BERCAKAP tentang buli, ia berada di mana-mana. Di sekitar kejiranan, di sekolah, mungkin di dalam kelas, di taman rekreasi kanak-kanak dan juga di tempat kerja, akan ada jenis manusia yang suka membuli. Kalau di sekolah berasrama, ia telah... Klik di sini untuk terus membaca

BERCAKAP tentang buli, ia berada di mana-mana. Di sekitar kejiranan, di sekolah, mungkin di dalam kelas, di taman rekreasi kanak-kanak dan juga di tempat kerja, akan ada jenis manusia yang suka membuli.

Kalau di sekolah berasrama, ia telah menjadi turun temurun. Mereka yang baru sahaja bersekolah asrama, akan dibuli oleh pelajar senior di situ. Biasanya mereka akan disuruh membasuh baju dan mengurut badan.

Pelajar baharu apabila mereka menjadi pelajar senior pula, mereka pula akan menjadi pembuli pula. Pendek kata ia kejadian turun-temurun dan tradisi.

Saya pernah bersekolah di asrama sejak dari Tingkatan Satu juga. Masa zaman saya dahulu pelajar Tingkatan Lima tidak macam pelajar zaman sekarang. Mereka kelihatan sangat besar dan tua.

Kalau mereka tidak memakai baju sekolah, mungkin saya sangkakan mereka ini cikgu dan bukan pelajar. Ada juga sudah berjanggut dan berkumis lebat.

Pelajar sekarang, walaupun Tingkatan Lima, masih kelihatan muda dan berhingus. Kita boleh melihat contoh fizikal budak-budak buli yang sedang hangat diperkatakan baru-baru ini. Masih kebudakan-budakan.

Di taman rekreasi awam pun ada juga pembuli. Saya teringat ketika anak kedua saya menolong ibunya menjual aiskrim di taman tersebut. Ada budak yang lebih besar mengambil aiskrim tanpa membayarnya.

Saya meminta dia tunjukkan budak mana yang tidak mahu membayar itu. Dia menunjuk kepada seorang budak walaupun masih bersekolah tadika, namun fizikalnya besar dan gemuk pula.

Saya cuba mendekati budak itu untuk meminta duit aiskrim, tetapi melihat ayahnya juga lebih besar daripada saya, saya terpaksa membatalkan hasrat tersebut. Sejak dari hari itu, anak saya tidak lagi menjual aiskrim di taman tersebut.

Pernah terjadi di sekolah apabila anak saya memberitahu ada orang suka memukulnya. Saya memberitahu anak yang sulung yang juga bersekolah sama untuk menjaga adiknya dari dibuli.

Saya memberitahu anak sulung saya, kalau budak itu main kasar, "tumbuk hidung, tumbuk hidung.” Biasanya kalau tumbuk hidung akan menyebabkan pergaduhan atau kejadian buli akan berhenti serta-merta.

Pada suatu hari, balik dari kerja, isteri memberitahu, "awak, ni ada berita baik, berita buruk dan berita baik lagi.”

"Berita apa?” tanya saya.

"Berita baik Along telah menumbuk budak yang suka membuli adik. Berita tak baik, hidung budak itu berdarah dan bapanya hendak jumpa awak. Dan berita baik lagi, adik dari tadi, balik dari sekolah masih tersenyum,” jawab isteri saya.

"Ayahnya besar ke kecil?” tanya saya kepada isteri.

Pada hari berikutnya saya ada bertemu dengan bapanya pembuli. Saya memberitahunya saya kesal dengan kejadian tersebut dan memberi jaminan ia tidak akan berulang lagi, melainkan jika anaknya membuli anak saya lagi.

PELBAGAI JENIS BULI

Di sekitar kejiranan juga berlaku kegiatan buli. Terutamanya jiran yang membela kucing tetapi hanya membiarkan sahaja kucingnya berak merata-rata. Apabila kita menegurnya, biasanya mereka akan marah-marah pula.

Ini pun dikira buli kerana menyebabkan perasaan kita tidak tenteram dan tertekan dengan bau tahi kucing tersebut.

Dan setiap hari, kita terpaksa membersihkan tahi kucing tersebut yang menyebabkan badan kelelahan.

Melihat lagi kepada kejadian buli di sekolah sekarang, ia telah menjadi sangat menakutkan. Ini kerana ia melibatkan kecederaan parah dan juga kematian. Sesuatu perlu dilakukan sebelum ia melibatkan ramai lagi mangsa.

Cadangan saya eloklah pembuli ini dikenakan hukuman melakukan kerja khidmat masyarakat. Mereka yang insaf ini juga hendaklah dibawa membuat kunjungan ke sekolah-sekolah lain sebagai contoh teladan akibat perbuatannya itu.

Selain itu, kita juga perlu memberi perhatian tentang kejadian buli yang melibatkan orang dewasa terutama di tempat kerja. Ia boleh berlaku pada waktu kerja dan juga selepas waktu kerja.

Zaman sekarang, setiap pekerja akan ada kumpulan WhatsApp. Ini menjadi beban kepada pekerja sebenarnya. Terutama apabila ‘bos᾿ kita senantiasa bertanya tentang apa status kerja terkini.

Kalau kita tidak melihat mesej tersebut, kita akan dikatakan tidak cakna. Kalau asyik menghadap mesej tersebut, isteri kita pula bak kata pepatah ‘masam bagai nikah tak suka pula᾿.

Pendek kata buli ini ada di mana-mana, di setiap masa dan ketika, tanpa mengira situasi dan keadaannya.

*Penulis seorang jurutera kanan di sebuah syarikat lebuh raya dan amat meminati penulisan kreatif. Untuk bersatira, e-mel beliau: mrfaisalmuhamad@gmail.com

Klik di sini untuk terus membaca