PARLIMEN mencipta sejarah apabila meluluskan pindaan pelaksanaan kelayakan mengundi dan menjadi calon pada usia 18 tahun, tiga tahun lalu. Selasa lalu, Parlimen, institusi mulia dalam sistem pentadbiran dengan sokongan lebih dua pertiga... Klik di sini untuk terus membaca

PARLIMEN mencipta sejarah apabila meluluskan pindaan pelaksanaan kelayakan mengundi dan menjadi calon pada usia 18 tahun, tiga tahun lalu.

Selasa lalu, Parlimen, institusi mulia dalam sistem pentadbiran dengan sokongan lebih dua pertiga majoriti meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) pindaan Perlembagaan Persekutuan berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Kali ini sokongan majoriti dua pertiga diperoleh menerusi dua kali undi belah bahagian, masing-masing pada bacaan kali kedua dan ketiga.

Pada bacaan kedua, pindaan mendapat 200 undi, tiada ahli yang tidak bersetuju, manakala 20 ahli Parlimen tidak hadir. Bagi bacaan ketiga, sebanyak 199 undi yang menyokong, manakala tiada ahli tidak bersetuju.

Ia menandakan bahawa meskipun hari ini tiada parti menguasai majoriti dua pertiga, Parlimen masih berupaya untuk meminda perlembagaan bagi membawa pindaan penting sekiranya kesemua parti dan ahli Parlimen tidak kira fahaman politik, dengan memperoleh sokongan diperlukan.

Ia boleh dilakukan demi kepentingan rakyat, selari dengan panggilan ‘wakil rakyat’ – wakil yang dipilih bagi membawa manfaat kepada rakyat. Anggota dewan perundangan diberikan mandat untuk memperkenalkan dasar dan undang-undang yang boleh dan akan membawa faedah kepada rakyat serta negara.

Dua pindaan bersejarah pada persidangan Parlimen ke-14 iaitu selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dengan sendiri membuktikan perkara itu boleh dilakukan dalam apa juga keadaan jika setiap ahli Parlimen bersetuju demi rakyat.

Ia termasuklah pindaan susulan 49 syor yang dikemukakan oleh Jawatankuasa Khas Penambahbaikan Sistem dan Undang-undang Pilihan Raya (ERC) pada Ogos 2020.

Selasa lalu, kesemua parti utama yang berada di Parlimen dan bersaing dalam gelanggang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak menzahirkan sokongan ke atas pindaan perlembagaan.

Usaha itu sepatutnya menjadi kenyataan dua tahun lalu tetapi berdepan kekangan susulan bantahan kerana mahukan pindaan lebih menyeluruh.

Menariknya, pindaan itu menjadi kenyataan ketika tumpuan negara beralih ke Bumi Kenyalang. Di atas kertas, Gabungan Parti Sarawak (GPS), ditubuhkan oleh parti-parti utama di Sarawak yang keluar Barisan Nasional (BN) selepas PRU 2018 diketuai oleh Ketua Menteri, Tan Sri Abang Johari Tun Openg dilihat sebagai pendahulu saingan.

Dari awal, GPS diberi gambaran berpeluang cerah untuk mengekalkan mandat. Oleh itu, perhitungan kini adalah sama ada GPS akan mengekalkan 72 kerusi dimenangi pada 2016 atau menambah koleksi mereka.

Penganalisis melihat GPS akan menang mudah ketika parti-parti pesaing ketinggalan jauh. Persaingan utama adalah daripada DAP dan Parti Sarawak Bersatu (PSB). Pun begitu, cabaran PKR yang memenangi tiga kerusi pada PRN 2016 tidak boleh dipandang rendah ekoran prestasi mereka pada PRN Melaka bulan lalu. Parti Bumi Kenyalang ingin mencipta sejarah.

Sementara peluang kelihatan memihak kepada GPS, adakah pindaan perlembagaan bakal membawa tuah kepada GPS?

Ketika Parlimen membahaskan pindaan, proses pengundian undi awal sedang berjalan dan dilaporkan 89 peratus telah menunaikan tanggungjawab mereka. Sabtu ini, seramai 1,252,014 pemilih layak membuang undi bagi menentukan nasib di 82 kerusi yang kesemuanya ditandingi.

Memandangkan isu MA63 dilihat sensitif dan dekat di hati rakyat Sarawak, perkembangan Selasa lalu sudah pasti mampu mengubah arah aliran pengundian PRN Sarawak kali ini, meskipun hampir kesemua pengundi dilihat telah membuat keputusan mereka.

Itu sebabnya, kesemua parti memperlihatkan pendirian yang cukup berhati-hati pada Selasa lalu.

* Dr G Manimaran ialah penulis buku Pilihan Raya Demokrasi Malaysia: Tanding, Pilih, Menang & Tadbir

Klik di sini untuk terus membaca