SHAH ALAM - Hujan lebat berterusan yang melanda negeri Pantai Barat sejak lebih 24 jam lalu bermula Jumaat adalah disebabkan sistem lekukan tropika (tropical depression) yang menuju ke Semenanjung Malaysia. Menurut Pengerusi Jabatan Sains... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Hujan lebat berterusan yang melanda negeri Pantai Barat sejak lebih 24 jam lalu bermula Jumaat adalah disebabkan sistem lekukan tropika (tropical depression) yang menuju ke Semenanjung Malaysia.

Menurut Pengerusi Jabatan Sains Bumi dan Alam Sekitar, Fakulti Sains dan Teknologi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr Fredolin Tangang, sistem lekukan tropika merupakan sistem tekanan rendah yang sebelum ini bergerak dari Laut China Selatan menuju ke Semenanjung Malaysia.

"Sistem ini menyebabkan penurunan hujan yang tinggi di Kelantan, Terengganu dan Pahang. Setelah melewati Semenanjung Malaysia, sistem tekanan rendah ini mengukuh apabila berada di Selat Melaka di mana penumpuan kelembapan dan hujan bertumpu di kawasan pantai sepanjang negeri Selangor dan Negeri Sembilan," katanya.

Jelas beliau, kewujudan sistem lekukan tropika ini juga berlaku semasa Taufan Rai yang membadai bahagian selatan Filipina.

"Taufan ini mengukuhkan angin timur laut yang bertiup ke kawasan Semenanjung Malaysia dengan membawa lembapan tinggi sekali gus memberikan kekuatan dan mengukuhkan sistem lekukan tropika di Pantai Timur dan merentasi Semenanjung Malaysia.

"Bagaimanapun, sistem lekukan ini diramal menjadi lemah dalam masa 24 jam sehingga lewat petang Ahad.

"Angin timur laut di Pantai Timur juga dijangka akan menjadi lemah apabila Taufan Rai sampai ke perairan Vietnam di mana ia akan menghadang tiupan angin timur laut ke Semenanjung Malaysia," katanya.

Fredolin turut menjangkakan antara kawasan yang menjadi tumpuan lekukan tropika tersebut termasuklah sepanjang pantai barat negeri Selangor dan juga negeri Sembilan termasuk Port Dickson.

Ditanya situasi hujan lebat berterusan yang sedang melanda negara mempunyai kaitan perubahan iklim, Fredolin berkata, walaupun sukar untuk ditentukan namun menurut laporan Panel Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, hampir setiap cuaca ekstrim boleh diperkukuhkan pemanasan global yang menyediakan kelembapan meningkat sekali gus menyebabkan sistem lekukan tropika berlaku dan mengukuh.

Klik di sini untuk terus membaca