KUCHING - Kemerosotan prestasi Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, bulan lalu dijangka berterusan berlaku pada PRN Sarawak ke-12 pada Sabtu apabila gabungan pembangkang itu hanya mampu memenangi dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Lebih malang, pencapaian PH pada PRN Sarawak kali ini dilihat lebih buruk berbanding satu lagi parti pembangkang yang baru pertama kali menyertai PRN Sarawak iaitu Parti Sarawak Bersatu (PSB).
Tatkala DAP hanya sekadar mempertahankan kerusi DUN Padungan dan Pending, rakan-rakan koalisinya seperti Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Amanah Negara (Amanah) tewas di semua kerusi DUN ditandingi.
Bagi Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisommudin Bakar, kekalahan teruk PH pada PRN Sarawak sebenarnya sudah dijangka memandangkan trend kemerosotan sokongan rakyat terhadap koalisi itu sudah ditunjukkan sejak kekalahan PH pada lapan pilihan raya kecil (PRK) dan PRN Melaka sebelum ini.
Jelas beliau, PH juga tidak boleh menggunakan faktor penggunaan lambang pilihan raya sebagai alasan parti-parti dalam koalisi itu kalah teruk di Sarawak.
Hal ini kerana dua parti yang menunjukkan prestasi cemerlang, Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan PSB sebenarnya menggunakan lambang pilihan raya baharu pada PRN kali ini.
"Saya lebih melihat kekalahan teruk PH pada PRN Sarawak adalah bukti sokongan rakyat kepada koalisi itu semakin merosot dan ia berpunca daripada aspek ketidaksepakatan parti-parti dalam PH yang tidak menunjukkan kesepaduan yang jitu.
"Apatah lagi dengan parti-parti dalam PH menggunakan lambang parti sendiri sebagai lambang pilihan raya, sepatutnya kelebihan terletak di tangan mereka berbanding PSB dan GPS yang mempertaruhkan lambang pilihan raya baharu.
"Saya berpandangan PH perlu membuat bedah siasat besar-besaran di atas faktor kekalahan dialami dan mereka perlu mendapatkan pandangan awam mengenai punca sebenar ketidakpuasan hati mereka terhadap koalisi itu sehingga sokongan mereka terjejas," katanya kepada Sinar Premium pada Sabtu.
Mengulas lanjut, Hisommudin turut mencadangkan agar pucuk pimpinan PH membuat satu reformasi dalaman dengan mengemukakan perubahan dalam wajah kepimpinan koalisi itu.
Jelas beliau, inisiatif tersebut penting bagi mengelakkan trend kemerosotan sokongan rakyat terhadap PH berlarutan hingga ke Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
"Sebenarnya keputusan PRN Melaka dan Sarawak sudah boleh dianggap sebagai referendum rakyat bagi membuktikan PH kini semakin ditolak mereka.
"Tetapi kalau PH mahu mendapatkan pandangan tepat dan adil, mereka boleh mengadakan kaji selidik dan menjalankan pungutan suara rakyat dalam mencari jawapan terhadap persoalan mengapa koalisi itu berada di posisi sangat teruk dari kaca mata rakyat.
"Ditambah dengan peralihan sokongan pengundi etnik Cina kepada koalisi kerajaan pada PRN Melaka dan Sarawak, PH perlu menerima hakikat gabungan mereka tidak lagi menunjukkan kejituan dan keberkesanan yang ampuh dalam meraih kepercayaan rakyat," katanya.
Pada PRN Sarawak 2016, DAP menang tujuh kerusi, manakala PKR menang tiga kerusi.
Berdasarkan keputusan tidak rasmi, PRN Sarawak kali ini menyaksikan DAP terpaksa berpuas hati dengan dua daripada 24 kerusi ditandingi, manakala PKR memaparkan prestasi sama seperti di PRN Melaka apabila tewas di kesemua 28 kerusi.
Amanah juga tewas pada semua lapan kerusi ditandingi.
DAP kekal menguasai kerusi DUN Pending dan Padungan, manakala kalah di DUN Batu Kawah, Pujut, Pelawan, Tanjong Datu dan Bukit Assek.
Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen menang di kerusi DUN Padungan manakala Violet Wong unggul di DUN Pending.
Terdahulu, GPS menepati ramalan banyak pihak apabila menang besar pada PRN Sarawak selepas menguasai majoriti lebih dua pertiga, dengan memperolehi 76 daripada 82 kerusi DUN.
Klik di sini untuk terus membaca