SHAH ALAM - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Selangor kekal pendirian untuk bekerjasama dengan Pas bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti. Pengerusi Bersatu Selangor, Datuk Abdul Rashid Asari berkata, perkara itu... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Selangor kekal pendirian untuk bekerjasama dengan Pas bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti.

Pengerusi Bersatu Selangor, Datuk Abdul Rashid Asari berkata, perkara itu selari dengan kenyataan terakhir Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang mengarahkan pimpinan parti itu bekerjasama dengan Bersatu di semua negeri termasuk Selangor.

Justeru beliau berkata, pendirian Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar bahawa parti itu akan meneruskan kerjasama dengan Pas mengukuhkan Muafakat Nasional pada PRU15, tidak mewakili suara pucuk pimpinan parti tersebut.

"Apa yang disebut oleh beliau adalah pandangan peribadi, tidak rasmi dan tidak selari dengan apa yang telah diputuskan antara Pas dengan Bersatu.

"Bersatu kekal pendirian bersama Pas, jika UMNO mahu turut serta pada PRU15 nanti, perkara itu akan diputuskan kemudian,” katanya ketika dihubungi pada Jumaat.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan dikeluarkan Noh semasa Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan Wanita UMNO Bahagian Tanjong Karang dan Majlis Penyerahan ID dan ‘Password’ Tutor Mahir di Institut Pengurusan Peladang (IPP) Tanjong Karang pada Sabtu.

Noh dilaporkan berkata, UMNO dan Pas perlu bekerjasama, tidak boleh bertembung sesama sendiri bagi mengelakkan Pakatan Harapan (PH) terus mengekalkan pentadbiran di Selangor.

Ahli Parlimen Tanjong Karang itu menjelaskan bahawa hasrat itu pernah disampaikan beliau melalui perjumpaan dengan Abdul Hadi pada awal tahun lalu.

Status hubungan Pas dengan UMNO menimbulkan persoalan selepas Barisan Nasional (BN) mengambil keputusan untuk bergerak secara solo pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka lalu.

Pada 2 Disember, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menjelaskan status kerjasama UMNO dan Pas dalam Muafakat Nasional akan ditentukan oleh 191 bahagian parti itu yang mula bersidang pada 18 Disember ini.

Rentetan daripada itu, Abdul Hadi Awang berkata, tindakan UMNO melanggar Piagam Muafakat Nasional menjadi punca Pas menolak untuk bersama gabungan itu.

Klik di sini untuk terus membaca