ORANG kita begitu teruja dengan cerita-cerita peluang menjadi kaya dalam sekelip mata.
Baru-baru ini heboh satu Malaysia mengenai penemuan ketulan-ketulan emas ketika pembinaan jalan di Pitas, Sabah. Beberapa keping gambar batu diselaputi warna keemasan tersebar luas di media sosial.
Pitas adalah kawasan miskin, jadi penemuan ‘emas’ itu sangat besar ertinya kepada penduduk tempatan.
Bayangkan harga satu gram emas sekarang lebih RM240, kalau jual 100 gram sudah RM24,000.
Namun begitu, Jabatan Mineral dan Geosains Sabah mengesahkan batu menyerupai emas itu sebenarnya adalah pirit, sejenis mineral besi sulfida yang berkilau seperti logam.
Minggu ini pula hangat diperkatakan kisah seorang wanita menemui satu objek dipercayai muntah ikan paus semasa memancing berhampiran jeti di Marang, Terengganu.
Setakat ini, sampel muntah paus itu sudah diambil oleh Jabatan Perikanan Terengganu untuk diuji ketulenannya.
Muntah ikan paus atau ambergris mahal harganya. Ia benda yang dicari dalam perusahaan minyak wangi. Bahan semula jadi itu membuatkan haruman minyak wangi tahan lebih lama tanpa perlukan campuran kimia sintetik.
Ambergris yang digelar emas terapung ialah objek melekit menyerupai batu yang dihasilkan di dalam usus ikan paus sperma.
Muntah ikan paus seberat tujuh kilogram pernah ditemui oleh seorang pemancing di pantai Surat Thani, Thailand, Februari lalu.
Menurut Mail Online, muntah ikan paus itu mencecah harga 185,000 pound sterling iaitu kira-kira RM1.04 juta.
Cerita muntah paus di Terengganu itu mendapat perhatian luar biasa netizen yang menyifatkannya sebagai rezeki terpijak.
Berita mengenainya mendapat lebih sejuta bacaan di platform media sosial Sinar Harian. Namun, perkara yang mungkin kurang disedari orang ramai ialah ikan paus amat bernilai tinggi bukan kerana muntahnya semata-mata, bahkan dari sudut peranannya terhadap alam sekitar.
Pemuliharaan ikan paus global penting dalam menangani krisis perubahan iklim, kata saintis dalam kajian yang diterbitkan jurnal Science Advances keluaran Oktober 2020.
Berbeza dengan kebanyakan organisma darat yang melepaskan karbon dioksida ke atmosfera selepas mereka mati, bangkai ikan paus yang besar, tenggelam dan menyimpan karbon di lautan dalam. Seekor paus gergasi mampu menyerap bertan-tan gas karbon dioksida daripada atmosfera.
Pelepasan karbon dioksida adalah punca utama pemanasan global dan perubahan iklim dunia. Malangnya, sebahagian besar ‘karbon biru’ ini tidak bersemadi di dasar laut, sebaliknya dilepaskan ke atmosfera akibat aktiviti menangkap ikan dan ikan paus secara berlebihan selama beberapa dekad.
Menurut kajian tersebut, industri perikanan telah melepaskan sekurang-kurangnya 730 juta tan karbon dioksida sejak tahun 1950, hampir sama jumlahnya dengan gas yang dilepaskan 188 loji jana kuasa arang batu dalam tempoh setahun.
Pembebasan karbon daripada badan hidupan marin itu berlaku apabila ia dimakan atau dibuang di darat, bukannya di laut.
Paus sperma atau nama saintifiknya Physeter macrocephalus adalah mamalia gergasi yang sangat unik dan mudah dikenal pasti melalui kepala yang besar serta dahi bulat menonjol. Ia mampu membesar sehingga 18 meter panjang dengan berat 45 tan – menyamai saiz sebuah bas.
Ketika ini, paus sperma dikategorikan sebagai terancam dalam senarai merah Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam (IUCN).
Maka, kalau terjumpa muntah berharga di permukaan, kenangkan juga nasib ikan paus di lautan.
*Zuki Pileh ialah Timbalan Pengarang Berita Sinar Harian
Klik di sini untuk terus membaca