SHAH ALAM - Seorang pemimpin tertinggi Gabungan Parti Sarawak (GPS) membidas sikap segelintir pihak yang cuba melaga-lagakan hubungan kerajaan Persekutuan dengan Sarawak dengan cubaan menuntut kemerdekaan negeri itu melalui kempen Pilihan... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Seorang pemimpin tertinggi Gabungan Parti Sarawak (GPS) membidas sikap segelintir pihak yang cuba melaga-lagakan hubungan kerajaan Persekutuan dengan Sarawak dengan cubaan menuntut kemerdekaan negeri itu melalui kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak.

Menegaskan rancangan Sarawak keluar daripada Malaysia tidak pernah terlintas dalam pemikiran parti gabungan itu, Timbalan Ketua Wanita II Parti Pesaka Bumiputera (PBB), Datuk Seri Rohani Abdul Karim sebaliknya menyifatkan kerajaan Persekutuan dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob adalah merupakan rakan kongsi GPS yang terbaik.

Tambah beliau, hal itu dapat dibuktikan meneruskan kesungguhan kerajaan Ismail Sabri meluluskan tuntutan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dimasukkan dalam Perlembagaan Persekutuan, sekali gus membuktikan hubungan dua hala antara Sarawak dan kerajaan Persekutuan sentiasa memanfaatkan rakyat negeri itu.

"Memang saya nampak, hubungan kerajaan Pusat dan Sarawak ketika ini adalah begitu erat, laksana rakan kongsi yang ideal.

"Pindaan RUU berkaitan MA63 juga menunjukkan kedua-dua pihak bersedia mengembalikan semangat untuk menubuhkan Malaysia pada tahun 1963, biarpun ada pihak cuba memainkan cerita kononnya rakyat Sarawak menuntut untuk keluar Malaysia.

"Saya ingin menegaskan tuntutan sebegitu tiada langsung dalam pemikiran GPS dengan (perbuatan) ini merupakan cakap-cakap orang yang mahu melihat kita (kerajaan Pusat dan Sarawak) bertelagah," katanya kepada Sinar Premium pada Khamis.

ROHANI

Beliau berkata demikian bagi mengulas tindakan beberapa parti kecil daripada blok pembangkang yang cuba menjadikan sentimen mengajak rakyat Sarawak menyokong usul keluar daripada Malaysia sebagai bahan dan manifesto kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak yang dijadualkan diadakan pada 18 Disember ini.

Bahkan, idea diperjuangkan Parti Bumi Kenyalang (PBK) dan Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (Aspirasi) itu turut ditempelak Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sarawak, Chong Chieng Jen yang melihat agenda berkenaan adalah merupakan propaganda bahaya.

Mengulas lanjut, Rohani menjelaskan parti pembangkang seperti PH turut menolak agenda Sarawak keluar daripada Persekutuan Malaysia kerana mereka menyedari pelaksanaan usul itu bukan satu perkara mudah.

Ditambah dengan komitmen kerajaan Persekutuan untuk melaksanakan baki tuntutan MA63 pada masa hadapan mengikut jadual ditetapkan, Rohani mengakui tiada sebab untuk parti-parti di Sarawak menafikan kepentingan hubungan Sarawak-Pusat.

"Atas sebab itu, GPS berharap dapat menang besar dengan majoriti lebih dua pertiga pada PRN Sarawak kerana kita menyedari kepentingan mengukuhkan hubungan antara Sarawak dan kerajaan Persekutuan selain keperluan mewujudkan sebuah kerajaan stabil di negeri itu.

"Rakyat Sarawak juga tidak mahu mengulangi sengsara ketidaktentuan arah negeri Sarawak sewaktu kerajaan Pusat diterajui kerajaan Pakatan Harapan (PH) dalam tempoh 22 bulan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14)," katanya.

Klik di sini untuk terus membaca