SHAH ALAM - Bagi mengelak 'tragedi' Gabungan Parti Sarawak (GPS) bertegas tidak akan menerima mana-mana Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang melompat parti atau 'katak' politik. Pengerusinya, merangkap Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abang... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Bagi mengelak 'tragedi' Gabungan Parti Sarawak (GPS) bertegas tidak akan menerima mana-mana Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang melompat parti atau 'katak' politik.

Pengerusinya, merangkap Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg, berkata pihaknya tidak akan menerima ahli politik yang berpaling tadah, susulan kemenangan besar pada PRN malam tadi.

"Kami tak suka ‘katak’ dan tak mahu ‘katak’," katanya pada sidang media selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan GPS memperoleh kemenangan majoriti mudah dan diberikan mandat untuk membentuk kerajaan negeri.

Mengulas lanjut, Abang Johari berkata, keputusan PRN pada Sabtu bukti rakyat Sarawak sedar hanya orang Sarawak boleh menjaga kepentingan mereka.

Dalam pada itu, Abang Johari, berkata kemenangan GPS meletakkan Sarawak sama taraf dengan Semenanjung sebagai 'rakan serantau'.

"Rakyat berikan mandat untuk mendahulukan Sarawak. Rakyat beri isyarat jelas bahawa kestabilan politik amat penting untuk membawa kemajuan dan terus memperkasakan ekonomi Sarawak," katanya.

Dalam pada itu, Abang Johari sebentar tadi, mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri Sarawak ke-7, di hadapan Yang di-Pertua Negeri, Tun Abdul Taib Mahmud di Balai Mengadap Utama, Astana Negeri, di Kuhcing, Sarawak, selepas GPS kembali diberi mandat untuk mentadbir negeri itu pada PRN ke-12.

Abang Johari, 71, yang lengkap berbaju Melayu hitam dan bersongkok mengangkat sumpah jawatan pada pukul 10.42 malam.

Beliau sebelum itu tiba di Astana Negeri pada pukul 10.04 malam diiringi isteri, Datuk Amar Juma'ani Tuanku Bujang.

Turut hadir pada Istiadat Angkat Sumpah ialah dua Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak, Datuk Amar Jaul Samion dan Speaker DUN Sarawak, Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar.

Klik di sini untuk terus membaca