SHAH ALAM - Sebahagian besar negeri di semenanjung Malaysia pada ketika ini masih berdepan situasi hujan lebat berterusan sejak Jumaat sekali gus menimbulkan kebimbangan berlakunya banjir besar yang boleh melumpuhkan seluruh negara dan merisikokan nyawa orang ramai.
Menyebut perihal banjir, 50 tahun dahulu Malaysia pernah digemparkan dengan satu tragedi banjir besar yang dianggap terburuk dalam lipatan sejarah negara.
Segalanya bermula dengan hujan monsun lebat berterusan pada 26 Disember 1970 yang berlarutan selama hampir seminggu. Ia kemudian menyebabkan paras air di Sungai Pahang meningkat dan melimpah sehingga tercetusnya banjir besar pada awal Januari 1971.
Dilaporkan dalam tempoh kurang 24 jam, situasi banjir semakin memburuk di negeri Pahang sehingga amaran dikeluarkan kepada penduduk kampung supaya berada di tempat tinggi agar tidak hanyut bersama air banjir.
Tidak lama kemudian, beberapa negeri lain termasuk Terengganu, Johor, Kelantan, Melaka dan Selangor turut dilanda banjir teruk.
Banjir besar tersebut juga menyebabkan berlakunya tanah runtuh sehingga memutuskan hubungan jalan raya dan kereta api ke bandar-bandar utama di pantai timur dan ke Singapura.
Apa yang lebih mengejutkan, kawasan bandar Kuala Lumpur juga tidak terkecuali daripada ditimpa musibah, buktinya 60 peratus kawasan di ibu negara ditenggelami air banjir dan seolah-olah berada di tengah lautan.
Banjir dari Sungai Klang menenggelamkan kawasan dari Abdullah Hukum hingga ke Dataran Merdeka.
Banjir dahsyat itu telah mengakibatkan negara menanggung kerugian besar harta benda bernilai lebih RM84.7 juta (nilai ketika itu).
Namun apa yang lebih menyedihkan, laporan media turut menyebut lebih 20 nyawa menjadi korban bencana banjir tersebut sementara puluhan ribu mangsa yang lain terjejas.
Difahamkan, jumlah mangsa banjir paling tinggi ialah di negeri Pahang iaitu seramai 40,000 orang manakala negeri Johor 17,000 dan Selangor 14,000 orang.
Berikutan situasi banjir yang menyaksikan kenaikan paras air terus meruncing di hampir seluruh negara, Perdana Menteri, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein terpaksa mengisytiharkan darurat bencana di seluruh negara berkuat kuasa pada 5 Januari 1971.
Pengisytiharan bencana darurat itu dilaksanakan bagi menyelamatkan nyawa dan harta benda daripada banjir yang telah menenggelamkan hampir semua negeri di Malaysia.
Abdul Razak turut mengumumkan pelantikan dua jawatankuasa kabinet iaitu Jawatankuasa Bantuan dan Pemulihan Banjir untuk menolong mangsa banjir yang telah dipengerusikan oleh beliau sendiri.
Sebuah Jawatankuasa lagi ditubuhkan bagi menganalisis kerosakan dan menyarankan langkah-langkah pemulihan ekonomi dan sosial.
Pada waktu itu juga dikatakan, Abdul Razak telah menjangkakan bahawa banjir besar akan berlaku sepertimana yang pernah terjadi pada tahun 1931 di China yang mengorbankan ratusan nyawa.
Dalam pada itu, bagi meringankan beban ditanggung oleh mangsa banjir, kerajaan juga bertindak pantas menghulur bantuan asas seperti makanan, ubat-ubatan, selimut dan khemah.
Sementara itu, pasukan tentera berhempas pulas berusaha membawa bantuan keperluan ke kawasan terlibat serta kerjasama antara polis hutan dan tentera dalam membuat rondaan dengan menaiki bot.
Malah demi menjaga hubungan baik dengan Malaysia, kerajaan British dan Australia telah menyumbangkan bahan-bahan jambatan seperti besi keluli untuk membina sebuah jambatan di Temerloh, Pahang.
Jambatan itu dibina bagi memudahkan penduduk melintas sama ada menaiki kereta atau berjalan namun ia hanya mampu bertahan selama lima hari sahaja.
Untuk rekod, banjir buruk tahun 1971 itu akhirnya surut dalam tempoh seminggu dan ramai yang tinggal sehelai sepinggang selepas itu.
Walaupun negara sebelum ini pernah dilanda banjir besar sebanyak dua kali iaitu pada tahun 1926 (Bah Besar) dan seterusnya pada tahun 1946 namun banjir 1971 di Kuala Lumpur itu akan terus diingati ramai sebagai banjir besar paling dahsyat dalam sejarah negara.
Klik di sini untuk terus membaca