BUKAN mudah mendidik anak-anak remaja. Pada masa yang sama, bukan mudah remaja mengharungi alam remaja yang penuh dengan ujian dan cabaran. Menurut Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), golongan remaja adalah berada pada fasa peralihan zaman... Klik di sini untuk terus membaca

BUKAN mudah mendidik anak-anak remaja. Pada masa yang sama, bukan mudah remaja mengharungi alam remaja yang penuh dengan ujian dan cabaran.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), golongan remaja adalah berada pada fasa peralihan zaman kanak-kanak ke alam dewasa dalam lingkungan umur 10 hingga 19 tahun.

Semasa fasa peralihan, mereka mengalami proses perubahan fizikal dan perkembangan mental. Kesan daripada perubahan hormon, para remaja akan mengalami perubahan mood tidak stabil seperti mudah sensitif, tidak rasional serta menunjukkan kepelbagaian emosi.

Pada masa sama, mereka mengalami krisis identiti, suka kebebasan dan begitu mudah dipengaruhi. Hakikatnya, mereka mencari idola yang sesuai dengan jiwa mereka serta boleh dijadikan teladan kepada mereka.

Kebanyakan pakar psikologi bersetuju bahawa pembinaan watak seseorang dewasa adalah terbentuk sewaktu zaman kanak-kanak dan remaja.

Justeru, benarlah pepatah Melayu menyebut ‘Melentur buluh biarlah dari rebungnya’. Ini bermakna proses kehidupan remaja perlu sentiasa dipantau agar tidak tergelincir daripada paksi kebaikan.

Pun begitu, walaupun kita bersungguh-sungguh memantau mereka, kepincangan sikap remaja bukan mudah untuk ditangani.

Kebiasaannya, apabila anak-anak remaja dikenakan tindakan kerana pelbagai salah laku terutamanya sebagai pembuli, tidak hairanlah jika ada ibu bapa terkejut dengan perubahan tingkah laku anak-anak mereka kerana sikap mereka cukup baik semasa berada di rumah. Inilah yang dikatakan sebagai krisis identiti dalam kalangan remaja.

PSIKOLOGI

Menurut perspektif psikologi, buli adalah satu tingkah laku agresif yang dilakukan bagi tujuan mencederakan secara fizikal dan juga mental.

Secara umumnya, terdapat empat jenis buli iaitu secara psikologikal (mempengaruhi pemikiran dan emosi), lisan, fizikal dan secara maya atau cyberbully.

Tindakan buli dilakukan secara berulang-ulang bagi tujuan menunjukkan kuasa, membalas dendam, memalukan orang lain, menghalang orang lain ‘lebih’ daripada mereka serta sentiasa ingin berada pada kedudukan paling atas dari aspek dihormati dan ditakuti.

Pada hemat saya, fenomena buli ini berlaku bukannya kerana bermusim, namun disebabkan masalah kesihatan mental pembuli yang tidak diambil tindakan secara serius oleh para ibu bapa, pihak sekolah dan pelbagai pihak yang berkaitan dengan mereka.

Kenapa tidak boleh ditangani secara serius?. Ini kerana kita tidak cuba untuk memahami serta mendengar keluhan mereka.

Isu memahami anak-anak, Saidina Ali (RA) pernah berkata, "Pada peringkat umur tujuh tahun pertama, didiklah anak-anak dengan penuh kasih sayang, bagi tujuh tahun kedua, sekiranya perlu, rotanlah mereka untuk berikan pengajaran dan bagi tujuh tahun ketiga, jadikanlah mereka sebagai sahabat.”

Selain itu, prinsip kemuliaan insan perlu dititikberatkan kepada mereka. Apa yang penting, mereka perlu difahamkan bahawa sesiapa sahaja yang tidak memuliakan insan akan dijadikan muflis di akhirat nanti walaupun kaya di dunia.

Berkaitan hal itu, daripada Abu Huraira (RA) bahawa Rasululullah SAW bersabda: "Sesungguhnya orang muflis dari kalangan umatku adalah sesiapa yang datang pada hari kiamat dengan solat, puasa dan zakat. Dia juga datang dalam keadaan pernah mencela orang ini, menuduh orang ini, memakan harta orang ini, menumpahkan darah orang ini, memukul orang ini. Maka diberikan kepada orang-orang tersebut kebaikan-kebaikan dirinya. Sekiranya kebaikannya sudah habis dalam keadaan perhitungan ke atasnya belum lagi habis, maka diambil kejahatan-kejahatan mereka itu tadi lalu dicampakkan kepadanya dan kemudiannya dicampak ke dalam neraka.” (Hadis Riwayat Muslim).

Sebetulnya, banyak pandangan dikemukakan bagi menangani salah laku remaja. Namun selagi kita tidak memahami mereka, selagi itulah kita tidak akan berjaya menangani masalah remaja. Fahamilah remaja dengan mendekati mereka.

* Profesor Madya Dr Huzili Hussin ialah Ketua Pusat Kecemerlangan Inovasi dan Kelestarian Sosial (COESIS) Universiti Malaysia Perlis

Klik di sini untuk terus membaca