperti ikan keli Afrika dan baung ekor merah yang jumlahnya semakin meningkat di sungai di Selangor, Perak dan Pahang.
Katanya, malah ada spesies seperti alligator gar ditemui di sungai di Perak dan Selangor.
"Sudah tentu ini sangat membimbangkan dan kritikal.
"Ikan asing ini berkembang macam pendatang asing tanpa izin (PATI).
"Ada Myanmar, Rohingya, Indonesia. Bagaimana keadaan PATI hari ini? Dan begitulah sama seperti ikan pendatang ini,” katanya.
Jelas Ridzuan lagi, dengan jumlah yang semakin merisaukan itu, adalah sukar untuk dikawal pembiakannya dan pada masa sama tasik atau sungai kita telah ketandusan ikan tempatan.
"Mungkin kita boleh tambah benih ikan tempatan di sungai kita untuk mengelakkan spesies asal pupus.
"Tapi ia juga berisiko kerana benih ikan yang kecil ini akan dimakan oleh ikan predator. Cadangan menambah benih ikan ini mungkin ada pro atau kontranya,” ujar Ridzuan.
Klik di sini untuk terus membaca