ADAKAH perubahan iklim menjadi dalang kejadian puting beliung yang dipercayai mengorbankan ratusan orang dan menyebabkan kemusnahan di lebih empat buah negeri di Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini?
Suhu lebih tinggi mungkin mewujudkan keadaan yang lebih baik untuk ribut ganas itu tetapi buat masa ini, para saintis tetap berhati-hati dalam membuat hubungan secara langsung dengan puting beliung itu.
Walaupun penyelidikan telah mengaitkan peristiwa cuaca ekstrem baru-baru ini dengan pemanasan global iaitu dari gelombang panas di Amerika Utara sehingga banjir di Eropah Barat, namun masih ada jurang penting dalam pemahaman saintifik mengenai puting beliung dan bagaimana ia mempunyai kaitan dengan keadaan iklim.
Menurut John Allen iaitu seorang ahli klimatologi di Universiti Central Michigan kepada AFP: "Sekurang-kurangnya dalam beberapa dekad yang terakhir, kita telah melihat kecenderungan ke arah keadaan yang lebih baik terutama pada musim sejuk di tengah dan tenggara di negara ini."
James Elsner iaitu profesor klimatologi di Universiti Negeri Florida cuba membuat penjelasan sama ada puting beliung itu adalah kesan daripada perubahan iklim.
Beliau membuat perbandingan dengan apa yang diketahui mengenai hubungan antara kabut dengan kemalangan kereta.
Keadaan berkabus di jalan raya dikaitkan sebagai punca jumlah kemalangan jalan raya yang lebih tinggi.
Namun, kemalangan individu dalam kejadian kabus tebal tidak selalu disebabkan oleh penglihatan yang kurang baik.
Dalam keadaan sama, mengetahui sama ada terdapat kaitan antara perubahan iklim dan puting beliung memerlukan penyelidikan yang lebih lanjut.
Di sinilah bidang sains atribusi yang telah membuat kemajuan besar dalam beberapa tahun terakhir ini terlibat dalam penyelidikan tersebut.
Ideanya adalah untuk memasukkan data iklim ke dalam model komputer untuk menganalisis kebarangkalian kejadian cuaca ekstrem tertentu yang akan berlaku di dunia.
Data itu juga mesti tidak mengandungi perubahan iklim yang berlaku disebabkan oleh 'tangan' manusia.
Namun, kajian seperti itu memerlukan masa dan sukar kerana masalah kekurangan data.
"Saya tidak fikir kita dapat menyatakan secara pasti 'ya', ini adalah (disebabkan) perubahan iklim," kata Allen.
Laporan Panel Antara Kerajaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk Perubahan Iklim (IPCC) yang terbaharu menggariskan terdapat 'keyakinan rendah' mengenai hubungan antara pemanasan global dan fenomena berskala kecil seperti puting beliung.
Purata jumlah puting beliung pada setiap tahun di AS tidak meningkat sejak beberapa tahun kebelakangan ini iaitu sekitar 1,300 dengan kebanyakannya berlaku pada musim bunga.
"Sebilangan besar bulan menunjukkan penurunan dalam jumlah puting beliung sejak kebelakangan ini," kata Jeff Trapp iaitu seorang saintis atmosfera di Universiti Illinois.
PUTING BELIUNG TERKUAT
Bagaimanapun, bulan Disember dan Januari telah menyaksikan peningkatan aktiviti puting beliung di negara itu.
Puting beliung terbentuk dari ribut petir iaitu ketika udara panas dan lembap menemui udara yang lebih sejuk.
Ini mewujudkan arus udara yang berputar dan ia bermula secara mendatar dan kemudian menjadi menegak.
Baru-baru ini, Presiden AS, Joe Biden menganggap puting beliung yang melanda bahagian tengah negara itu pada hujung minggu lalu adalah antara yang terkuat dalam sejarah Amerika.
Negeri Kentucky yang teruk dilanda bencana alam itu, kira-kira 75 peratus bandar Dawson Spring mengalami kemusnahan manakala terdapat mangsa-mangsa yang terselamat akibat puting beliung yang melanda sembilan buah negeri tinggal dalam keadaan sehelai sepinggang sahaja.
Menurut Chiara Lepore iaitu seorang penyelidik di Universiti Columbia, puting beliung mungkin menjadi lebih kuat pada iklim masa depan.
Satu kajian baru-baru ini mendapati bahawa untuk setiap tahap pemanasan dalam darjah Celsius, terdapat peningkatan antara 14 hingga 25 peratus kemungkinan berlakunya kejadian ribut petir yang teruk di AS.
Bagaimanapun, masih sukar untuk merumuskan bagaimana dapatan itu akan dapat diterjemahkan bahawa lebih banyak kejadian puting beliung yang akan berlaku, kata Lepore. - Agensi
Klik di sini untuk terus membaca