SHAH ALAM - Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-12 sudah sampai ke penghujungnya dan keputusan tidak rasmi menunjukkan Gabungan Parti Sarawak (GPS) meraih majoriti mudah dengan memenangi 53 daripada 82 kerusi dipertandingkan.
Sebelum ini, kita menyaksikan calon tertua pada PRN Melaka lepas iaitu Datuk Kalsom Nordin berjaya meraih undian tertinggi dan menang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Batu.
Pada kali ini, sejarah sama berulang apabila calon tertua berusia 79 tahun turut memenangi DUN Bawang Assan pada PRN Sarawak ke-12.
Presiden Parti Rakyat Bersatu (PSB), Datuk Seri Wong Soon Koh menunjukkan kehebatannya apabila berjaya mempertahankan Bawang Assan sejak menyandang kerusi itu pada tahun 1991 dan kini memasuki penggal ketujuh.
Pada PRN Sarawak ke-11 yang lepas, Soon Koh telah memenangi lebih 60 peratus undi dengan undian sebanyak 9,015 menewaskan pencabar terdekat daripada Parti Tindakan Demokratik (DAP) Stanley Chiew Sung Ngie yang mendapat 4,884 undi, Wong Sing Wei yang mendapat 100 undi dari Parti Reformasi Negeri (STAR) dan dua calon bebas iaitu Watson Bangau dan Yeu Bang Keng @ Beng Kor masing-masing mendapat 569 dan 63 undi.
Kali ini juga kita menyaksikan persaingan sengit bagi kerusi Bawang Assan apabila calon GPS, Robert Lau mendahului Soon Koh dengan hanya lebih 300 undi pada mulanya namun otai masih berbisa apabila berjaya mendahului kesemua lima calon termasuk Michelle Ling Shyan Mih (PBK), Amy Lau Bik Yieng (DAP) dan Ricky Enteri (Bebas).
Pilihan raya negeri ini juga merupakan kali pertama Soon Koh tidak menggunakan logo Barisan Nasional (BN) dan bertanding sebagai calon pembangkang.
Parti PSB yang ditubuhkan pada tahun 2014 lalu merupakan sebuah parti bercorak pelbagai kaum namun majoriti keahliannya terdiri daripada kaum Cina dan pecahan daripada Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) akibat perbalahan antara pemimpin parti.
Soon Koh berjaya membentuk sebuah parti politik pembangkang yang hebat dan merupakan antara individu utama yang sentiasa mencipta onar buat DAP, termasuk menyebabkan penyingkiran Dr Ting Tiong Choon sebagai Adun Pujut rentetan isu kerakyatan yang dipertikai.
Soon Koh yang dilahirkan pada tahun 1942 itu merupakan bekas anggota kabinet Sarawak, Menteri Kewangan Kedua Negeri dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan E-Perniagaan Sarawak dan pernah berada dalam kerajaan selama 27 tahun.
Menurut laporan AWANI, Soon Koh pada sidang media lepas juga pernah menitiskan air mata mengenangkan anaknya, Andrew yang telah meninggal dunia pada tahun 2019 yang sering berbincang tentang politik dan isu rakyat dengannya setiap kali selepas makan malam.
Tambahnya, beliau ingin membuka lembaran baharu untuk politik Sarawak dan berasakan dirinya seperti Andrew yang masih kuat untuk berkhidmat kepada rakyat jelata.
Baru-baru ini presiden PSB itu juga telah menang dalam satu kontroversi kes saman fitnah yang difailkan oleh kerajaan negeri terhadapnya, berhubung kenyataan mempersoalkan perjanjian bersama yang ditandatangani antara kerajaan negeri dan Petronas.
Wong mempersoalkan bayaran RM2 bilion oleh Petronas kepada kerajaan negeri sedangkan Ketua Menteri ketika membentangkan bajet negeri mengatakan Petronas harus membayar RM3.8 bilion.
Di samping itu, Wong turut mempersoalkan tindakan kerajaan memperakui Akta Pembangunan Petroleum (PDA) 1974 berbanding dengan pendirian sebelum ini yang memberi kuasa kepada Petronas dalam mengawal selia pembangunan industri minyak dan gas di seluruh negara termasuk di Sarawak yang menyebabkan kerajaan negeri memfailkan saman sivil terhadapnya berjumlah RM5 juta.
Klik di sini untuk terus membaca