SHAH ALAM - Penganalisis politik meramalkan peratusan keluar mengundi sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak, hari ini hanya sekitar 65 peratus berbanding sasaran asal Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) iaitu 70 peratus. Felow Kanan Majlis... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Penganalisis politik meramalkan peratusan keluar mengundi sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak, hari ini hanya sekitar 65 peratus berbanding sasaran asal Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) iaitu 70 peratus.

Felow Kanan Majlis Profesor Negara, Dr Jeniri Amir berkata, jumlah berkenaan mungkin menjadi jauh lebih rendah berbanding 70.01 peratus dalam PRN Sarawak ke-11 pada 2016, manakala pada 2011 pula 69.9 peratus.

Jeniri berkata, peratusan keluar mengundi paling tinggi dicatatkan dalam PRN Sarawak direkodkan pada 1969 iaitu 80 peratus, manakala paling rendah ialah 63.22 peratus pada 2006.

Beliau berkata, biarpun peratusan keluar mengundi pada hari undian awal sempena PRN Sarawak adalah hampir 90 peratus, namun sasaran 70 peratus penduduk Sarawak keluar mengundi ditetapkan SPR pada hari pengundian sebenar hari ini adalah sukar kerana pelbagai faktor.

"Peratusan pengundi keluar mengundi awal menjangkau hampir 90 peratus bukan sesuatu mengejutkan kerana ia memang fenomena biasa di mana-mana pilihan raya kecil (PRK) atau pilihan raya umum (PRU) sekali pun.

"Bagaimanapun, dalam situasi sekarang keadaan sebaliknya akan di mana peratusan keluar mengundi pada hari pengundian hari ini dijangka lebih rendah dan tidak mungkin mencapai 70 peratus.

"Jadi saya menjangkakan hanya sekitar 62 hingga 65 peratus pengundi akan keluar mengundi sempena hari pengundian sebenar PRN Sarawak," katanya ketika dihubungi wartawan Sinar Premium.

Terdahulu, Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh, berkata SPR menyasarkan 70 peratus pengundi akan keluar mengundi pada PRN Sarawak ke-12.

Mengulas lanjut Jeniri berkata, antara faktor utama mempengaruhi peratusan keluar mengundi sempena PRN Sarawak adalah faktor cuaca tidak menentu dan hujan lebat.

Pada pagi ini sahaja dilaporkan beberapa kawasan sudah mengalami hujan lebat antaranya Kapit dan Petra Jaya.

"Bagaimanapun, saya memuji strategi digunakan SPR menetapkan saranan masa tertentu untuk memastikan penduduk Sarawak boleh keluar mengundi dengan cara lebih selamat, teratur dan mampu mengelakkan risiko berlakunya penularan wabak Covid-19 di Pusat Pengundian. Misalnya saya sendiri diminta untuk hadir dan menunaikan tanggungjawab mengundi pada jam 12.30 hingga 1.30 tengah hari.

"Saya difahamkan SPR juga menambah masa pengundian dari 7.30 pagi hingga 5.30 pagi bagi mengurangkan kesesakan," katanya.

Faktor kedua kata Jeniri, biarpun kadar vaksinasi di Sarawak kini tinggi, namun penduduk setempat masih ragu-ragu untuk keluar mengundi kerana bimbang keselamatan berikutan kadar penularan Covid-19 masih tinggi di seluruh negara sekarang ini.

"Saya juga menjangka pengundi yang tinggal di luar Sarawak terutama di Semanjung Malaysia dan luar negara tidak akan pulang ke Bumi Kenyalang semata-mata untuk mengundi esok kerana mereka lebih suka balik ke kampung halaman untuk menyambut Hari Krismas, pada 25 Disember ini.

"PRN kali ini bukan seperti PRU14 lalu, di mana pengundi dari luar pulang ke Sarawak kerana semata-mata mahu menukar Kerajaan Persekutuan. Jadi berdasarkan beberapa faktor yang disebutkan tadi, saya berpandangan peratusan keluar mengundi pada PRN Sarawak kali ini akan berlegar sekitar 62 hingga 65 peratus sahaja," katanya.

Klik di sini untuk terus membaca