KONSEP musyawarah atau usaha mendapat pandangan rakyat dalam menyediakan dasar negara bukanlah perkara baharu mahupun idea telah lapuk atau ketinggalan zaman. Ia adalah salah satu cara hidup berdemokrasi berteraskan tadbir urus baik dan... Klik di sini untuk terus membaca

KONSEP musyawarah atau usaha mendapat pandangan rakyat dalam menyediakan dasar negara bukanlah perkara baharu mahupun idea telah lapuk atau ketinggalan zaman. Ia adalah salah satu cara hidup berdemokrasi berteraskan tadbir urus baik dan bersifat inklusif.

Sejak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memperkenalkan Agenda 21 dengan matlamat utamanya memerangi kehancuran alam sekitar dan menyekat merebaknya kemiskinan ke seluruh dunia melalui kerjasama peringkat global dalam mencari titik persamaan, keperluan sejagat dan tanggungjawab menjaga bumi secara kolektif, konsep musyawarah sudah menjadi teras penting.

Melalui musyawarah dan himpunan pemikir serta pengkaji yang memberi pandangan bagaimana penyelesaian masalah dapat dipersetujui dan dicapai secara bersama, ia akan dapat mengikat lagi semangat inklusif serta kebersamaan yang perlu bagi membangunkan sesebuah negara.

Penglibatan masyarakat dalam menentukan nasib dan masa hadapan mereka adalah perkara penting yang diusulkan PBB sebagai salah satu cara pelaksanaan Local Agenda 21 (LA21).

Kita pernah membaca bagaimana pihak berkuasa tempatan digalakkan mengadakan mesyuarat town hall dengan penduduk sebagai cara berbincang dan memaklumkan projek pembangunan serta mendapat pandangan orang ramai.

Dalam sebuah forum baru-baru ini anjuran Yayasan Hasanah, saya diundang memberi pandangan mengenai peranan masyarakat dalam pembangunan. Saya kemukakan cadangan agar kerajaan bekerjasama dengan masyarakat sivil, orang perseorangan dan institusi-institusi penting dalam negara secara kolektif.

Yang penting, perlu ada sebuah agensi kerajaan mengkoordinasi dan mengumpul input pelbagai pihak serta mengambil pandangan mereka secara serius.

Jika pandangan rakyat diambil peduli, tiada sebab rakyat marah atau tidak puas hati dengan kerajaan. Inilah semangat kerjasama yang ingin kita capai dan idea Himpunan Malaysia Yang Lebih Baik adalah satu usaha untuk mendapat input tambahan bagi mencari penyelesaian kepada masalah sedang kita hadapi.

DEMOKRASI

Ia bukan terhad soal perpaduan kaum dan integrasi nasional, ia melangkaui isu perpaduan yang turut menyentuh isu berkaitan governans dalam negara.

Lebih penting, usaha itu adalah untuk memperkasakan pengasingan kuasa dalam negara agar badan-badan eksekutif, perundangan dan kehakiman dapat berfungsi secara bebas dalam menjaga urusan negara secara keseluruhan.

Pada pandangan saya, demokrasi berteraskan musyawarah sudah pasti akan menyumbang kepada usaha memperkukuhkan lagi teori pengasingan kuasa yang diperkenalkan oleh Montesquie.

Seperti dilaporkan Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) yang meneliti dan memantau perkembangan deliberative democracy peringkat global, OECD mendapati terdapat perkembangan pesat di mana platform untuk mengetengahkan demokrasi berteraskan musyawarah telah bertambah berlipat kali ganda sejak 2010.

OECD melaporkan antara 1979 sehingga 2009, hanya ada 169 platform demokrasi berteraskan musyawarah di dunia. Antara 2010 hingga 2021, wujud 397 platform baharu menjadikan jumlah 566 platform yang menganjurkan demokrasi berteraskan musyawarah.

Jadi, apa salahnya kita bersama mendokong usaha mengetengahkan idea Himpunan Malaysia Yang Lebih Baik jika ia memberi manfaat kepada negara dan rakyat.

Seperti definisi konsep ini yang saya perturunkan dalam bahasa Inggeris: "It is a citizen-centred and citizen-led approach to policy making. Deliberative democracy platforms have been established to address a wide range of policies and issues at all levels of government. Essentially, policies are determined following deliberation by a group of citizens who are randomly selected but represent a microcosm of society.”

* Datuk Dr Anis Yusal Yusoff ialah Felo Utama di KITA, UKM. Beliau pernah menjadi Presiden Institut Integriti Malaysia, dan Timbalan Ketua Pengarah GIACC, JPM

Klik di sini untuk terus membaca