[CATATAN KEDUA] Matahari membenam di New York pada jam empat petang dan malam pun menjelma. Kalau bulan Ramadan, ia sudah masuk waktu berbuka.
Sesiapa yang lawat New York dan Amerika pada masa musim sejuk seperti ini akan mempunyai aktiviti yang agak kurang sebab tidak dapat bersiar-siar dan merayau lama semasa hari masih terang.
Cuaca juga hampir di paras beku dan kadang-kadang salji turun.
Jarak dari Malaysia ke Amerika pula jauh, dan bandar raya New York sebenarnya terletak separuh dunia dengan Malaysia dan ini bermakna, masa di Malaysia kalau 12 malam, di sana sekitar 12 tengah hari pada hari sebelum hari di Malaysia.
Kalau naik kapal terbang, ia mengambil lebih kurang 24 jam atau lebih jika ada persinggahan di bandar di sebuah negara yang biasanya mengambil hampir sehari masa menunggu.
Namun demikian, yang peliknya. Oleh sebab keadaan masa di dunia, kita akan sampai di New York pada hari yang sama kita bertolak di Malaysia, dengan bertolak jam 8 pagi dan tiba di sini jam 3.55 petang!
Sebagai penumpang beragama Islam dan kalau dia lebih awal lagi minta untuk dihidangkan dengan makanan halal atau ‘Muslim Meal’, dia akan dapat layanan istimewa dengan diberi makanan lebih awal daripada penumpang-penumpang lain.
Saya sudah banyak kali terbang dari Subang dan KLIA ke Amerika, mendarat di Los Angeles atau New York tetapi tidak pernah bertembung dengan penumpang Melayu kecuali bila syarikat penerbangan kita, Sistem Penerbangan Malaysia atau MAS mengadakan penerbangan langsung dari KLIA ke Los Angeles, saya dapat lihat penumpang dari Malaysia tetapi setelah MAS tamatkan perkhidmatan mereka ke Amerika, ia tidak berlaku.
Biasanya, kalau saya mahu pergi ke bandar-bandar lain di Amerika setelah mendarat di Los Angeles atau New York, saya tidak pilih untuk terbang, sebaliknya saya pilih untuk menaiki bas guna perkhidmatan syarikat Greyhound.
Bayangkan, kalau seseorang itu pergi dari Los Angeles ke New York, dia akan ambil masa tiga hari dan tiga malam.
Ia amat meletihkan dan bas akan berhenti di beberapa bandar serta pekan tidak kira waktu dengan penumpang turun dan yang lain naik, sedangkan saya yang akhirnya tinggal seorang sehingga tamat perjalanan.
Fotografi
Kalau orang tidak berminat dengan bidang penulisan dan fotografi, dia akan rasa bosan tetapi saya tidak.
Saya ambil peluang untuk berkenalan dengan orang lain di dalam bas yang hampir semua fikir atau agak, saya orang Jepun.
Untuk penerbangan saya kali ini, saya menaiki penerbangan Jepun iaitu All Nippon Airlines atau ANA dari KLIA hingga ke Narita di Tokyo.
Dan selepas dua jam berehat di sini, saya sambung penerbangan dengan menaiki pesawat United Airlines hingga ke Lapangan Terbang Newark yang terletak di negeri New Jersey berhampiran dengan New York.
Oleh sebab perjalanan lama, saya selalu pilih untuk duduk di tepi tingkap, sebab dari sini saya boleh lihat di luar bila saya mahu dan dapat peluang untuk rakam dengan kamera video serta kamera pegun.
Pemandangan di luar yang kian berubah, sama juga semasa menaiki bas Greyhound yang menjelajah Amerika memberi pemandangan berbeza-beza apabila terlihat padang pasir, hutan dan tanah lapang, pada hari yang berubah menjadi malam dan bertukar ke pagi.
Biasanya, saya akan ambil ribuan keping gambar dan 10 jam video untuk simpanan yang kemudian boleh digunakan untuk pembikinan filem dokumentari dan juga yang saya sudah siapkan berjudul Around America: From Melaka to Manhattan dan ia juga akan dijadikan sebagai buku fotografi pertama dihasilkan oleh mana-mana rakyat Malaysia yang pernah belajar di Amerika.
Tetapi, untuk lawatan ke Amerika kali ini, saya pergi bukan sebagai seorang bekas penuntut universiti di Amerika tetapi juga sebagai seorang penulis karya bercetak atau published author sebab novel saya dalam bahasa Inggeris berjudul Palestine Stories sudah dicetak dan dijual oleh Amazon.
Bayangkan, kalau seseorang itu pergi dari Los Angeles ke New York, dia akan ambil masa tiga hari dan tiga malam. Ia amat meletihkan dan bas akan berhenti di beberapa bandar serta pekan tidak kira waktu dengan penumpang turun dan yang lain naik, sedangkan saya yang akhirnya tinggal seorang sehingga tamat perjalanan.”
>>> Bersambung dalam siri akan datang
* Mansor Puteh ialah pengarah dan pengkritik filem serta budaya
Klik di sini untuk terus membaca