KEJAYAAN kerajaan Persekutuan mendapatkan sokongan majoriti dua pertiga ahli Parlimen dalam meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) pindaan Perlembagaan berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) sebenarnya memberikan kesan positif kepada rakyat... Klik di sini untuk terus membaca

KEJAYAAN kerajaan Persekutuan mendapatkan sokongan majoriti dua pertiga ahli Parlimen dalam meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) pindaan Perlembagaan berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) sebenarnya memberikan kesan positif kepada rakyat Sabah dan Sarawak.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar ketika membentangkan pindaan RUU itu berkata, pindaan Perlembagaan tersebut bertujuan mengukuhkan kedudukan Sabah dan Sarawak dalam Persekutuan Malaysia.

Perkara itu diakui Ahli Parlimen Batang Lupar daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS), Datuk Seri Rohani Abdul Karim yang menegaskan signifikan kelulusan pindaan RUU berkenaan MA63 sebenarnya di luar pemahaman majoriti rakyat Malaysia sendiri.

Melalui pindaan RUU berkenaan, beliau menegaskan sekurang-kurangnya tiga tuntutan penting yang dikemukakan negeri Sabah dan Sarawak berjaya dipenuhi kerajaan Keluarga Malaysia dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Tiga tuntutan itu ialah pertamanya mengiktiraf kedua-dua negeri kepulauan Borneo berkenaan sebagai negeri-negeri Persekutuan.

Kedua, mengiktiraf Hari Malaysia pada 16 September 1963 menggantikan takrif Persekutuan.

Rohani

Ketiga dan paling penting ialah mengiktiraf definisi kaum bumiputera daripada dua negeri itu yang telah diperluaskan lagi melalui Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing.

"Paling manis, kejayaan RUU pindaan berkenaan MA63 itu dicapai dengan sokongan 200 ahli Parlimen sekali pun angka sokongan yang diperlukan kerajaan untuk membolehkan proses pindaan dibuat adalah sebanyak 148 undian sahaja.

"Dengan proses kelulusannya dicapai pada saat Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak sedang berlangsung, kejayaan luar biasa itu sedikit sebanyak memberikan penghargaan sewajarnya terhadap jasa bekas Ketua Menteri Sarawak, Allahyarham Tan Sri Adenan Satim.

"Hal ini kerana sepanjang hayat hidup Allahyarham yang pernah dilantik sebagai Menteri Tugas-Tugas Khas Sarawak, beliau tidak putus-putus berusaha memastikan MA63 dimasukkan ke dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

KESAN POSITIF

Mengulas lanjut impak pindaan RUU berkenaan MA63 berkenaan, Rohani menegaskan kesan positif pastinya dirasai lebih 40 kaum bumiputera negeri Sarawak yang belum mendapat pengiktirafan sewajarnya daripada kerajaan.

Jelas bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu, sehingga kini, hanya sejumlah 35 kaum bumiputera di Sarawak yang menerima pengiktirafan di dalam Perlembagaan Persekutuan, selaras dengan pengiktirafan yang diluluskan dalam DUN negeri itu.

"Bagi mendapatkan status kaum peribumi Sarawak, Enakmen Undang-Undang Negeri Sarawak menetapkan syarat ibu dan ayah bagi seseorang individu itu haruslah berstatus bumiputera negeri itu, sedangkan budaya perkahwinan campur di antara kaum bumiputera dan bukan bumiputera termasuk rakyat semenanjung kini sudah menjadi normal.

"Melalui pindaan ini, syarat ketat pengiktirafan status kaum bumiputera Sarawak akhirnya dilonggarkan dengan seseorang individu hanya memerlukan pengesahan salah seorang daripada ibu atau bapa sahaja mesti berstatus kaum bumiputera,” katanya lagi.

Sementara itu, kejayaan kerajaan Keluarga Malaysia mendapatkan kelulusan pindaan RUU berkaitan MA63 dengan majoriti lebih dua pertiga turut dianggap sebagai satu pencapaian luar biasa oleh beberapa ahli Parlimen pembangkang Sabah.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Kota Kinabalu daripada DAP, Chan Foong Hin mengingatkan kerajaan bahawa pencapaian itu tidak seharusnya dilihat sebagai kemenangan kerajaan, sebaliknya wajar diraikan sebagai kejayaan kerjasama gencatan politik di antara kerajaan Keluarga Malaysia dan Pakatan Harapan (PH).

Jelas beliau, tanpa perjanjian memorandum persefahaman (MoU) kerjasama politik di antara kerajaan dan pembangkang, pastinya kelulusan pindaan itu sukar dicapai Ismail Sabri, lebih-lebih lagi pada saat landskap politik negara masih tidak begitu stabil.

Chan Foong Hin

"Di sebalik kejayaan itu, pindaan ini saya anggap hanya merupakan langkah pertama kerajaan dalam mengembalikan hak penduduk Sabah dan Sarawak dengan kelulusan sedia ada hanya membetulkan kedudukan kedua-dua negeri itu dalam Persekutuan Malaysia sahaja.

"Saya menyambut baik pindaan Perlembagaan berkaitan MA63, cuma pihak pembangkang mahu terus mendesak kerajaan meneruskan pindaan dari sudut kepentingan kewangan negeri Sabah dan Sarawak supaya impak pembangunan di semenanjung dan kedua-dua negeri berkenaan dilaksanakan secara sama rata," ujarnya.

Klik di sini untuk terus membaca