KUCHING - Salah sebuah parti daripada koalisi Gabungan Parti Sarawak (GPS) percaya bahawa sokongan pengundi etnik Cina yang sebelum ini cenderung menyokong parti pembangkang telah kembali mengundi gabungan itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN)... Klik di sini untuk terus membaca

KUCHING - Salah sebuah parti daripada koalisi Gabungan Parti Sarawak (GPS) percaya bahawa sokongan pengundi etnik Cina yang sebelum ini cenderung menyokong parti pembangkang telah kembali mengundi gabungan itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12.

Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Datuk Seri Dr Sim Kui Hian berkata, perkara itu dapat dibuktikan apabila SUPP bukan sahaja berjaya mengurangkan majoriti undi diperolehi DAP daripada Pakatan Harapan (PH) di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Padungan malah Kui Hian turut berbangga dengan kejayaan SUPP merampas kerusi DUN majoriti pengundi etnik Cina seperti Pelawan daripada gabungan pembangkang itu.

"Di kerusi yang biasanya kita kalah tiga hingga empat ribu undi, kini kita kalah beberapa ratus undi.

"Jadi ini adalah anjakan yang jelas kepada rakyat Sarawak, khususnya masyarakat Cina terhadap mereka yang tidak melaksanakan (dan) tidak menunaikan janji mereka yang berbohong kepada rakyat dan orang ramai," katanya dalam satu sidang media di Pusat Konvensyen Borneo Sarawak, di sini pada Sabtu.

Lebih manis, Kui Hian secara peribadi berjaya mempertahankan kerusi DUN Batu Kawah dengan menunjukkan prestasi lebih baik berbanding PRN Sarawak 2016.

Berdasarkan perkiraan pecahan undi, Kui Hian memperolehi 69.77 peratus undi, meningkat daripada 54.12 peratus yang diterimanya pada PRN Sarawak 2016.

Beliau berjaya menewaskan pencabar terdekat yang juga Ahli Parlimen Kuching, Kelvin Yii daripada DAP yang sekadar memperolehi 22.19 peratus undi, manakala dua calon lagi hilang wang deposit.

Sementara itu, dengan kekalahan mengejut di DUN Pujut, DAP hanya mampu memenangi dua kerusi DUN, berkurangan daripada sejumlah tujuh kerusi DUN yang dimenangi mereka pada tahun 2016.

Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jien yang hampir berdepan kekalahan mengejut kepada calon SUPP di DUN Padungan menegaskan, parti itu menerima keputusan pengundi dengan hati terbuka.

"Kita akan buat semakan. Kita terima keputusan rakyat. Kita akan buat pelarasan sewajarnya," katanya.

Dalam pada itu, pemimpin tertinggi GPS sedang bersiap sedia dan berkumpul di Pusat Konvensyen Borneo Sarawak, di sini untuk meraikan kemenangan mereka pada PRN Sarawak.

Diketuai pengerusi gabungan itu, Tan Sri Abang Johari Abang Openg, mereka mengibarkan bendera GPS dan menyanyikan lagu parti.

Setakat berita ini ditulis, GPS sudah memenangi PRN Sarawak dengan memperolehi majoriti dua pertiga apabila parti gabungan itu secara rasmi sudah menawan 57 kerusi DUN daripada keseluruhan 82 kerusi DUN dipertandingkan pada pilihan raya negeri berkenaan.

Klik di sini untuk terus membaca