SHAH ALAM - Biarpun tempoh kempen masih berbaki beberapa jam sebelum tamat sepenuhnya pada jam 11.59 malam ini, namun penganalisis dan pemerhati politik sudah meramalkan Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan mengekalkan status quo dengan menang... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Biarpun tempoh kempen masih berbaki beberapa jam sebelum tamat sepenuhnya pada jam 11.59 malam ini, namun penganalisis dan pemerhati politik sudah meramalkan Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan mengekalkan status quo dengan menang lebih lebih 70 daripada 82 kerusi Dewan Udangan Negeri (DUN) dipertandingkan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12 kali ini.

Berikutan itu, GPS diramalkan tidak akan berdepan laluan sukar untuk menang lebih dua pertiga kerusi DUN dan kembali membentuk kerajaan negeri selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan keputusan penuh PRN Sarawak, malam esok.

Felow Kanan Majlis Profesor Negara, Dr Jeniri Amir berkata, beliau juga meramalkan beberapa nama besar akan tewas dalam PRN Sarawak esok termasuk bekas Menteri Kerja Raya merangkap Ahli Parlimen Selangau, Baru Bian yang bertanding mempertahankan kerusi Ba'kelalan atas tiket Parti Sarawak Bersatu (PSB) kepada calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) iaitu Sam Laya.

Bekas Datuk Bandar Kuching, Wee Hong Seng daripada GPS pula dijangka tewas kepada Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen dalam pertembungan empat penjuru bagi merebut kerusi Padungan.

Jeniri yang juga Profesor Adjung Universiti Malaysia Sarawak (UMS) berkata, antara punca kekalahan Baru Bian adalah kerana pengundi tidak berpuas hati dan kecewa kerana beliau dikatakan gagal membawa perubahan dan kemajuan biarpun sudah 10 tahun menjadi wakil rakyat di kawasan terbabit.

DR JENIRI

Justeru, Jeniri berkata, penduduk di situ berpendapat mereka sudah cukup memberi masa kepada bekas Pengerusi PKR Sarawak itu untuk membuktikan keupayaannya dan sekarang mereka mahu memberi peluang pada calon GPS untuk berbuat demikian.

"Saya juga dapat lihat pelbagai usaha keras dilakukan oleh wakil GPS iaitu Sam Laya bagi membantu penduduk dan pengundi di kawasan berkenaan semasa negara dilanda Covid-19 baru-baru ini.

"Chieng Jen pula akan menang di kerusi Padungan kerana biasanya kaum Cina termasuk orang Dayak dan Iban tidak akan mencantas 'kepala' (Ketua) pembangkang kerana mereka memerlukan individu yang boleh bersuara lantang di DUN Sarawak walaupun imej DAP terjejas teruk selepas PRU14 lalu," katanya ketika dihubung wartawan Sinar Premium.

ABANG JOE TAK TERCABAR DI GEDUNG

Ditanya sama ada, Tan Sri Abang Johari Tun Openg, akan menghadapi masalah selepas berpindah ke kerusi baharu, Jeniri berkata, beliau percaya Ketua Menteri Sarawak itu akan menang selesa dengan majoriti lebih besar di kerusi DUN Gedung, esok.

"Saya percaya tidak mungkin pengundi di DUN Gedung akan menolak Ketua Menteri kerana beliau sudah banyak membawa perubahan dan pembangunan di kerusi dimenanginya sebelum ini.

"Pengundi di Gedung juga melihat kehadiran Abang Johari mampu membawa pelbagai pembangunkan infrastruktur dan ekonomi di kawasan terbabit bukan hanya dari segi eko pelancongan, malah kemahiran dan pertanian. Jadi saya yakin beliau akan memperolehi majoriti menyakinkan di kawasan terbabit," katanya.

Dalam pada itu, Jeniri berkata, antara faktor utama membantu kemenangan GPS adalah kerana jenteranya akar umbi parti komponennya lebih mantap dan sudah lama berkempen selepas keluar daripada Barisan Nasional (BN) dulu lagi.

Keadaan itu berbeza jika dibandingkan dengan parti pembangkang kecuali DAP dan Parti Sarawak Bersatu. Oleh itu, tidak hairan jika GPS menduduki tangga pertama dari segi kekuatan jentera parti diikuti DAP dan PSB manakala parti lain sekadar pelengkap sahaja dalam PRN kali ini.

Baru Bian mungkin sukar mempertahankan kerusi DUN Ba'kelalan yang dimenanginya lima tahun lalu atas tiket PH-PKR.

Jeniri juga berpendapat majoriti pengundi di Sarawak akan terus kekal memberikan sokongan padu kepada GPS kerana mereka komited membantu rakyat dengan memperkenalkan pelbagai pakej bantuan kewangan termasuk Pakej Bantuan Khas Sarawakku Sayang.

Beliau berkata, rakyat Sarawak juga dapat melihat komitmen tinggi ditunjukkan oleh kerajaan negeri dipimpin oleh Abang Johari bagi menangani pelbagai masalah berkaitan kemudahan asas seperti bekalan elektrik, air, jalan raya, jambatan dan akses internet di luar bandar.

"Perkara penting kerana berdasarkan tinjauan dan kajian saya lakukan di pedalaman mendapati antara masalah utama masih dibangkitkan penduduk di luar bandar di Sarawak adalah masalah bekalan elektrik, air, jalan raya dan akses internet di luar bandar.

"Oleh itu, saya melihat GPS dijangka tidak mempunyai masalah besar untuk menang lebih dua pertiga kerusi daripada 82 kerusi dipertandingan dalam PRN kali ini," katanya.

Mengulas lanjut, Jeniri berkata, beliau juga meramalkan DAP akan menang sekurang-kurang enam atau tujuh daripada 18 kerusi ditandingi mereka dalam PRN Sarawak kali ini.

Klik di sini untuk terus membaca