SEWAKTU kecil, seorang warga emas telah memberikan saya sebuah nasihat yang kasar, tetapi bertujuan baik dalam memilih rakan.
"Elakkan diri daripada anak-anak ahli politik. Mereka korup, sombong dan masih mentah. Mereka tidak faham budaya atau adab tertib dan mungkin akan mempergunakan mu.”
Ketika itu, tiada apa yang perlu dirisaukan kerana saya telahpun mempunyai rakan-rakan introvert yang tidak tahu atau peduli pekerjaan ibu bapa masing-masing.
Namun, beberapa tahun kemudian apabila saya bertemu dengan anak-anak ahli politik, saya dapat memahami maksud di sebalik nasihat tersebut.
Malah, saya mendapati ramai orang memendam pelbagai andaian terhadap saya kerana menjadi seorang yang bergelar Tunku atau apa-apa gelaran yang setara dengannya turut mempunyai pelbagai jenis stereotaip negatif terhadapnya.
Menyedari akan prasangka ini menyebabkan saya membuat kesimpulan bahawa dasar terbaik dalam mana-mana interaksi sosial adalah dengan cara melayani setiap orang sebagai seorang individu dengan sebaik mungkin tanpa mengira apa-apa sifat zahir mereka serta berharap mereka akan turut mengambil sikap yang sama terhadap saya.
Dasar ini diperkukuhkan lagi apabila saya menyaksikan kesan buruk sikap perkauman dan seksisme sewaktu tinggal di UK dan Amerika Syarikat, mengembara ke beberapa buah negara dan sudah tentu pengalaman di Malaysia sendiri.
KEJAYAAN
Tan Sri Nazir Razak dan Datin Paduka Marina Mahathir pastinya merupakan individu tersendiri. Kedua-duanya telah mencapai banyak kejayaan, mendapat pujian serta kritikan dan secara kebetulan telah menulis buku yang mengungguli carta buku terlaris.
Kedua-dua buku tersebut berdasarkan kepada tajuk merujuk kepada bapa mereka. ‘Nama’ dalam What’s In A Name karangan Tan Sri Nazir Razak merujuk kepada Tun Abdul Razak Hussein manakala ‘pokok’ dalam The Apple and The Tree tulisan Datin Paduka Marina Mahathir merujuk kepada Tun Dr Mahathir Mohamad.
Pembaca tetap tulisan saya mengetahui bahawa kedua-dua bekas Perdana Menteri ini tidak tersenarai sebagai Perdana Menteri kegemaran saya (atas alasan berbeza walaupun mereka sering dikatakan mempunyai ideologi yang sama), apatah lagi jika mengambil kira andaian kemungkinan seperti Datuk Onn Jaafar dan Tun Dr Ismail Abdul Rahman.
Saya berkenalan dengan kedua-dua orang anak Perdana Menteri ini secara kebetulan. Permulaan pertemuan saya dengan Tan Sri Nazir adalah ketika beliau tidak berpuas hati dengan beberapa hasil kerja saya sebagai Felo Penyelidik di CIMB ASEAN Research Institute (CARI), kemudiannya ketika beliau menganggotai Institute for Democracy and Economic Affairs (IDEAS) Council dan seterusnya bertemu di gelanggang skuasy.
Saya bertemu Datin Paduka Marina beberapa kali dalam pelbagai panel masyarakat sivil. Beliau pernah menggelarkan saya sebagai ‘Justin Bieber badan pemikir᾿ - tentunya bukan sebagai satu pujian.
Sudah tentu terdapat beberapa bahagian ‘panas’ yang mendapat perhatian pembaca dalam perspektif autobiografi ini: 1MDB dan Langkah Sheraton.
Beberapa komentar telah menumpukan kepada petikan-petikan ini bertujuan untuk memperkecilkan pemerhatian tersebut.
Beberapa ulasan telah melampaui batas; termasuk beberapa individu yang mengakui sebagai liberal dan menolak semua bentuk diskriminasi tetapi kemudiannya mengecam seseorang disebabkan kesalahan yang dilakukan oleh ayah atau abang mereka atau meletakkan tanda aras yang tinggi untuk penebusan dosa kesalahan ahli keluarga mereka tanpa memberikan kelonggaran kepada hubungan kekeluargaan yang telah sebati dalam budaya kita.
KESIMPULAN
Mereka yang percaya kepada prinsip menilai seseorang hanya terhadap tindakannya sebagai seorang individu pula akan membuat kesimpulan berbeza sama ada kedua-dua penulis ‘telah melakukan sewajarnya᾿ ketika peristiwa penuh kontroversi itu. Namun, mereka juga berkemungkinan bertindak sebaliknya apabila melihat pengkhianatan dan kekecewaan terhadap individu yang dirasakan boleh melakukan sesuatu yang lebih baik.
Selain daripada topik panas tersebut, membaca naratif secara langsung mengenai revolusi perbankan Malaysia terutamanya perbankan pelaburan atau cabaran dalam meningkatkan kesedaran dan dasar tentang HIV/Aids adalah amat menarik terutama apabila kedua-dua mereka telah mendapat pengiktirafan antarabangsa dalam apa yang telah mereka berdua lakukan (sungguhpun hal ini tidak menjadikan mereka maksum).
Tidak dapat disangkal lagi, bahagian yang paling beremosi adalah kenangan terhadap ahli keluarga. Buat Tan Sri Nazir, kehilangan bapanya ketika masih kecil bermaksud menilai cara legasi Tun Abdul Razak seharusnya memberikan inspirasi kepada beliau, saudaranya serta negara ini: cadangan Better Malaysia Assemblynya merupakan manifestasi yang paling spesifik.
Datin Paduka Marina pula, campur tangan politik berterusan Tun Dr Mahathir sudah tentu mencetuskan reaksi yang telah biasa dihadapi sepanjang hidupnya, tetapi kini lebih tajam kerana generasi baharu yang menyebabkan perbezaan lebih melebar.
Keseluruhannya, terdapat bayangan persekitaran sosial Malaysia yang berbeza dan politik yang bukan direka untuk media sosial yang reaktif, sebaliknya untuk perbezaan ideologi Perang Dingin atau susulan daripada Revolusi Iran.
Perubahan besar yang teruk mencorakkan politik negara. Ketika ini, pada saat kita cuba memulihkan kembali Perlembagaan Persekutuan (seperti mengembalikan status Sabah dan Sarawak) sebagaimana yang ditulis dan dipersetujui oleh bapa-bapa negara kita termasuk Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dan Tuanku Abdul Rahman ibni Almarhum Tuanku Muhammad, ramai bapa politik berkemungkinan akan berhenti sejenak untuk memikirkan perkara yang akan diperkatakan dengan jujur oleh keturunan mereka.
* Tunku Zain Al-‘Abidin merupakan Presiden Pengasas IDEAS
Klik di sini untuk terus membaca