SHAH ALAM - Pakatan Harapan (PH) mungkin mengalami kekalahan terburuk dalam sejarah penyertaan mereka dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak apabila mereka hanya menang dua daripada 82 kerusi Dewan Undang Negeri (DUN) ditandingi setakat... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Pakatan Harapan (PH) mungkin mengalami kekalahan terburuk dalam sejarah penyertaan mereka dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak apabila mereka hanya menang dua daripada 82 kerusi Dewan Undang Negeri (DUN) ditandingi setakat jam 10 malam tadi.

Dua kerusi dimenang di PH ialah di DUN Padungan dan Pending masing-masing dimenangi oleh Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen dan Violet Wong.

Keadaan itu adalah rekod terburuk berbanding pada PRN Sarawak ke-11 pada 2016, di mana DAP menang tujuh kerusi, manakala PKR menang tiga kerusi.

Malah, berdasarkan keputusan tidak rasmi, PRN Sarawak ke-12 hari ini, menyaksikan DAP terpaksa akur dengan kehendak pengundi yang hanya memberi mereka kemenangan di dua daripada 28 kerusi, manakala PKR dan Parti Amanah Negara (Amanah) kalah semua kerusi ditandingi.

Kekalahan pada PRN Sarawak hampir mengulangi episod sama yang berlaku kepada PH pada PRN Melaka yang mana gabungan itu sekadar menang lima kerusi, berbanding 15 kerusi pada PRU14.

Terdahulu, dilaporkan Gabungan Parti Sarawak (GPS) menang besar, selepas menguasai majoriti lebih 2/3, dengan memperolehi 76 daripada 82 kerusi.

Sementara itu, Chieng Jen dalam sidang medianya menerima kekalahan parti itu yang hanya menang dua kerusi pada PRN kali ini dan akan mengkaji puncanya kerana sebelum ini menang tujuh kerusi pada PRN ke-11.

"Secara keseluruhannya, saya mengakui dan menerima keputusan rakyat. Susulan kekalahan ini, kami akan mengkaji punca yang menyebabkan kekalahan.

"Ada sebab perkara itu (kekalahan) berlaku yang menyebabkan mereka (pengundi) tidak meneruskan sokongan terhadap parti kami.

"Perkara ini harus dikaji dan kami akan melakukan 'post mortem'. Apa yang boleh saya janjikan adalah perjuangan kami memberi perkhidmatan kepada rakyat dan hak sarawak akan tetap diteruskan," katanya ketika ditemui pemberita di pusat penjumlahan undi di Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), Kuching, Sarawak, pada Sabtu.

Dalam pada itu, Chieng Jen memenangi kerusi DUN Padungan dengan 1,198 majoriti selepas meraih 4,686 undi.

Beliau menewaskan calon dari Gabungan Parti Sarawak (GPS), Datuk Wee Hong Seng, yang meraih 3,488 undi, Raymond Thong Ee Yu dari Parti Bumi Kenyalang (PBK) (930 undi) dan Lina Soo dari Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (ASPIRASI) (193 undi).

Satu lagi kerusi dimenangi parti itu adalah di DUN Pending menerusi Violet Yong Wui Wui dengan majoriti 540 selepas meraih 5,188 undi.

Violet menewaskan calon GPS Miltan Foo Tiang Wee yang meraih 4,648 undi, calon PSB Tan Kay Hok (1,858 undi), calon PBK Teo Kuang Kim (978 undi) dan calon Aspirasi, Chan Chee Heong (204 undi).

Chieng Jen berterima kasih kepada pengundi atas sokongan yang diberikan apabila memenangi kerusi DUN Padungan pada PRN kali ini.

"Walaupun Datuk Bandar Kuching Selatan (Datuk Wee Hong Seng) adalah lawan yang merebut kerusi DUN ini, saya bersedia bekerjasama dengan beliau dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada penduduk di Padungan.

"Ini kerana terdapat banyak kawasan di Padungan terletak di bawah seliaan MBKS," katanya.

Klik di sini untuk terus membaca