SHAH ALAM - Kejayaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) meraih kemenangan besar lebih dua pertiga atau 75 daripada 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri Sarawak Ke-12 (PRN12) adalah menepati ramalan banyak pihak termasuk penganalisis dan pemerhati politik, sebelum ini.
Malah, Pengerusi GPS merangkap Ketua Menteri, Tan Sri Abang Johari Tun Openg merakam kemenangan bergaya di kerusi N15 Gedong dengan majoriti 3,607 undi.
Abang Johari menewaskan tiga pencabar lain apabila memperoleh 4,310 undi berbanding calon Parti Sarawak Bersatu (PSB), Mohamad Sofian Fariz Sharbini, yang memperoleh 703 undi.
Sementara dua lagi calon iaitu Tomson Ango dari Parti Bumi Kenyalang (PBK) memperoleh 157 undi, manakala calon Parti Amanah Negara (Amanah), mendapat 94 undi.
Turut merakam kemenangan bergaya ialah dua Timbalan Ketua Menteri Sarawak iaitu Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Datuk Amar Douglas Uggah Embas yang mencatatkan kemenangan masing-masing di kerusi Bukit Sari dan Bukit Saban.
Awang Tengah meraih kemenang besar selepas memperoleh 6,385 undi untuk mempertahankan kerusi DUN Bukit Sari dengan majoriti 5,636 undi.
Uggah pula memperoleh 5,373 undi (majoriti:3,988 undi) dalam pertembungan tiga penjuru, sekali gus menewaskan dua calon lain iaitu Andria Gelayan (PSB) dan Mikhail Mathew dari PKR.
Antara faktor utama yang membantu kemenangan GPS adalah kerana jenteranya akar umbi parti komponennya cukup mantap dan sudah lama berkempen selepas keluar daripada Barisan Nasional (BN).
Keadaan itu berbeza jika dibandingkan dengan parti pembangkang kecuali DAP dan Parti Sarawak Bersatu.
Oleh itu tidak hairan jika GPS menduduki tangga pertama dari segi kekuatan jentera parti diikuti DAP dan PSB manakala parti lain sekadar pelengkap sahaja dalam PRN kali ini.
Majoriti pengundi di Sarawak kekal memberikan sokongan padu kepada GPS kerana mereka komited membantu rakyat dengan memperkenalkan pelbagai pakej bantuan kewangan termasuk Pakej Bantuan Khas Sarawakku Sayang.
Rakyat Sarawak juga dapat melihat komitmen tinggi ditunjukkan oleh kerajaan negeri dipimpin oleh Abang Johari yang sentiasa mencari jalan bagi menangani pelbagai masalah berkaitan kemudahan asas seperti bekalan elektrik, air, jalan raya, jambatan dan akses internet di luar bandar.
Perkara itu penting kerana berdasarkan tinjauan dan kajian dilakukan di pedalaman mendapati antara masalah utama masih dibangkitkan penduduk di luar bandar di Sarawak adalah bekalan elektrik, air, jalan raya dan akses internet di luar bandar.
Kemenangan GPS juga menunjukkan sentiment cuba dihidupkan semula oleh DAP dan PSB iaitu 'Orang Dayak perlu kembali menjadi Ketua Menteri' atau Dayakisme tidak berjaya mempengaruhi dan memancing undi kaum Dayak khususnya Iban.
Keputusan ini juga menunjukkan bahawa GPS akan terus menjadi watak penting dan penentu gabungan mana sama ada Barisan Nasional (BN) atau Perikatan Nasional (PN) bakal menjadi Kerajaan Persekutuan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.
Sebelum ini, Felo Penyelidik Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL) Universiti Malaya (UM), Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi berkata, suasana politik di Sarawak sekarang juga memberi kelebihan kepada GPS untuk mendapat mandat rakyat dan kekal berkuasa.
Malah, sehingga jam 11.45 tadi, GPS disahkan menang di 75 daripada 82 kerusi ditandingi pada PRN Sarawak kali ini, diikuti oleh Parti Sarawak Bersatu (4) dan DAP (2).
Sementara itu, Ketua Whip GPS, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, kemenangan lebih dua pertiga GPS disifatkan sebagai isyarat rakyat mengiktiraf parti tempatan yang terbukti mempunyai rekod cemerlang mentadbir Sarawak.
Ahli Parlimen Petra Jaya merangkap Menteri Kerja Raya berkata keputusan berkenaan juga bukti rakyat tempatan menolak parti berpangkalan di Semenanjung atau 'parti luar' untuk mentadbir Sarawak.
Fadillah jug menjelasakan kemenangan ini juga adalah amanah rakyat yang harus dipikul penuh tanggung jawab kesemua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) GPS yang dipilih.
"Setinggi penghargaan dan terima kasih kepada pengundi Sarawak yang memberi mandat dan kepercayaan kepada GPS untuk terus menerajui dan mentadbir Sarawak dalam PRN12.
"Penghargaan dan terima kasih juga kepada kesemua jentera parti yang bertungkus lumus serta bekerja keras di semua 82 kerusi DUN yang ditandingi GPS," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Klik di sini untuk terus membaca