KIEV - Negara-negara Barat kini berada dalam keadaan bimbang berikutan dakwaan Ukraine bahawa negara itu akan diserang secara besar-besaran oleh Rusia pada Januari atau Februari depan. Diplomat Amerika Syarikat (AS) yang menyertai... Klik di sini untuk terus membaca

KIEV - Negara-negara Barat kini berada dalam keadaan bimbang berikutan dakwaan Ukraine bahawa negara itu akan diserang secara besar-besaran oleh Rusia pada Januari atau Februari depan.

Diplomat Amerika Syarikat (AS) yang menyertai Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dan Eropah pernah memberi amaran tentang tindakan ketenteraan yang akan dilakukan oleh Rusia di sempadan Ukraine.

Pada Oktober lalu, video tersebar di media sosial yang menunjukkan askar Rusia, kereta kebal dan peluru berpandu bergerak menuju ke sempadan negara itu.

Moscow sebelum ini dikatakan telah memindahkan kira-kira 115,000 askar ke sempadan tersebut.

Ukraine dan sekutu-sekutu Baratnya telah lama menuduh Rusia menghantar tentera dan senjata melintasi sempadan untuk menyokong kumpulan pemisah pro-Rusia.

Kumpulan pemisah itu telah merampas dua wilayah timur pada tahun 2014 sejurus selepas Moscow mengambil alih secara paksa Crimea dari Ukraine di selatan negara berkenaan.

Sejak memperoleh Crimea, Moscow telah menyokong kumpulan pemisah yang memerangi Ukraine di timur negara tersebut.

Dakwaan bahawa Rusia sedang bersiap untuk menyerang negara itu pada akhir Januari atau awal Februari depan dibuat oleh ketua agensi perisikan pertahanan Ukraine, Brigadier Jeneral Kyrylo Budanov kepada Military Times baru-baru ini.

Menurutnya dalam satu wawancara eksklusif, serangan tersebut mungkin melibatkan serangan udara, artileri dan perisai diikuti oleh serangan udara di timur, serangan amfibia di Odessa serta Mariupul termasuk serangan yang lebih kecil melalui negara jiran, Belarus.

Dakwaan Rusia akan menyerang Ukraine itu juga diperkuatkan lagi oleh kenyataan Menteri Pertahanan Ukraine, Oleksiy Reznikov di Parlimen yang menyatakan bahawa Rusia kemungkinan bersedia melakukan serangan berskala besar ke atas negaranya pada akhir Januari depan.

Beliau menganggarkan bahawa Rusia mempunyai kira-kira 100,000 askar di Crimea dan di kawasan yang dikuasai kumpulan pemisah di timur Ukraine.

Oleksiy

Bagaimanapun, di timur Ukraine askar-askar kerajaan menyatakan kesediaan untuk menangkis serangan Rusia.

Perang saraf juga telah bermula apabila Menteri Pertahanan Ukraine itu menyatakan akan ada pembunuhan beramai-ramai untuk menyerang Ukraine dan memberi amaran bahawa "orang-orang Rusia juga akan kembali ke keranda" jika Moscow memutuskan untuk menyerang negaranya.

Namun, Menteri Hal Ehwal Veteran Ukraine, Yulia Laputina berkata beberapa hari lalu dalam satu wawancara dengan sebuah stesen televisyen bahawa Perang Dunia Ketiga dan perang nuklear akan berlaku di Eropah jika negaranya diserang oleh Rusia.

Lojik beliau berkata demikian adalah kerana Rusia memprovokasikan keadaan yang berlaku di negara-negara Balkan.

Balkan ialah wilayah-wilayah di Tenggara Eropah yang terdiri dari negara Slovenia, Croatia, Bosnia dan Herzegovina, Serbia, Montenegro, Albania, Macedonia, Greece, Bulgaria serta Romania.

Laputina yang pernah berkhidmat dalam perkhidmatan keselamatan turut mengatakan bahawa majoriti 400,000 veteran negara itu bersedia untuk berperang jika diminta berbuat demikian.

Dalam pada itu, kebimbangan pentadbiran Presiden AS, Joe Biden mengenai kemungkinan pencerobohan Rusia ke Ukraine adalah berdasarkan kepada perisikan yang dilakukan negaranya bahawa Moscow telah menyusun rancangan untuk melakukan serangan melibatkan kira-kira 175,000 askar pada awal tahun depan.

Joe Biden

Namun, niat Presiden Rusia, Vladimir Putin masih belum jelas dan perisikan AS itu tidak menunjukkan bahawa beliau telah memutuskan untuk melaksanakan rancangan perang yang jelas.

Desas-desus perang ke atas Ukraine itu juga semakin meningkat apabila pada Jumaat lalu, Rusia telah menerbitkan draf perjanjian keselamatan yang menuntut sekali lagi agar NATO menolak keanggotaan Ukraine dan negara-negara bekas Kesatuan Soviet yang lain.

Permintaan itu berkaitan dengan Ukraine sebelum ini telah pun ditolak oleh Barat.

Krisis Ukraine itu menenggelamkan seketika isu Taiwan kerana Perang Dunia Ketiga dikatakan akan bermula apabila China menggunakan tenteranya untuk menceroboh dan mengambil semula kepulauanan itu yang heboh diperkatakan sejak tahun lalu.

Kumpulan pemisah yang pro-Rusia menguasai dua wilayah Ukraine.

Ini adalah kerana AS bersahabat baik dengan Taiwan dan mewujudkan pakatan pertahanan baharu melibatkan Australia dan United Kingdom (UK) atau AUKUS bagi menghadapi ancaman China di rantau Asia Pasifik.

Cuma yang menjadi persoalan utama sekarang ialah perang manakah yang akan berlaku dahulu pada abad ini dan seterusnya, adakah di Ukraine atau di Taiwan?. - Agensi

Klik di sini untuk terus membaca