SHAH ALAM - Undang-undang dan penguatkuasaan perlu selaras dan serius dalam membendung masalah pencerobohan ikan pendatang bagi terus menyelamatkan spesies ikan tempatan. Pengkaji bebas, Mohd Ilham Norhakim Lokman berkata, pencerobohan ikan... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Undang-undang dan penguatkuasaan perlu selaras dan serius dalam membendung masalah pencerobohan ikan pendatang bagi terus menyelamatkan spesies ikan tempatan.

Pengkaji bebas, Mohd Ilham Norhakim Lokman berkata, pencerobohan ikan pendatang memberi impak negatif dan masalah besar kepada spesies tempatan.

Menurutnya, kini spesies yang kian mengancam ikan tempatan adalah baung ekor merah yang dibawa masuk dari Sungai Mekong dan impaknya boleh dilihat di Sungai Perak.

"Itu memang masalah besar dan perkara itu telah berlaku sejak dua hingga tiga tahun lepas.

"Selain baung ekor merah, spesies Cherax (udang kara air tawar pendatang) dan ikan bandaraya antara spesies luar yang telah membiak dengan tidak terkawal seperti di Sungai Johor.

"Ikan peacock bass juga antara spesies yang semakin banyak khususnya di kawasan lombong dan tasik," katanya.

MOHD ILHAM

Mohd Ilham berkata, undang-undang larangan mengimport ikan yang mengancam ikan tempatan tidak lagi mampu menghalang masalah itu kerana ikan pendatang itu dikesan telah dibiakkan di Malaysia.

Justeru katanya, undang-undang membiak spesies ikan asing ini perlu dikaji semula.

Beliau berkata, bagi peminat ikan hiasan terutamanya ikan bersaiz luar biasa, mereka perlu memikirkan apakah tindakan yang perlu dilakukan apabila ikan dibela semakin dewasa.

"Ramai yang membuang ikan peliharaan ke perairan awam apabila mereka tidak mampu menjaganya lagi. Ini seterusnya memberi kesan kepada ekosistem asli perairan Malaysia.

"Saya harap ada undang-undang yang digubal berkenaan isu ini dan selari dengan tindakan penguatkuasaan," katanya.

Klik di sini untuk terus membaca