SOPHIA, robot berwajah manusia yang boleh berkelip dan melihat dari sisi kanan serta kiri, pernah menggemparkan dunia pada 2016.
Diputarkan masa lima tahun kemudian, pada 2021, evolusi robot berwajah realistik manusia memasuki fasa terbaharu apabila sebuah syarikat pengeluar robot perkhidmatan autonomi atau autonomous service robots (ASR) dan robot humanoid atau humanoid robots (HR) beribu pejabat di Huntingdon Valley, Pennsylvania, Amerika Syarikat (AS) menawarkan AS$200,000 (RM843,000) kepada sukarelawan yang berani ‘melepaskan’ hak wajah untuk selama-lamanya bagi diklon sebagai ‘muka robot humanoid’.
Robot berwajah manusia itu bakal bertugas di hotel, pusat beli-belah, lapangan terbang dan beberapa lokasi lain yang penting pada 2023. Sebagai individu yang terlibat secara langsung dalam evolusi HR, penulis cukup ghairah menyorot perkembangan terkini itu.
Penulis masih ingat kisah Sophia, robot humanoid ciptaan firma Hong Kong Hanson, robotik yang boleh berbual, tersenyum nakal dan berjenaka. Sophia melakar sejarah pada Oktober 2017 apabila menerima status warganegara Arab Saudi yang sah.
Berdasarkan laporan Daily Mail pada 26 November lalu, Promobot, syarikat pengeluar robot humanoid bakal melahirkan klon ‘Sophia’. Robot itu yang bakal mengguna wajah manusia terpilih menerusi proses rumit, akan bertugas sebagai pekerja manusia.
Ia bakal menjadi pembantu tadbir, pembantu perubatan, pembantu perunding, pemandu pelancong, pegawai perhubungan, pembantu penganjur, pegawai pendidikan dan pembantu pegawai keselamatan.
Sehingga kini, Promobot telah menghasilkan robot humanoid yang ditugaskan dengan pelbagai jawatan kepada lebih 43 negara sejak 2019.
Cadangan Promobot meminjamkan wajah manusia sebenar untuk muka robot dianggap sebahagian episod ‘Black Mirror’, namun ia bakal menjadi kenyataan pada 2023.
Robot berwajah manusia itu berfungsi sebagai pemudah cara kepada orang ramai yang mengunjungi pusat beli-belah atau lapangan terbang. Penulis percaya idea itu sangat sesuai bagi mengurangi kes Covid-19.
Robot tersebut berkebolehan menjawab soalan pengunjung tentang produk secara teknikal dan paling penting, ia mampu menggunakan sistem peranti dengan luaran secara perantara muka.
Penulis difahamkan Promobot akan memasukkan aspek artificial intelligent atau kecerdasan buatan (AI) termasuk pengecaman muka, pertuturan dan pendengaran, navigasi autonomi, kawalan mantap serta pergerakan semula jadi.
Penulis percaya projek khas seperti projek humanoid akan meyakinkan masyarakat tentang kepentingan melahirkan jurutera dan teknologis pakar dalam bidang pengendalian antara-muka (interface operation), mobiliti dan pergerakan, manipulator serta efektor, pengaturcaraan, penderiaan dan persepsi.Bidang lain seperti mekatronik, elektronik, sistem perisian kawalan, bahan komponen buatan, pemasangan dan pengujian sistem serta perkhidmatan penyelenggaraan pasti menerima manfaat daripada projek robot humanoid.
Senario robot humanoid telah dijelaskan ALLAH SWT dalam surah Al-Anbyaa' ayat (21:31) yang bermaksud: "Dan telah Kami jadikan di bumi ini gunung-gunung yang kukuh supaya bumi itu (tidak) goncang bersama mereka dan telah Kami jadikan (pula) di bumi itu jalan-jalan yang luas agar mereka mendapat petunjuk.”
Difahamkan, Promobot menerima lebih 20,000 permohonan yang bersedia ‘melepaskan’ hak wajah mereka. Diharap inisiatif Promobot mampu membakar semangat jurutera atau teknologis muda memerah idea dan memberi input terkini dalam menggerakkan impak transformatif Revolusi Perindustrian 4.0 (IR 4.0).
Di sinilah sektor Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) berperanan membuka laluan kepada usaha awal melahirkan jurutera atau teknologis berwibawa.
Penulis percaya teknologi AI akan mendominasi dunia secara total menjelang 2023. Persoalannya, di manakah kedudukan Malaysia ketika itu?
Selain menghasilkan jurutera hebat dimiliki Promobot, aspek kreativiti, kecerdasan emosi, pemikiran analitikal dan kritikal, pembelajaran aktif dengan pertumbuhan minda, kewarasan pertimbangan dan membuat keputusan, kemahiran komunikasi inter-personal, kemahiran memimpin, kerencaman kecerdasan budaya, kemahiran teknologi serta penerimaan perubahan mesti dititikberatkan.
Penulis percaya usaha Promobot menghasilkan robot berwajah manusia bertugas di tempat penting akan mencetus kegilaan terbaharu dalam kalangan jurutera atau teknologis muda di Malaysia.
* Profesor Ir Dr Muhidin Arifin ialah Ketua Operasi Selangor Technical Skills Development Centre (STDC) Selangor
Klik di sini untuk terus membaca