[MUKADIMAH] Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada ketika ini telah memasuki usia lima tahun sejak ditubuhkan pada 8 September 2016. Sejak didaftarkan pada 14 Januari 2017, Bersatu pelbagai fasa antaranya menjadi kerajaan bersama... Klik di sini untuk terus membaca

[MUKADIMAH] Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada ketika ini telah memasuki usia lima tahun sejak ditubuhkan pada 8 September 2016.

Sejak didaftarkan pada 14 Januari 2017, Bersatu pelbagai fasa antaranya menjadi kerajaan bersama Pakatan Harapan (PH), tersungkurnya gabungan itu selepas 22 bulan memerintah selepas Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) dan kembali menjadi kerajaan di bawah gabungan baharu bersama Pas dan Gerakan dalam Perikatan Nasional (PN serta UMNO-Barisan Nasional (BN).

Pun begitu, biarpun di bawah satu bumbung bersama UMNO melalui Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, gabungan baharu itu terutamanya melibatkan Bersatu dan UMNO tetap berdepan liku.

Dan melalui Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu 2021 yang bermula hari ini hingga Ahad persediaan menghadapi PRU15 akan menjadi inti pati penting buat Bersatu yang kini diterajui Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ikuti wawancara wartawan Sinar Premium, MOHD FAIZUL HAIKA MAT KHAZI bersama Ketua Penerangan Bersatu, DATUK WAN SAIFUL WAN JAN bagi memperjelaskan hala tuju Bersatu bagi berdepan PRU15 nanti.

SINAR PREMIUM: Apakah mesej dan agenda penting bakal dibincangkan dalam PAT selama tiga hari mulai Jumaat ini?

WAN SAIFUL: PAT yang akan berlangsung pada, Jumaat, Sabtu dan Ahad ini menjadi acara terpenting di mana perwakilan dari seluruh negara akan bertemu di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) bagi membincangkan pelbagai isu dan perkembangan politik semasa.

Pada hari Sabtu, kita akan mengadakan perhimpunan sayap Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) dan Srikandi yang bakal dirasmikan secara berkelompok oleh Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Saya yakin dalam persidangan kedua-dua sayap berkenaan pelbagai isu penting terutama peranan anak muda dan wanita dalam menjayakan agenda pembangunan negara dan memperkukuhkan Bersatu.

Dalam perhimpunan berkenaan kita akan mendengarkan ucapan dasar Muhyiddin selaku Presiden Bersatu berkaitan pelbagai perkara terutama isu semasa, agenda pemulihan negara, pemulihan ekonomi, agenda memastikan kestabilan politik serta situasi politik semasa.

Saya berpandangan bahawa perhimpunan adalah satu agenda penting kerana seperti kita tahu bahawa PRU15 akan berlaku pada bila-bila masa sahaja. Oleh itu, mungkin ada beberapa perkara berkaitan PRU15 akan datang bakal dibangkitkan dan dibincangkan dalam PAT kali ini.

Kita juga mahu mendengar suara akar umbi Bersatu mengenai corak sebenar politik yang mahu kita bawa dan perjuangkan pada masa akan datang.

Pada Ahad pula, kita akan mengadakan perhimpunan Agung Bersatu membabitkan 197 bahagian di seluruh negara. Malah, secara keseluruhannya kira-kira 1,600 perwakilan dari 197 bahagian dan pemimpin tertinggi Bersatu dari seluruh negara akan hadir secara fizikal sepanjang perhimpunan ini.

Apa pandangan Datuk mengenai hala tuju parti selepas PN terutama Bersatu sendiri hanya berjaya menang dua kerusi pada PRN Melaka?

Sebenarnya kalau kita lihat data dan kajian dilakukan menunjukkan hampir semua berpandangan bahawa terdapat peningkatan prestasi dan sokongan pengundi kepada Bersatu dan Pas yang menjadi tonggak utama dalam PN pada PRN Melaka lalu.

Bagaimanapun, ia belum cukup untuk kita menang dan mengambil alih pentadbiran negeri Melaka. Jadi saya berpuas hati dengan prestasi dan undi popular diperoleh PN di PRN Melaka.

Adakah Datuk berpuas hati dengan pencapaian 100 hari Menteri Kabinet Keluarga Malaysia dalam kalangan parti Bersatu?

Saya rasa perkara berkenaan akan turut menjadi antara topik utama perbahasan perwakilan dalam perhimpunan ini terutamanya melibatkan menteri dari Bersatu.

Wan Saiful menegaskan Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu 2021 mulai hari ini hingga Ahad di MITEC, Kuala Lumpur akan menentukan hala tuju parti itu menuju PRU15. FOTO: MOHD HALIM ABDUL WAHID

Bagaimanapun, secara umumnya saya berpandangan menteri termasuk dari Bersatu sudah melakukan usaha terbaik bagi memastikan semangat dan kerjasama di bawa dalam kerajaan PN sebelum ini dapat diteruskan dalam kerajaan hari ini.

Semua pemimpin Bersatu dan PN tidak pernah hilang fokus sejak dari dulu lagi. Fokus utama kita adalah untuk melakukan terbaik bagi membantu rakyat yang dalam kesusahan akibat penularan pandemik Covid-19.

Bagaimanapun, masih ada beberapa perkara perlu diperbaiki oleh kerajaan di mana sudah ada suara yang menimbulkan kebimbangan mengenai kemungkinan kerajaan hari ini tidak boleh bertindak tegas seperti dilakukan Muhyiddin semasa menjadi Perdana Menteri sebelum ini yang memastikan kes berprofil tinggi dapat diadili dengan seadilnya.

Adakah Datuk merasakan PRU15 perlu diadakan awal atau perlu cukup penggal?

Dari segi PRU15, saya rasa semua parti perlu bersedia untuk menghadapi pilihan raya pada pada bila-bila masa. Kita tiada pilihan lain sama seperti PRN Melaka yang diadakan secara mengejut dengan tiada siapa menjangkanya.

Secara tiba-tiba sahaja UMNO bergaduh sesama sendiri sehingga menyebabkan kerajaan Melaka tumbang.

Bagi saya, Bersatu perlu sentiasa bersedia hadapi PRU15 pada bila-bila masa setakat mana kita mampu.

Saya melihat perwakilan dan pemimpin parti patut menggunakan perhimpunan agung pada hujung minggu ini untuk kita bermuhasabah sejauh mana kita bersedia untuk menghadapi PRU15 dan meneruskan khidmat kepada rakyat di peringkat akar umbi termasuk pengukuhan jentera parti di peringkat pusat daerah mengundi, cawangan, bahagian dan negeri.

Pada pandangan Datuk, apakah kelemahan Bersatu yang perlu diperbaiki jika mahu kembali menjadi kerajaan?

Saya rasa kita tawarkan kepada rakyat satu agenda baharu yang boleh menunjukkan perbezaan antara Bersatu dengan parti lain.

Justeru itu, saya berharap Bersatu tidak akan terperangkap dengan polemik politik yang sengaja ditimbulkan oleh pihak pembangkang yang sentiasa membawa agenda populis dan berhaluan kiri serta beberapa tokoh dalam BN/UMNO yang sentiasa merungut.

Akibat pembabitan dengan polemik berkenaan Bersatu terlepas pelbagai perkara lain yang lebih penting termasuk isu Malaysia meratifikasi Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) dan Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) yang memberikan impak besar kepada rakyat dan negara yang sepatutnya dibahaskan secara mendalam.

Begitu juga dasar bantuan kepada rakyat yang kini hanya disebutkan secara sepintas lalu dan berlalu begitu sahaja. Jadi harapan saya supaya Bersatu dapat kembali kepada prinsip asas penubuhan sesebuah parti politik dengan memberikan fokus kepada dasar kerajaan yang boleh kita tawarkan sebagai manifesto PRU15 nanti.

Apa yang bakal berlaku jika UMNO terus menolak untuk bekerjasama dengan Bersatu pada PRU15 nanti?

Saya rasa dalam hal ini UMNO kena buat keputusan dan rakyat sendiri perlu menilai tindakan mereka. Dalam Bersatu kita sentiasa konsisten untuk menawarkan khidmat bakti terbaik kepada rakyat.

Kita juga sedar bahawa untuk menawarkan khidmat kepada rakyat kita memerlukan sebuah kerajaan yang stabil.

Jadi untuk mencapai kestabilan semua parti yang mendukung kerajaan sekarang perlu sentiasa bersama di bawah satu keluarga besar.

Kalau UMNO mahu gabungan kerajaan sekarang berpecah, maka mereka sendiri perlu memberikan penjelasan kepada rakyat kenapa mereka menolak kerajaan perpaduan sekarang.

Saya dan Bersatu tidak boleh menjawab bagi pihak UMNO. Budaya yang dibawa Bersatu dalam PN adalah tiada ‘Abang Long Besar’ seperti yang ada dalam gabungan parti politik lain.

Dalam PN kita membawa budaya berbincang dan membuat keputusan bersama dan harmoni antara parti komponen.

Apa pandangan Datuk mengenai terdapat desakan termasuk dari pimpinan tertinggi dan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Zahid Hamidi dan Timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan supaya Perdana Menteri segera membubarkan Parlimen bagi memberikan laluan kepada PRU15 diadakan dalam masa terdekat?

Saya sendiri berasa pelik dengan kenyataan Presiden UMNO yang mahu PRU15 diadakan secepat mungkin.

Kenapa Presiden UMNO tidak mahu mempertahankan kerajaan yang diketuai Perdana Menteri yang juga Naib Presiden UMNO sendiri.

Selepas berjaya menjatuhkan kerajaan PN yang dipimpin oleh Perdana Menteri daripada Bersatu, pemimpin UMNO sekarang bertekad menjatuhkan Perdana Menteri yang mereka angkat sendiri.

Jadi saya berasa adalah lebih manis jika pemimpin UMNO sendiri membuat penjelasan kepada rakyat.

Adakah Bersatu akan menyerahkan semua kerusi Parlimen dikuasai kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS) di Sarawak pada PRU-15 sama seperti dilaksana semasa PRN Sarawak sekarang?

Kerjasama dan hubungan kita dengan GPS amat baik. Sebab itulah Bersatu membuat keputusan untuk tidak meletakkan calon pada PRN Sarawak ini.

Kita berharap langkah itu membolehkan GPS menang dengan selesa dan supaya dapat membentuk kerajaan negeri lebih stabil, kuat dan kukuh untuk kebaikan rakyat Sarawak sendiri.

Kita pula berharap apabila tiba PRU15 supaya GPS dan PN dapat berbincang serta bertolak ansur dalam agihan kerusi yang melambangkan semangat persahabatan.

Buat masa sekarang ini masih terlalu awal untuk kita bincang soal nak bagi semua kerusi kepada GPS dan sebagainya. Apa penting sekarang ialah semangat ditunjukkan kita untuk menjaga hubungan baik PN dan GPS akan dibawa semasa tiba PRU15 nanti.

Apa pandangan Datuk mengenai khabar angin seorang Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) akan keluar daripada Bersatu untuk mengetuai sebuah parti baharu tidak lama lagi serta kesannya kepada Bersatu?

Sebenarnya memang ada banyak khabar angin sudah tersebar, namun perkara itu belum berlaku lagi.

Saya rasa berita berkenaan sudah tersebar lebih setahun bahawa orang itu nak keluar, orang ini nak keluar, namun sehingga hari ini tidak berlaku.

Wan Saiful menjelaskan persidangan yang akan berlangsung bermula Jumaat akan menterjemahkan persediaan Bersatu berdepan PRU15. FOTO: MOHD HALIM ABDUL WAHID

Sebagai antara pemimpin kanan dalam Bersatu adakah Datuk bercadang untuk bertanding di mana-mana kerusi Parlimen dalam PRU15 nanti?Ini memang soalan cepu emas dan ramai sudah bertanya mengenai di mana saya akan bertanding pada PRU15 nanti.

Bagaimanapun, saya rasa belum masanya untuk mengumumkannya kerana terserah kepada parti untuk membuat keputusan.

Biasanya pemilihan kerusi mana kita akan bertanding, parti akan buat dan kita tidak boleh mendahului parti dalam hal ini. Adakalanya orang buat kerja tempat lain tapi namanya naik jadi calon di kawasan lain.


ANEKDOT


Apa hobi dan makan kegemaran Datuk?

Sebenarnya kalau ada masa lapang saya suka mengembara dan berjalan-jalan keliling kampung dan alam semula jadi sambil menikmati pemandangan serta menghirup udara segar.

Bagaimanapun, sekarang ini saya tidak mempunyai banyak masa untuk berbuat demikian kerana sibuk dengan tugas harian (Pengerusi PTPTN dan ahli politik).

Kalau makanan pula saya suka makan sayur-sayuran kampung, ulam yang dinikmati bersama sambal belacan dan gulai ikan, manakala kuih kegemaran saya pula ialah dangai iaitu sejenis kuih manis diperbuat daripada kelapa yang dibakar.

Apa kerjaya lain jika tidak menyertai politik?

Pertama sekali saya ingin memberikan penjelasan bahawa saya tidak pernah menyesal menceburkan diri dalam politik sejak beberapa tahun lalu. Tindakan ini membolehkan saya menterjemahkan idea dan teori yang pernah dikemukakan sebelum ini.

Saya rasa jika saya tidak terbabit dengan politik saya akan teruskan dengan apa yang lakukan sebelum ini iaitu terlibat dalam dunia perniagaan, penyelidikan dan kajian akademik.

Saya tidak bercadang untuk berpatah balik. Saya akan meneruskan perjuangan dalam politik kerana adalah satu perjuangan yang panjang untuk memperkukuhkan parti dan melaksanakan agenda pembangunan negara.

Klik di sini untuk terus membaca