HARI ini rakyat Sarawak akan menunaikan tanggungjawab mengundi sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-12. Walaupun hanya melibatkan warga Bumi Kenyalang, PRN ini tetap menarik untuk diperhatikan.
Ada dua sebab mengapa ia menarik. Pertama ia pilihan raya yang tidak melibatkan Barisan Nasional (BN) yang digantikan dengan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan kedua, impaknya terhadap landskap politik negara di peringkat nasional.
Walaupun PRN ini tidak melibatkan BN, GPS dilihat mampu untuk menang dengan selesa. Faktor lambang barangkali tidak akan menjejaskan sokongan, tetapi GPS juga dijangka tidak akan memperoleh kemenangan secara mudah.
Secara peribadi penulis melihat PRN ini hanya sekadar suatu pungutan suara untuk mengesahkan kerajaan yang ada. Sebab itu kenyataan penganalisis politik Sarawak, Profesor James Chin yang menyifatkan PRN ini seperti referendum (pungutan suara) kepada GPS dan kepimpinan Tan Sri Abang Johari Abang Openg (Abang Jo) barangkali sesuai untuk menggambarkan pernyataan itu.
Persoalannya bukanlah tentang GPS menang atau kalah. Ia lebih melihat kepada kemampuannya memenangi sebanyak mungkin kerusi bagi mengekalkan status quo.
Ia juga melihat kepada penerimaan GPS sebagai pakatan baharu menggantikan BN selepas proses penjenamaan semula pasca Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) terutamanya gagasan ‘Sarawak First’ versi Tan Sri Adenan Satem (Tok Nan) ketika BN diteruskan oleh Abang Jo dalam versi GPS.
Ketika era Tok Nan, BN menang besar 72 kerusi. Kali ini apakah GPS di bawah Abang Jo boleh mengulangi pencapaian itu ataupun kekal dengan majoriti 2/3 tetapi hanya memperoleh sekitar 55-60 kerusi sepertimana diramalkan?
Benar ada banyak faktor yang dilihat memihak kepada GPS. Namun dalam masa yang sama, cabaran parti-parti pembangkang terutama Parti Sarawak Bersatu (PSB) dan DAP dilihat masih mampu menjejaskan peluang GPS.
Kalaupun tidak sampai mengalahkan GPS, sekurang-kurangnya mampu menjejaskan peluang mencatatkan majoriti dua pertiga. Inipun sudah cukup bagus bagi mereka dan mencalarkan reputasi GPS di Sarawak.
Dan kalau itu berlaku, sudah tentulah ia membawa kepada perkara kedua iaitu impaknya terhadap landskap politik nasional. Prospek GPS sebagai rakan kongsi baik BN ataupun Perikatan Nasional (PN) akan diperhatikan berdasarkan keputusan PRN hari ini.
Prestasi GPS akan menjadi indikasi utama kepentingan parti itu sebagai sekutu strategik mereka di Sarawak dalam menyumbangkan kerusi dalam pilihan raya di peringkat nasional.
Umum mengetahui GPS mempunyai hubungan yang baik dengan BN dan PN. Keakraban dan sokongan berterusan BN terutamanya UMNO serta penarikan diri calon PN dari Bersatu di DUN Krian barangkali memperlihatkan bagaimana usaha mereka dan pentingnya menjaga hubungan baik dengan GPS dalam konteks itu.
Prospek GPS di Sarawak bukan sahaja mahu dilihat dalam PRN kali ini, tetapi juga akan diterjemahkan potensinya dalam PRU15 kelak. Maka selepas PRN Melaka, kemenangan GPS dilihat akan membesarkan lagi feel good factor yang mempengaruhi sentimen dan psikologi rakyat terhadap kerajaan.
Maka tidak mustahil kalau GPS menang besar dalam PRN kali ini, desakan untuk membubarkan parlimen lebih awal sekali gus membuka laluan kepada PRU15 akan bertambah kuat dan kerap.
Persoalannya siapa yang GPS akan pilih kalau ia berlaku? BN atau PN? Setakat yang diperhatikan GPS jelas tiada masalah untuk memilih sesiapapun asalkan ia menguntungkan politik GPS baik di peringkat negeri mahupun Persekutuan.
Jadi jelaslah keputusan PRN Sarawak hari ini akan mempengaruhi politik negara di peringkat nasional. Persoalannya barangkali cepat atau lambat serta besar mana impaknya kepada semua pihak yang terlibat?
* Mujibu Abd Muis ialah Pensyarah Kanan Sains Politik Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi Universiti Teknologi MARA (UiTM)
Klik di sini untuk terus membaca